Dirgahayu Bab 10: Demi Shiela

258 17 2
                                    

Azam dan Amie saling berpandangan sewaktu mereka mula menghampiri katil yang menempatkan Waqi di Hospital Dirgahayu. Waqi kelihatan berbaring membelakangi mereka, menghadap tingkap yang sedang dilindingi oleh langsir.

Sama ada dia masih berjaga pada malam itu, ataupun sudahpun lena dibuai mimpi. Natasha yang berada di tempat duduk belakang sekadar melihat katil-katil yang berjiran dengan katil Waqi. Sepertinya, mangsa-mangsa dalam wad itu semua ialah mangsa kemalangan.

"Waqi..." panggil Azam, namun Waqi sekadar berdehem.

"Kenapa kau datang lagi malam ni Shahmil? Aku dah cakap pergi! Jangan kesiankan aku! Aku memang bawak malang macam ni!" teriak Waqi tiba-tiba. Mata Azam terpaku pada kaki kanan Waqi yang sudah dipotong dalam balutan. Hanya sebelah kakinya sahaja yang masih wujud lagi. Untuk malam itu, Waqi keseorangan, tidak ditemani oleh sesiapa. Makanan hospital yang tergeletak di atas rak di sebelah katilnya langsung tidak disentuh.

"Awak..." gumam Amie perlahan.

"Malam ni kami yang datang. Shahmil tak sempat datang. Ada hal," kata Azam membuatkan Waqi mengalihkan wajahnya menghadap mereka. Dia terdiam melihat Azam, Amie dan Natasha sedang berdiri sambil merenung ke arahnya.

"Kau datang nak bahan aku sebab hilang kaki aku macam geng-geng Aiman, atau nak kesiankan aku macam si Shahmil?" soal Waqi.

"Tak... aku datang nak protect kau malam ni," gumam Azam membuatkan kening Waqi terangkat tiba-tiba.

Amie tiba-tiba menghampiri Waqi dengan mengambil kerusi kosong di sebelah katilnya.

"Betul ke awak nampak Aiman masa hari sebelum awak kemalangan?" soal Amie, dalam nada suara selembut mungkin yang dia mampu tuturkan.

"Macam mana kau tahu?" soal Waqi terkejut.

"Apa yang awak nampak... bukan halunisasi,"

Amie kemudian menunjukkan mesej yang diterimanya dalam aplikasi wassap. Waqi mengambil telefon bimbit Amie, membaca satu persatu patah perkataan pada mesej yang baru sahaja disebarkan. Untuk seketika, dia tergamam sebelum menoleh ke arah Amie.

"Kau percaya benda yang kau baca ni?" soal Waqi.

"Natasha..." gumam Azam perlahan. Natasha mengangguk sambil menghampiri hujung katil Waqi sebelum melabuhkan punggungnya pada ruang kosong yang wujud.

"Semalam macam tu, aku dengan yang lain-lain turun sendiri tengok kubur si Aiman. Jujur, lubang kubur tu kosong dan kami jumpa Aiman. Dia bangkit... jadi macam zombie. Azam langgar dia dua kali dengan kereta, dan dia tak mati-mati," terang Natasha.

"Dan kali kedua, kami berenam ada sekali dalam kereta tu. Kami gilis dia. Berat kereta, tambah berat kami, dia sepatutnya dah hancur berkecai. Tapi dia boleh bangkit dan ketawa macam orang gila." Azam menoktahkan kisah Natasha.

"Mana Shamil, Safwan dengan Shiela?" soal Waqi.

"Diaorang tengah lindungi Shiela dari seekor lagi undead yang nak bunuh dia," kata Amie.

"Aiman?" soal Waqi.

"Ieda," balas Azam,

"Ieda.... kenapa..." Waqi terdiam kerana dia seperti dapat menangkap apa yang cuba disampaikan.

"Ieda bangkit dari kematian, sebab dia fikir Shiela dengan Haizat ialah pembunuh?" soal Waqi.

"Kami dah jumpa cara untuk tidurkan diaorang balik. Tapi tak tahu berkesan atau tak," jelas Natasha pula.

"Macam mana?"

"Penggal kepala dia," kata Amie.

Waqi terdiam lagi. Dia seperti memikirkan sesuatu.

"Kenapalah aku cacat waktu macam ni... sepatutnya aku dengan kau... aku nak tamatkan semua masalah yang aku cipta ni." Terdengar suara Waqi merungut seorang diri. Azam hilang kata-kata untuk menenangkan Waqi. Dia sekadar menggenggam beg galas yang tersarung di belakang tubuhnya.

"Waqi... awak tak salah dalam hal ni," gumam Amie tiba-tiba.

"Kita kawan Waqi. Sebab tu kami datang. Dalam beg yang Azam dok bawak tu ada macam-macam benda yang dapat lawan benda tu. Kami akan stay dengan kau sampai pagi esok. Setiap malam sampailah kami yakin awak okey," tutur Natasha pula.

Serentak itu, telefon bimbit Azam berdering membuatkan Azam meminta diri untuk seketika, Tertera nama Shahmil pada skrin telefonnya. Sebaik sahaja dia menjawab panggilan itu, kedengaran suara yang penuh dengan emosi tertekan, terdesak dan tergesa-gesa sedang menjerit.

"Azam, aku salah perkiraaan. Malam ni, Ieda dengan Aiman datang nak serang Shiela! Kami kekurangan tenaga nak lawan dua orang ni!" Belum sempat Azam mahu membalas panggilan telefon daripada Shahmil itu, ia tiba-tiba mati begitu sahaja.

"Natasha... kau ikut aku boleh? Amie... tunggu sini, temankan Waqi," arah Azam.

"Kenapa? Apa jadi?" soal Natasha.

"Aiman... dia tak datang serang Waqi. Dia datang dengan Ieda nak serang Shiela malam ni!"

***

Shahmil dan Haizat termengah-mengah sambil masing-masing memegang senjata di tangan mereka. Ada kesan darah pada kapak merah Shahmil dan beberapa cebis isi berserta kulit sedang melekat pada hujung mata parang itu. Ieda dalam keadaan tanpa seurat benang dengan kesan-kesan tanah masih menyelimuti kebanyakan bahagian tubuh, manakala Aiman Hakim berterusan ketawa, laksana orang gila. Safwan entah ke mana hilangnya bersama dengan Shiela.

Keadaan ruang tamu rumah itu sudah tunggang-langgang dibuatnya. Kekabu merata datang daripada sofa yang terkoyak. Kerusi dan meja makan terbalik. Kesan darah juga kelihatan pada dinding dan lantai.

Mungkin datang daripada tubuh Ieda dan Aiman Hakim. Terlihat kesan luka pada leher Ieda yang menyebabkan darah mengalir deras membasahi bahunya. Isi perut Aiman Hakim sudah terburai keluar, mungkin akibat bilasan parang atau kapak mereka.

Namun yang paling penting, walaupun dengan serangan sedasyat itu pun, Ieda dan Aiman Hakim masih mampu lagi berdiri dengan seringai menakutkan. Sepertinya luka parah di leher, ataupun usus yang sedang bergayut itu, tidak langsung mendatangkan sebarang kesakitan.

"Shiela... berikan dia kepada aku, dan kau orang akan selamat!" tutur Aiman.

"Kenapa dia? Bukan Waqi yang bunuh kau ke?" soal Shahmil.

"Aku anggap dia yang bunuh aku. Dia yang buat aku jadi macam ni dan kau orang semua mangsa keadaan jer," gumam Aiman Hakim.

"Kau ni, bukan masa kau hidup jer menyusahkan orang. Masa mati pun kau buat kami tak hidup dengan aman ya?" gumam Haizat sambil tersenyum sinis.

"Aku dengan Haizat dah bagitahu... langkah mayat kami dulu sebelum kau dapatkan Shiela," tutur Shahmil.

"Haizat... aku akan bunuh kau dulu... sebelum aku sendiri akan seksa si Shiela..."

"Kalau macam tu, datanglah sini," teriak Haizat tiba-tiba.

Apa lagi, Ieda terus berlari deras menuju ke arah Haizat. Dia menghulurkan kedua-dua tangannya untuk menyambar leher Haizat, namun Shahmil disebelah Haizat lebih pantas apabila menghayunkan kapaknya membuatkan salah satu daripada pergelangan tangan Ieda terputus daripada tempatnya, menyebabkan darah yang banyak bersembur keluar.

Haizat pula membilas parangnya tepat menuju ke arah leher Ieda. Tidak mengenai semua, tetapi cukup untuk menghasilkan koyakan yang menghasilkan satu lagi air terjun darah yang menderu-deru keluar. Terundur beberapa tapak ke belakang Ieda dibuatnya.

"Terima kasih," ucap Haizat sambil menoleh ke arah Shahmil.

"Sama-sama," balas Shahmil.

"Mana lagi? Cepat!" teriak Haizat sekuat hatinya.

Aiman Hakim apabila tiba-tiba menukar haluan kakinya. Dia sedang menuju ke arah tangga yang membawa ke tingkat dua rumah banglo itu. Ketawanya kedengaran semakin mengejek apabila mendapati kedua-dua hero Shiela itu langsung tidak dapat membaca tindakannya. Haizat dan Shahmil saling berkongsi pandangan sebelum mereka berdua serentak menjeritkan nama Shiela.

Apa lagi, Shahmil dan Haizat membuka langkah seribu, berlumba-lumba mahu mengejar langkah kaki Aiman Hakim dari belakang. Namun, ketika memanjat tangga ke tingkat dua, Ieda melompat menyambar kaki Haizat membuatkan langkah kaki Shahmil terhenti sejenak, menoleh ke arah Haizat yang jatuh terlentang.

"Kau buat apa lagi berdiri kat situ, kejar si Aiman tu!" teriak Haizat terduduk di atas tangga sambil tangannya sedang asyik menebas tangan Ieda yang sedang bergayut pada pergelangan kakinya.

"Sorry..." ucap Shahmil sebelum dia meninggalkan Haizat di anak tangga.

Jeritan Shiela tiba-tiba berkumandang menyambut hawa telinga Shahmil. Itu tandanya yang Aiman Hakim sudah menemui Shiela yang bersembunyi di antara bilik-bilik yang berada di tingkat dua rumah banglo itu. Kesan darah yang datang daripada tubuh Aiman Hakim di atas lantai membawa Shahmil menghampiri sebuah bilik.

Safwan sedang terbaring tidak sedarkan diri. Shiela sedang memegang golok milik Safwan di tangannya dengan air mata deras mengalir membasahi wajahnya, memandang ke arah Aiman Hakim yang sedang berdiri memandang ke arahnya.

"Celaka... jangan cari gaduh dengan perempuan tu. Dia bukan lawan kau!" teriak Shahmil yang muncul di belakang, dalam keadaan tercungap-cungap. Aiman Hakim menoleh ke arah Shahmil yang sedang memegang erat kapak merah di tangannya.

"Sayang betul kau dengan perempuan yang kau baru berkawan beberapa hari ni..." gumam Aiman Hakim.

"Tak kisah, yang penting malam ni kau akan mati!" balas Shahmil.

Tanpa langsung mengendahkan Shahmil di belakangnya, Aiman menghampiri Shiela yang sedang berdiri memegang golok Safwan dengan kedua-dua tangannya.

"Jangan dekat! Jangan dekat!" teriak Shiela seperti orang gila, menghayunkan golok itu berulang kali sehinggalah pada satu masa, dengan satu tangan sahaja, hayunan golok itu disambut oleh tangan Shahmil. Dalam sekelip mata, golok tadi bertukar tangan.

"Kau tunggu dulu. Aku nak robek perut si Shahmil ni. Menyusahkan," tutur Aiman Hakim lalu berpaling menghadap Shahmil yang sedang berdiri menghadapnya. Dengan sekali larian sahaja, Aiman Hakim sudah berada di depan Shahmil. Golok itu dihayunkan ke atas tengkorak Shahmil. Mujurlah Shahmil sempat mengangkat kapaknya, menepis hayunan golok itu. Tapi sayangnya ia membuatkan kapaknya terlepas dari pegangannya, membuatkan Shahmil kini sedang melutut tanpa sebarang senjata.

"Mati!" teriak Aiman Hakim tiba-tiba yang datang dengan ketawa berdekah-dekahnya. Shahmil sudah memejamkan matanya, seperti sudah bersedia untuk disapa kematian. Namun, selepas beberapa saat, menyedari yang kepalanya masih tercantum erat pada lehernya, Shahmil memberanikan diri membuka matanya.

Kelihatan Shiela sedang bergayut pada belakang tubuh Aiman Hakim. Jari jemari Shiela sedang menyucuk tepat kedua-dua bebola mata Aiman Hakim. Ada darah yang mengalir dari soket mata itu. Golok yang sepatutnya sedang berendam dalam tempurung kepala Shahmil kini tergeletak di atas lantai, manakala Aiman Hakim menjerit berusaha untuk menurunkan Shiela yang memanjat belakang tubuhnya.

"Sekarang!" tempik Shiela apabila akhirnya tubuhnya tercampak menghentam dinding. Aiman Hakim dalam keadaan persis Kassim Selamat dalam babak hujung filem Ibu Mertuaku. Darah mengalir keluar persis air mata dari kelopak matanya. Hilang arah terus Aiman Hakim apabila ghaib pandangannya.

Shiela pula sedang terbaring kesakitan. Kedua-dua jari hantunya penuh dengan darah. Shahmil terus mencapai golok yang tadi lalu terus dihayunkan pada leher Aiman. Untuk seketika, kepala itu tergolek di atas lantai sebelum tubuh Aiman Hakim yang bermandi darah itu akhirnya rebah ke atas lantai. Serentak itu, Haizat muncul sambil membawa parangnya.

"Awak..." panggil Shiela perlahan sebelum tidak sedarkan diri.

"Ieda?" soal Shahmil.

"Sama. Kepala dah putus," terang Haizat sambil menghampiri Shahmil yang tersandar pada dinding, tidak jauh daripada tempat Shiela terbaring. Kepala Aiman Hakim yang tidak lagi bernyawa sedang tergeletak di sebelahnya.

"Teori aku betul. Penggal kepala diaorang," tutur Shahmil sambil tersenyum.

Serentak itu juga, Azam dan Natasha muncul dari arah tangga. Mereka terdiam sebentar melihatkan tubuh Aiman Hakim tergeletak di atas lantai. Darah masih mengalir keluar dari leher yang terpisah daripada kepala itu. Perlahan-lahan, tubuh itu mula bertukar menjadi kepingan abu yang seolah-olah baru sahaja dibakar. Akhirnya, selepas beberapa ketika, lenyap terus tubuh Aiman Hakim berserta kepalanya yang terputus, seolah-olah tidak pernah wujud langsung.

"Ieda sekali... jadi abu-abu macam ni..." gumam Azam.

Pintu bilik di belakang mereka terkuak. Kelihatan Safwan melangkah keluar sambil memegang kepalanya.

"Mak aku balik 2 hari lagi. Aku tahu, masa dia datang, semua darah, bersepah ni semua kita dah kemas. Dia tu lagi menakutkan daripada undead yang kita lawan hari ni," gumam Safwan sendirian membuatkan ketawa antara mereka meletus. Cuma, Shahmil sahaja yang tersenyum. Tenaganya untuk ketawa pun sama hilang selepas semalaman cuba menewaskan makhluk durjana bangkit dari kematian itu.

***

Waqi terpisat-pisat membuka matanya. Bunyi detingan notifikasi mesej yang masuk bertalu-talu beserta dengan panggilan telefon datang daripada telefon bimbit Amie yang mengejutkan gadis itu yang begitu setia menemaninya semalaman.

Waqi menoleh dan kelihatan Amie terlentok kepalanya di atas katil, betul-betul bersebelah dengan kakinya berbatalkan lengan Amie sendiri. Amie sedang lena, tidak menyedari yang wajahanya dilindungi separuh rambut lurusnya sedang diperhatikan oleh Waqi. Kaca matanya sudah terlurut jatuh ke pertengahan hidung mancungnya.

"Cantik," ucap Waqi spontan.

"Bang... handphone tu. Aku pun nak tidur jugak. Baru pukul 6 pagi ni," tutur penghuni di sebelah katil Waqi.

"Okey... jap jap..." kata Waqi sambil mencapai telefon bimbit Amie disebelah lengannya. Untuk kali kedua, tergamam pada gambar yang menghiasi skrin telefon bimbitnya. Amie dalam rambut yang dibiarkan lepas dan berkaca mata sedang tersenyum dalam swafoto yang ditangkap bersama Shiela.

"Cantik..." ucap Waqi buat kali kedua malam itu.

"Bang... sumpah bising telefon tu. Aku nak tidur." Suara penghuni katil di sebelah Waqi sudah bertambah kuat.

"Okey-okey..."

Telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 5 milik Amie itu tidak berkunci. Tidak perlu memasukkan corak atau kata laluan tertentu. Cukuplah sekadar skrin hadapan itu ditolak ke tepi, maka Waqi akan dibawa ke halaman utama. Benda pertama yang Waqi cuba buat ialah senyapkan notifikasi telefon itu. Namun, whatsapp terbaru yang masuk ke dalam telefon bimbit Amie itu membuatkan Waqi terpaku.

"Greetings Dirgahayu..." Itu, bukan ke kisah lelaki misteri yang diceritakan oleh Azam semalam? Kononnya dengan mesej berantai yang disebarkan di kumpulan whatsapp sahaja akan membuatkan cerita-cerita itu menjadi realiti. Yang penting, mesej tersebut bermula dengan ayat "greetings Dirgahayu."

Dia terus membuka mesej yang masuk. Ada nombor misteri tertera memasuki aplikasi whatsapp Amie. Mungkin itulah nombor asal penyebar mesej berantai yang baru sahaja masuk. Atau mungkin nombor yang entah ke seribu kali barangkali yang menerima mesej berantai tersebut dan disebarkan ke nombor Amie.

---

Greetings Dirgahayu...

Aku Si Luncai yang setiap kisahnya menjadi realiti. Kita lupakan mayat hidup yang bangkit membunuh para pembunuh. Kisah kali ini lebih menarik. Aku percaya kisah kali ini akan mencuri perhatian seluruh populasi Dirgahayu mencecah 500 ribu nyawa.

Aku percaya setiap 500 ribu nyawa itu ada permintaan yang dah lama dipendamkan. Nak jadi kaya? Nak jadi tampan? Nak jadi gagah perkasa? Nak disukai ramai? Aku ada jawapan kepada untuk merealisasikan setiap permintaan kalian.

Datang ke Pantai Merbok pada tiga hari daripada hari ini, tepat jam 12 tengah malam. Akan ada makhluk mistik, yang akan menunaikan permintaan mereka yang berada di situ bulan mengambang ini. Datang, bawa sanak saudara, keluarga dan sesiapa sahaja.

Tapi ingat... setiap kisah aku ceritakan tidak akan jadi realiti kalau tidak disebarkan sebanyak mungkin. Tepat pada angka 77, ia akan jadi realiti. Sebarlah mesej ini kepada sesiapa rakan taulan anda. Manalah tahu anda antara yang bertuah ditunaikan permintannya bulan mengambang ini.

-----

Sebaik sahaja menghabiskan bacaan mesej itu, Waqi terus menoleh ke arah kaki kanannya yang dipotong akibat kemalangan. Lama bahagian kakinya yang hilang itu ditatap penuh sayu sebelum dia menatap wajah Amie yang sekadar bergerak sedikit dalam lenanya.

"Orang cacat macam aku... mesti kau tak pandang," gumam Waqi lagi sebelum meletakkan telefon bimbit Amie kembali ke sisi gadis itu. Sisa-sisa waktu yang tinggal dibazirkan oleh Waqi pagi itu menatap wajah Amie yang sedang lena. Tanpa disedari sendiri oleh Waqi, betapa senyuman sedang terukir di wajahnya sehinggalah dia turut sama tertidur kembali.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 26, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

DirgahayuWhere stories live. Discover now