BAB 3

180 5 0
                                    

SYASYA menghempaskan tubuh di atas tilam. Kesedihan dihamburkan semahu-mahunya. Ketika dia ingin melangkah pulang sebentar tadi, mama tibatiba muncul di muka pintu. Syasya tahu, mama baru pulang dari pasar raya bersama Amry. Kedua-dua wajah itu nampak terkejut apabila melihat matanya yang kemerahan dan bengkak akibat menangis. Mama lagilah. Berubah terus air mukanya. Apabila dia ingin meminta diri, mama pula menghalang. Mama meminta dia tunggu sehingga majlis doa selamat dan solat hajat disempurnakan. Amry pula mencadangkan supaya dia berehat dulu di bilik tetamu. Sebentar tadi, tangisannya cuba ditahan kerana mama ada di sisinya. Dia cuba berpura-pura seperti tiada apaapa yang berlaku. Tetapi apabila Amry bertanya tentang kesan lebam di tangannya, cepat sahaja air mata kembali mencemari pipinya. Mahu atau tidak, Syasya terpaksa bercerita juga kepada mama tentang apa yang terjadi. Sumpah, dia tidak berniat untuk memburuk-burukkan Adh ataupun sesiapa. Cuma, dia ingin meluahkan kesedihan hatinya saja. Selepas mama dan Amry keluar dari bilik itu, Syasya menghamburkan lagi kesedihan hatinya. Cincin yang disarungkan dengan cara paksa oleh Adh sebentar tadi sudah dicampakkan entah ke mana. Ya, memang sedih apabila diperlakukan seperti itu oleh seorang yang bakal menjadi imam untuknya. Seorang lelaki yang bakal melalui kehidupan berumah tangga bersamanya. Sungguh, dia tidak menyangka Adh sanggup melakukan dia sampai macam tu sekali di hadapan semua orang. Hanya kerana dia inginkan ikatan pertunangan. Apa salahnya jika Adh menyarungkan cincin itu dengan cara yang baik? Masih sempat walaupun hanya beberapa jam sahaja lagi mereka akan diijab kabulkan. "Syasya..." Suara garau itu membuatkan Syasya tersentak. Namun, dia tidak menoleh. Dia kenal suara siapa yang baru sahaja menyeru namanya itu. Siapa lagi kalau bukan bakal suaminya, Adh Khusyairi. "Syasya... Aku nak masuk ni." Baris bicara itu menambahkan kesedihan hati Syasya. Setitis air mata menitis lagi ke pipi. Namun cepatcepat disapunya dengan kasar. Kedudukannya dibetulkan. Syasya duduk bersila di atas katil itu. "Umi suruh aku sapukan ubat..." "Tak payah! Aku boleh sapu ubat sendiri," balas Syasya kasar. "Maaf, aku tak sengaja..." "Ya, kau memang tak sengaja, dan tak pernah sengaja. Tak perlu minta maaf. Aku dah maafkan kau. Sekarang tolong keluar dari bilik ni," pintas Syasya laju. Kali ini dia sudah tidak pedulikan air matanya yang menitis jatuh. "Aku cuma..." "Adh, please..." Sekali lagi Syasya memintas baris bicara lelaki itu. "Tolong keluar dari bilik ni sekarang. Aku bukan calon isteri yang sempurna untuk kau. Lagi lama kau kat dalam bilik ni, aku tak tahu apa lagi yang aku akan buat pada kau." Adh merenung wajah itu sekejap. Mendalam maksud kata-kata Syasya itu sehingga mampu mengusik hatinya. Ya, dia memang sudah tersilap bicara ketika berperang mulut dengan Syasya tadi. "Keluar, Adh," arah Syasya sekali lagi. "Aku akan keluar. Tapi selepas aku sapukan ubat kat tangan kau." Adh tetap berdegil. Langkah di atur menghampiri katil lalu duduk dilabuhkan di sisi Syasya. Syasya mengetap bibir kuat. Dia nampak Adh bersungguh-sungguh ingin menyapu ubat pada lengannya. Cepat-cepat dia merampas botol ubat itu dari tangan Adh. Ubat itu terus disapu kasar pada lengannya. Sakit, tetapi hatinya lebih sakit dengan kehadiran Adh di dalam bilik itu. "Aku dah sapu ubat. Sekarang ni aku nak kau keluar dari bilik ini. Nanti boleh menimbulkan fitnah. Nanti aku dianggap sebagai perempuan murahan. Tak pun aku akan dianggap sebagai perempuan yang tidak sempurna, dan tidak sesuai untuk menjadi isteri kau, Adh Khusyairi." Sekali lagi Syasya memulangkan paku buah keras. Adh mengalah. Kotak ubat itu diambilnya lalu berdiri di sisi Syasya. Sempat anak matanya singgah memandang wajah sembab gadis itu. "I am sorry." Hanya sebaris ayat itu yang mampu diluahkan sebelum melangkah keluar dari bilik itu. Syasya langsung tidak mengendahkan baris ayat itu. Memandang sekujur tubuh itu juga dia tidak sudi. Sungguh, dia benar-benar sedih dengan apa yang berlaku pada hari ini. Esok, lusa dan hari-hari yang seterusnya, apa lagi yang akan berlaku? Dan Syasya tahu, dia sedang mempertaruhkan masa depannya dengan menerima amanah arwah Haji Ibrahim. Jika diikutkan hatinya yang dipenuhi dengan amarah, ingin sahaja dia lari dari rumah dan meninggalkan majlis yang akan berlangsung esok. Tetapi dia masih mampu untuk memikirkan mana yang baik atau buruk. Jika dia melakukan perkara seperti itu, dia bukan saja memalukan keluarga Adh. Tetapi dia juga akan memalukan mamanya. Siapa lagi ahli keluarga yang dia ada selain mamanya? Selama ini pun mereka hanya hidup berdua. Susah dan senang bersama-sama. Dan dia pernah berjanji di hadapan arwah papanya bahawa dia akan menjaga mamanya dengan baik. Dia tidak akan pernah menyakiti hati mamanya. Janji itu dipegangnya sampai ke hari ini. Dan hari, dia telah menyakiti hati mamanya. Hanya kerana seorang Adh Khusyairi. SELEPAS menunaikan solat maghrib, Syasya terus mengemaskan ikatan rambutnya. Dia sudah berjanji untuk membantu mamanya di dapur selepas solat. Baru saja langkah diatur ke muka pintu, tiba-tiba sahaja daun pintu bilik sudah ditolak dari luar. Syasya terus mengangkat wajah, memandang gerangan yang membuka pintu bilik itu tanpa sebarang ketukan ataupun salam. Dua wajah yang tidak dikenalinya menerpa masuk ke dalam bilik itu lalu menutup daun pintu. Jelas, Syasya dapat mendengar tombol pintu yang dikunci dari dalam. Berkerut dahinya apabila melihat tingkah pelik kedua-dua wanita itu. "Syasya Lyana?" sapa salah seorang daripadanya. Teragak-agak, Syasya mengangguk. "Kak Dee, inilah perampas tu!" Anak mata Syasya terus beralih memandang wajah bengis wanita yang sedang memanggilnya sebagai 'perampas'. Perampas... Hati kecil Syasya mengulangi kembali sepatah perkataan itu. Kedua-dua wajah itu dipandangnya silih berganti. Kali ini dugaan apa pula? Dan siapa kedua-dua wanita ini? Adakah mereka ada kaitan dengan Adh Khusyairi? "Hoi, perampas!" Serentak itu, bahunya ditunjal dengan kuat oleh tangan wanita yang memanggilnya sebagai perampas sebentar tadi. Terundur langkahnya beberapa tapak. "Nana... Jangan buat macam tu," tegur perempuan yang bernama Kak Dee itu. "Macam mana Nana tak buat macam ni, akak? Dia ni perempuan tak guna! Kurang ajar sangat! Dia dah rampas Abang Adh daripada akak." Berdesing telinga Syasya mendengar suara nyaring wanita yang bernama Nana itu. Namun, anak matanya tetap tidak berganjak. Kedua-dua wajah itu dipandangnya lagi. "Hei, perempuan! Kau tahu tak dia ni siapa?" tanya Nana lagi. "Maaf, saya tak tahu awak dan dia ni siapa." Walaupun teragak-agak, Syasya tetap menjawab. "Kau tak payah berlagak baik sangatlah, Syasya Lyana! For your information, she is Abang Adh's fiancee. Tapi kau ni punyalah busuk hati. Kau dah rampas Abang Adh daripada Kak Dee!" Tergamam! Hampir-hampir sahaja Syasya terngadah akibat mendengar penjelasan itu. Tunang Adh. Hatinya menyebut kembali baris ayat itu. Ya Tuhan, rupa-rupanya Adh dah bertunang. Patutlah dia asyik mengalihkan topik perbualan apabila Syasya ajak bertunang. Adh... Permainan apakah ini? Kalau kau dah bertunang, kenapa kau masih nak teruskan amanah arwah Haji Ibrahim? Soalan itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. "Kau tak payah buat muka terkejutlah, perempuan tak guna! Disebabkan kau, Abang Adh terpaksa putuskan pertunangan mereka." Syasya terdiam sepi. Sungguh, dia benar-benar terkejut dengan apa yang sedang didengarinya ketika ini. "Nana... Sudahlah. Jangan cakap perkara yang bukan-bukan lagi. Akak cuma nak kenal siapa Syasya Lyana saja. Bukan nak cari gaduh dengan sesiapa." Adeera cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan. Bagi Syasya, suara lembut itu bagaikan pisau tajam yang sedang menghiris hatinya. Memang diakui, tunang Adh ini seorang perempuan yang cantik. Suaranya lembut. Sikapnya juga lemah lembut. "Ya, aku memang akan cari perempuan yang lebih layak berbanding kau untuk dijadikan seorang isteri. Malah, aku akan cari seorang isteri yang jauh lebih sempurna berbanding kau." "Tapi bukan sekarang, Syasya Lyana! Lepas kau dan aku dah kahwin. Lepas kau dan aku tunaikan amarah arwah Haji Ibrahim." Baris ayat yang pernah disebut oleh Adh siang tadi kembali menjengah fikiran. Hatinya tiba-tiba sahaja menjadi sebak. Jadi, inilah wanita yang lebih layak untuk menjadi isteri kau, Adh? Jadi, dialah calon isteri sempurna itu? Dan akhirnya, kau tetap akan kahwin dengan dia selepas kita tunaikan amanah arwah Haji Ibrahim? Seribu soalan mula bermain dalam minda. Cukup untuk membuatkan kolam matanya berkaca-kaca. "Syasya... Tahniah. Akak doakan semoga Syasya dan Adh bahagia. Dan tolong janji dengan akak yang Syasya akan bahagiakan Adh. Boleh, kan?" Adeera bersuara lagi. Suara sebak dan permintaan wanita itu telah membuatkan air mata Syasya menitis jatuh. Terluka sungguh perasaannya apabila mendengar pesan itu. "Apa yang akak cakap ni? Dia tak akan kahwin dengan Abang Adh esok. Akak yang akan kahwin dengan Abang Adh. Walau macam mana cara sekali pun, Nana tetap akan pastikan akak yang akan kahwin dengan Abang Adh esok." Suara lantang Nana memenuhi ruang bilik itu. "Dah terlambat, Nana," balas Adeera pula. Air matanya turut menitis jatuh ke pipi. Syasya mengetap bibir kuat. Drama apakah ini? Kenapa mesti dia yang berada di tengah-tengahnya? "Masih belum terlambat, akak!" marah Nana pula. Kemudian, sekali lagi tangannya menunjal bahu Syasya. "Hei, perempuan tak guna! Aku nak kau batalkan perkahwinan esok. Kalau kau teruskan juga perkahwinan esok, bukan saja hati kau yang akan terluka. Tapi hati yang jauh lebih baik berbanding kau. Kau tengok sendirilah beza kau dan Kak Dee. Kak Dee jauh lebih layak untuk menjadi isteri Abang Adh," sambung Nana berdas-das. Ya, memang cukup untuk melukakan hati Syasya. Sudahnya, Syasya tetap juga diam membisu dan membiarkan saja air mata menitis ke pipinya. "Jom, Kak Dee! Berbululah mata Nana tengok muka perempuan ni yang penuh dengan kepura-puraan. Harap muka saja cantik. Tapi hati busuk mengalahkan bangkai." Tidak menunggu lama, Nana terus menarik tangan Adeera untuk keluar dari bilik itu. Gedegang bunyi daun pintu bilik yang dihempaskan secara kasar. Syasya terus terduduk di atas lantai. Kedua-dua lututnya ditarik ke pelukan sebelum wajahnya disembamkan di situ. Tangisan dihamburkan semahunya.

SAMA SEPERTI SAYANGMUWhere stories live. Discover now