BAB 2

224 4 0
                                    

DARI jarak beberapa meter itu, anak matanya sudah dapat melihat kelibat Adh Khusyairi yang sedang berbual dengan Rash. Bibir diketap kuat. Amarah mula merajai hati. Jika diikutkan amarah dalam hati, mahu saja dia meluru ke arah lelaki itu lalu melayangkan pelempang sulung. Saat macam ni pun kau masih boleh ketawa lagi, Adh? Nampaknya kau sedang bergembira di atas penderitaan aku. Hati kecilnya diserang perasaan sakit yang bertimpa-timpa. Hari ini, Syasya gagahkan diri untuk berhadapan dengan lelaki itu sekali lagi. Dia kuatkan hati untuk mengikut mamanya ke rumah ini semata-mata untuk menyelesaikan satu masalah. Hanya satu hari lagi... Kenapa susah sangat Adh nak tunaikan permintaan dia yang satu itu? Padahal, dia bukannya meminta intan dan permata. Apa pun yang berlaku, dia tetap nak Adh tunaikan permintaannya sebelum akad nikah dilafazkan esok. Melihat Rash mula mengatur langkah meninggalkan Adh, Syasya turut mengatur langkah. "Adh..." panggil Syasya apabila Adh seperti ingin beredar dari tempat dia berdiri sebentar tadi. Lelaki itu menoleh. Dua pasang anak mata saling berbalas pandang untuk seketika. Kemudian, Syasya dapat melihat dengan jelas ada senyuman kecil yang meniti pada ulas bibir lelaki itu. Entah untuk apa senyuman itu, dia tidak pasti. "Wow, not bad! Akhirnya, kau sudi juga jejakkan kaki ke rumah bakal mentua kau? Bukan ke kau pernah kata yang kau tak akan pernah jejakkan kaki ke dalam rumah ini selagi belum sah menjadi isteri aku?" Bidasan itu semakin menambahkan rasa sakit hatinya. Syasya menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba mengawal amarah. Dia cuba bersabar dengan apa saja katakata lelaki itu. Tujuan dia datang ke sini adalah untuk berbincang. Bukan untuk mencari gaduh. "Aku nak bercakap sikit dengan kau." Tidak menjawab pertanyaan Adh, Syasya terus bersuara tentang tujuan asal dia ke sini. "Memang kita tengah bercakap sekarang ni, kan?" Sinis Adh bersama senyuman mengejek. "Hari ni last day dan sampai sekarang pun kau masih tak tunaikan permintaan aku." Anak mata Syasya merenung tajam seraut wajah di hadapannya. "Permintaan apa lagi, Syasya? Apa kata kau simpan saja semua permintaan kau tu. Esok, lepas aku lafazkan akad aku akan penuhi apa saja yang kau pinta." Syasya mengetap bibir kuat. Mudah sungguh lelaki ini bercakap. Adh hanya fikirkan perasaan dia seorang saja. Lelaki itu tidak pernah fikirkan perasaan dia pun. "Aku tak minta intan permata, Adh. Aku cuma nak kita bertunang sebelum akad dilafazkan. Susah sangat ke kau nak tunaikan permintaan aku tu?" Suara Syasya mula naik satu oktaf. "Aku tak akan tunaikan permintaan merepek itu. Aku ulang sekali lagi, kita tak akan bertunang, dan tak akan pernah bertunang." Adh turut sama menaikkan nada suara. "Walau apa pun, aku tetap nak bertunang," tegas Syasya lagi. "Kau gila ke Syasya? Bertunang apanya? Majlis kahwin kita cuma beberapa jam sahaja lagi. Mana sempat." "Sempat atau tak, itu bukan masalah aku. Kalau kita tak bertunang, jangan harap aku akan teruskan perkahwinan tu." "Jadi, kau memang sedang merancang untuk memalukan keluarga aku? Macam tu?!" jerkah Adh pula. "Aku tak ada niat macam tu pun. Aku cuma..." Syasya ingin membalas baris ayat Adh. Namun, suara umi Adh sudah mendahului. "Apa bising-bising ni, Adh? Syasya? Sampai kat luar rumah umi dengar suara kamu bertekak," tegur Puan Maria sambil memandang kedua-dua wajah tegang itu. "Cuma apa, Syasya?" Tidak menghiraukan teguran uminya, Adh menyoal Syasya lagi. Nada suaranya masih lagi meninggi seperti tadi. Syasya mengetap bibir kuat. Memang jika diikutkan hati, dia ingin meluahkan semua yang terbuku di dalam dada. Namun, dia masih mempunyai perasaan hormat terhadap Puan Maria. Apatah lagi beberapa orang tetamu turut sama datang menyaksikan perang mulut di antara mereka ketika ini. "Cuma apa?" soal Adh lagi. Syasya tetap mendiamkan diri. Hanya sepasang anak matanya sahaja yang masih merenung tajam seraut wajah di hadapannya. "Adh... Sudahlah tu! Suara Adh tu dah menarik perhatian orang lain. Tak nampak ke tetamu dah mula berkumpul kat sini?" tegur Puan Maria lagi. "Umi, please... Adh perlu buat perhitungan dengan Syasya. Dia dah cuba nak memalukan keluarga kita. Dia suka sangat buat keputusan tanpa berfikir panjang. Tanpa fikir baik dan buruk," tuduh Adh pula. Berdesing telinga Syasya mendengar tuduhan seperti itu. "Syasya bukan tak fikir panjang, mak long. Syasya cuma nak Adh tunaikan permintaan Syasya. Salah ke..." "Ya, salah! Permintaan kau tu mengarut dan tak masuk akal," pintas Adh, masih lagi dengan suara yang meninggi. "Aku tak mengarut, Adh. Bila aku cakap tentang permintaan itu sebulan yang lalu, aku memang memaksudkannya. Tapi kau saja yang buat endah tak endah. Aku nak bertunang sebelum berkahwin. Susah sangat ke kau nak tunaikan?" Syasya mula mengungkit tentang perbualan mereka sebulan yang lalu. Beberapa saat berlalu, dua pasang anak mata itu saling berbalas renungan. Tajamnya renungan mereka seolah-olah ingin menembusi kedua-dua pasang mata itu. "Fine! Kau nak bertunang sangat, kan?" Tiba-tiba sahaja suara Adh memecahkan kesunyian yang tercipta. Syasya tidak memberikan apa-apa balasan. Jelas, dia nampak gelodak amarah yang mula merajai hati lelaki di hadapannya. Dia juga nampak dada bidang itu berombakombak menahan amarah. Syasya menjadi pemerhati apabila Adh mengatur langkah laju ke arah uminya. Tidak pasti apa yang Adh ambil dari tangan uminya. Sekali lagi dia memerhati langkah Adh yang kembali mara ke arahnya. Sejenak, renungan berbalas renungan. Sungguh, Syasya tidak dapat meneka apa yang cuba dilakukan oleh lelaki itu. Tanpa Syasya sangka, lelaki itu tiba-tiba sahaja mencekup lengannya. Tindakan refleks, dia pantas merentap kembali tangannya. Namun, Adh tetap mencuba untuk kali kedua dan ketiga. Kali ketiga, cengkaman tangannya memang mampu untuk menghancurkan tulang tangan Syasya. Bergenang kolam matanya apabila diperlakukan sampai begitu sekali. Akhirnya, Syasya mengalah. Sekali lagi, tanpa dia sangka, Adh memasukkan sebentuk cincin di jari manisnya. Sedaya-upaya, dia cuba menanggalkan kembali cincin itu. Tetapi Adh pula menggenggam kedua-dua lengannya dengan kemas. Tidak berdaya untuk melawan, Syasya mengalah lagi. Hanya sepasang anak matanya sahaja yang masih tepat menikam seraut wajah di hadapannya. Ya, ada senyuman sinis yang terlakar pada wajah itu. "Bersaksikan semua orang di dalam rumah ini, sebaik sahaja cincin ni masuk ke jari kau, kita dah sah sebagai tunang. So, sekarang ni kau puas hati? Kau nak sangat bertunang sebelum kita kahwin, kan?" Tidak berkelip anak mata Syasya memandang sepasang anak mata itu. Terkejut dan tersentap dengan perlakuan serta kata-kata yang terbit dari ulas bibir di hadapannya ketika ini. Tunang... Ini bukan bertunang, Adh. Tapi ini adalah satu hinaan. Aku minta ikatan dengan cara yang baik. Dan ini balasan kau untuk aku? Sampai hati kau, Adh. Ini belum sah lagi menjadi suami isteri. Bila dah sah nanti, hinaan apa lagi yang akan kau berikan kepada aku, Adh Khusyairi? Kolam mata Syasya mula dikaburi dengan mutiara jernih apabila diperlakukan seperti ini di hadapan semua orang. Langsung dia tidak pernah terfikir akan diperlakukan sampai macam ni sekali. Di hadapan keluarga Adh, di hadapan tetamu yang hadir untuk majlis solat hajat malam ini. "Wow, aku tak sangka pula cara macam ni boleh mendiamkan kau. Kalau aku tahu, dari awal lagi aku dah buat macam ni." Sinis Adh lagi. Sekali lagi Syasya merentap tangannya. Kali ini terlepas. Giliran Syasya pula yang mengukirkan senyuman sinis. "Ini bukan cara bertunang yang baik, Adh Khusyairi. Jangan harap aku akan datang untuk majlis esok. Kalau kau nak kahwin sangat, kau carilah perempuan yang lebih layak berbanding aku untuk teruskan majlis esok." Bergema kuat suara Syasya akibat sakit hati dengan tindakan kasar Adh. "Ya, aku memang akan cari perempuan yang lebih layak berbanding kau untuk dijadikan seorang isteri. Malah, aku akan cari seorang isteri yang jauh lebih sempurna berbanding kau." Buk! Syasya meneguk liur perlahan. Bagaikan sebiji batu besar sedang menghempap kepalanya tatkala baris ayat itu menusuk masuk ke corong telinganya. "Tapi bukan sekarang, Syasya Lyana! Lepas kau dan aku dah kahwin. Lepas kau dan aku tunaikan amanah arwah Haji Ibrahim," sambung Adh pula. Syasya mengetap bibir kuat. Kali ini bukan lagi batu besar yang menghempap kepalanya. Malah, sebilah pisau telah menghunus kasar ke jantungnya. Kata-kata yang baru sahaja didengarinya itu memang mampu menggores luka dalam hatinya. Sampai hati kau cakap macam tu, Adh. Jadi, aku hanyalah satu alasan untuk kau tunaikan amanah arwah Haji Ibrahim. Kau tak ikhlas, Adh Khusyairi. Kau tak layak pun untuk memegang status imam buat aku. Hati kecilnya merintih pilu. Dalam diam, Syasya cuba mengawal riak wajahnya. Dia cuba menyembunyikan kesedihan hatinya. "Kenapa kau diam? Tersentap bila aku cakap macam tu?" Sinis Adh lagi. "Kau silap orang, Adh. Seorang Syasya Lyana tak akan pernah hiraukan apa yang kau nak buat. Sama ada kita belum berkahwin, ataupun dah berkahwin, please mind of your own business." Tidak betah lagi berdiri di situ, Syasya terus memusingkan tubuh dan cuba mengatur langkah. Menggigil seluruh tubuhnya ketika ini akibat sakit hati. Lagi lama dia berdiri di situ, lagi banyak hinaan yang akan didengarinya. "Nanti dulu! Aku belum habis bercakap lagi!" jerkah Adh sambil menarik kuat pergelangan tangan Syasya. Sekelip mata sahaja, tubuh Syasya sudah menghempap tubuh lelaki yang merentap pergelangan tangannya itu. Sakit, hanya Tuhan saja yang tahu. Sakit di tangan, juga dalam hati. Tidak dapat mengawal sedihnya, air mata tiba-tiba sahaja jatuh ke pipi tatkala anak matanya menyapa sepasang anak mata di hadapannya. Renungan berbalas renungan. Sejenak, masingmasing saling terdiam kaku. Semakin deras air mata yang mengalir di pipi Syasya apabila melihat riak serba salah di wajah lelaki itu. Untuk apa kau rasa bersalah, Adh? Buatlah! Buatlah apa saja yang kau nak buat. Aku dah tak nak ambil peduli lagi. "Kenapa kau diam? Kau belum habis bercakap, kan? Cakaplah! Aku akan dengar apa saja yang kau nak cakap sekarang," luah Syasya bersama nada sendu. Sungguh, dia sudah tidak mampu menahan rasa sedih dan kecewanya ketika ini. Adh tetap terdiam kaku. "Adh... Umi merayu, tolong jangan berkasar lagi dengan Syasya. Jangan bergaduh lagi," rayu Puan Maria pula Suara itu semakin menambahkan sendu dalam hati  Syasya. Kenapa baru sekarang, mak long? Syasya tahu, mak long pun sama macam Adh. Mak long tak sukakan Syasya. Mak long tak ikhlas pun terima Syasya sebagai bakal menantu. Mak long suka bila tengok Adh memalukan Syasya macam tadi, kan? Syasya mengalihkan anak mata apabila terasa pegangan tangan Adh mula longgar. Jelas, tangannya yang putih sudah berbekas lima jari akibat cengkaman tangan kasar Adh sebentar tadi. "Kau dah tak ada apa-apa nak cakap, kan? Aku nak balik!" Tidak menunggu balasan Adh, Syasya terus mengatur langkah. "Syasya..." Sepasang telinganya dapat mendengar dengan jelas suara umi Adh yang memanggilnya. Namun hatinya sudah beku. Telinganya sudah pekak. Mulutnya juga sudah bisu untuk mengeluarkan patah bicara. Tanpa berpaling, langkah diteruskan lagi. Kali ini sudah tiada siapa pun yang menghalang. Termasuklah Adh sendiri. 

SAMA SEPERTI SAYANGMUWhere stories live. Discover now