Dirgahayu Bab 3: Mayat Hidup

147 10 2
                                    

Buat pertama kalinya, selepas dua semester mereka belajar di Universiti Tun Perak, Waqi hadir seorang diri dengan motorsikal besarnya. Pemandangan Waqi yang membawa beg hitam, masih kekal dalam jaket kulit hitamnya yang disarungkan pada baju-T putihnya, bersama rantai perak dan juga cermin mata hitam kelihatan asing tanpa Khairul Anuar, Aiman Hakim dan beberapa nama ahli kumpulan mereka. Maka seperti yang dijangkakan oleh Waqi sendiri, bunyi bisikan memenuhi koridor-koridor Universiti Tun Perak sebaik sahaja dia melangkah seorang diri.

"Waqi... kau gaduh dengan Aiman ke?"

"Wow, Waqi jadi lone wolf hari ni!"

"Pakwe kau dah hilang ke Waqi?"

Ada juga suara-suara nakal yang mengusik. Namun, semuanya tidak diendahkan oleh jejaka berusia 19 tahun itu. Langkah kakinya disasarkan ke arah dewan kuliahnya. Dia sedang lewat. Apa yang berlaku semalam telah membuatkan dia hampir tidak tidur, sebelum hanya pada azan subuh berkumandang, dia terlena. Akibatnya, hampir 10 minit deringan telefon bimbitnya yang berkumandang menjerit sebagai penggera tidak langsung mampu membangunkannya. Mujurlah rakan sebiliknya yang tidak mempunyai kelas hari itu membangunkan dia sendiri, tidak tahan disapa bunyi bising dari telefon bimbit Waqi yang menganggu lena paginya.

Sebaik sahaja pintu dewan kuliah ditolak oleh tangan Waqi, pensyarah yang sedang berdiri di depan kelas tergamam. Mungkin seperti penghuni universiti itu yang lain, melihatkan Waqi sendirian tanpa ahli-ahli kumpulannya yang lain merupakan sesuatu yang agak kekok. Tanpa mengendahkan ratusan mata yang turut melekat pada batang tubuhnya, Waqi mengambil tempat duduk di sebelah seorang gadis cantik yang mungkin satu-satunya orang dalam dewan itu, yang tersenyum melihat Waqi seorang diri.

"Awak ikut jugak cakap saya jangan berkawan dengan budak-budak Aiman tu?" soal gadis tu.

"Bukan sekarang Ieda," gumam Waqi sambil mengeluarkan sebuah buku nota dari beg galasnya, mencatat setiap nota yang terpampang di layar putih. Ieda, yang barangkali merupakan teman wanitanya sekadar mengangkat bahu lalu kembali fokus mendengar syarahan pensyarah mereka.

"Kenapa ni?" soal Ieda sambil memegang lembut tapak tangan Waqi yang sedang kusyuk mencatit setiap nota yang diberikan oleh pensyarah mereka. Untuk seketika, Waqi menoleh ke arah Ieda yang tersenyum disebelahnya.

"Saya kenal awak Waqi Zaidi. Kalau awak macam ni, mesti awak tengah stress, ada simpan sesuatu yang sangat besar daripada saya. Apa lagi budak Aiman tu buat kat awak?" soal Ieda lagi. Ayat yang diaturkan oleh Ieda itu membuatkan Waqi terdiam. Dia menatap wajah belahan jiwanya sebelum menyambar tapak tangan Ieda.

"Boleh tak awak ikut saya ponteng kelas hari ni?" pinta Waqi.

"Kenapa?" soal Ieda.

"Saya... seboleh-bolehnya untuk hari ni, saya nak lari dari semua orang. Saya nak spend waktu saya dengan orang yang saya sayang," kata Waqi sambil tersenyum.

"Wayang?" soal Ieda.

"Ada cerita Menggunung hari ni," kata Waqi.

"Novel yang awak suka baca dari novelis Helmi Effendy tu?" soal Ieda. Waqi mengangguk.

"Jom," balas Ieda sepatah. Serentak itu, Waqi sambil menarik tangan Ieda, dan tidak mengendahkan langsung pensyarah, pasangan itu berlari keluar bersama mengikut pintu belakang. Kedengaran juga dari balik telinga Waqi, pensyarah tadi seperti hilang suara untuk beberapa sejenak selepas menjerit memanggil mereka berdua. Sebaik sahaja pasangan dilamun cinta berhenti berlari di hujung luar kelas mereka, Waqi dan Ieda saling berkongsi pandangan sejenak sebelum melepaskan ketawa mereka.

"Puas? Dah hilang dah stress awak tu?" soal Ieda.

"Tak. Tapi tadi... fuhh seronok. Kita buat lagi lepas ni?" pinta Waqi.

DirgahayuWhere stories live. Discover now