16

7 1 0
                                    

Kisah Ali Bin Abi Thalib


Kisah Yahudi Dan Saidina Ali

Semenjak seminggu ini, kisah-kisah tentang Yahudi sering berlegar-legar dalam fikiran Harith memandangkan ada seorang Yahudi ingin mendapatkan khidmat guaman tentang satu kes tuntutan sivil ke atas kerajaan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia dan beberapa individu serta agensi.
Puas juga berfikir sama ada patut atau tidak untuk menerima kes tersebut. Namun akhirnya Harith telah ditunjukkan tanda-tanda bahawa untuk berbuat sesuatu itu biarlah berpada-pada dengan kesederhanaan sekadar yang ada sahaja tanpa melampaui batas keupayaan Harith, jadi kami menolak untuk menerima kes tersebut.
Subhanallah...
Namun, seharusnya kita patut faham bahawa Islam mengajar kita untuk memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja hatta kepada musuh Islam sekalipun kerana hidayah itu adalah milik Allah, bukan manusia yang menentukan (atau untuk mengadili iman seseorang).
Kisah Saidina Ali ini boleh diambil istifadah (pengajaran) agar kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan berfikir melalui hayaatus sohabah (kehidupan sahabat yang dimuliakan) sebagai teladan. "Dalam perang Siffin, Khalifah Ali bin Abi Talib kehilangan baju besinya. Beberapa hari kemudian, Ali melihat baju besinya yang hilang itu di tangan seorang Yahudi. Ali berkata kepad Yahudi itu; "Baju itu adalah kepunyaanku. Aku tidak pernah memberikan atau menjualnya kepada sesiapapun."
Jawab orang Yahudi itu; "Tidak! Baju ini adalah kepunyaanku sejak dahulu." Baik Ali mahupun orang Yahudi itu masing-masing mempertahankan hak masing-masing. Akhirnya tidak juga dapat penyelesaian, maka keduanya sepakat pergi menemui hakim Syuriah untuk meminta penyelesaian secara jujur dan adil. Di situ, terjadilah dialog antara sang hakim dengan pihak pendakwa dan yang didakwa.
Ali berkata; "Baju besi yang ada di tangan orang Yahudi ini adalah kepunyaanku sejak dahulu." Hakim Syuriah berkata kepada orang Yahudi itu; "Bagaimana, Ali telah menyatakan bahawa baju besi yang ada di tanganmu itu adalah miliknya?"
Jawab orang Yahudi itu; "Tidak, baju besi ini adalah kepunyaanku." Hakim Syuriah bertanya kepada Ali; "Apakah ada bukti di tangan Amirul Mukminin yang menunjukkan bahawa baju besi itu kepunyaan baginda?"
Jawab Ali; "Ada! Puteraku Hassan dan Hussain tahu betul bahawa baju besi itu kepunyaanku sendiri."
Hakim Syuriah berkata; "Kesaksian anak sendiri terhadap ayahnya tidak dapat diterima menurut hukum yang berlaku.." Selanjutnya, hakim Syuriah berkata; "Kerana Amirul Mukminin sendiri tidak boleh membuktikan dengan pengakuan dua orang saksi yang sah, maka aku memutuskan bahawa baju besi ini adalah milik orang yang memegang sekarang iaitu Yahudi tersebut."
Lalu hakim Syuriah menjatuhkan palunya sebagai tanda persidangan telah selesai.
Sementara Khalifah Ali bin Abi Talib walaupun sebagai Amirul Mukminin dia boleh mengambil tindakan atau sekurang-kurangnya memberikan tekanan kepada sang hakim untuk memenangkannya, tapi beliau tidak menempuh jalan itu. Dia tetap patuh kepada ketentuan hukum yang berlaku.
Adapun hakim Syuriah telah menunjukkan satu contoh bagaimana mestinya sikap seorang hakim yang harus mempertahankan keadilan hukum di atas segala-galanya. Adapun orang Yahudi tadi yang mempersaksikannya dalam mengalami kejadian tersebut merasa takjub dan hairan sekali melihat kepatuhan seorang pembesar tinggi terhadap ketentuan hukum, ketegasan pendirian seorang hakim dalam menegakkan hukum yang semuanya bersumber kepada unsur-unsur keadilan di dalam Islam. Terpesona dengan kejadian itu, orang Yahudi tersebut lantas turut memeluk Islam.
Walaupun begitu, apa yang patut Harith lakukan sekarang jika Yahudi tersebut berterusan memusuhi Harith kerana telah menolak kesnya? Patutkah Harith membuat laporan polis kerana dia (Yahudi tersebut) telah membuat fitnah, memaki hamun serta mengeluarkan kata-kata kesat, melakukan provokasi yang melampau, menyumpah, menghina negara Malaysia dan agama Islam dan berbagai-bagai lagi perkataan yang tidak sepatutnya (melalui emel, sms dan panggilan telefon).....Atau patutkah Harith berlaku adil kepadanya kerana dia juga seorang manusia biasa yang belum sampai kepadanya erti sebuah KEADILAN SEBENAR (HIDAYAH)?
Buat masa ini, (sebagai orang Islam) Harith berpendirian dan mengambil tindakan untuk tidak mahu memusuhi sesiapa (termasuk Yahudi tersebut) kecuali jika berlakunya KEZALIMAN. Sehingga masa tersebut tiba, Harith hanya akan mendiamkan diri sahaja ibarat naga yang sedang tidur lena. Tiada peperangan dan Harith harap dia (Yahudi tersebut) mengawal kelakuannya agar tidak melampaui batas yang sepatutnya ATAU...
Jadi Harith berharap agar dia (Yahudi tersebut) berhenti mengganggu kami atau melakukan provokasi melampau kerana kami tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa termasuk dia. Simple and easy. Ingatlah, keadilan itu milik semua biar siapa pun kita. Bersederhanalah dalam apa keadaan sekalipun kerana bersikap sederhana itu adalah lebih baik.
1) Tidak ada keadilan selagi undang-undang manusia (Lord Reid) digunapakai sehingga digantikan dengan undang-undang syariah dan undang-undang yang ditegakkan atas syariat Islam.
2) Racist (rasis) atau sentimen perkauman tidak ada dalam undang-undang islam. Keadilan mesti ditegakkan sebagai satu medan dakwah kepada non-muslim atau sebagai landasan atas nama kebenaran.
Selamat membaca dan berfikir!


kisah 4 sahabatTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang