Bab 1

8.7K 39 0
                                    


PUAN MARYAM termenung di meja makan. Segelas air suam diteguk bagi menenangkan diri sendiri. Dadanya diurut perlahan. Matanya jauh merenung ke dalam dunia khayalannya sendiri. Suatu masa dulu, betapa menderitanya dirasakan suatu tika itu. Setelah kematian suami, Puan Maryam membanting tulang, mengerah tulang empat keratnya berkerja bagi membesarkan anak-anaknya yang masih kecil. Hasil perkahwinanya yang terdahulu, dia dikurniakan dua orang anak perempuan. Izara yang berumur dua puluh satu tahun dan kini sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bagi peringkat Diploma, manakala Aryana pula baru sahaja menamatkan persekolahan di tingkatan lima.

Tidak pernah sekalipun anak-anaknya dibiar kelaparan. Tidak pernah pakaian anak-anak tidak berganti baru. Apa saja kerja yang ada, dia akan buat. Hampir tiga tahun bergelar balu, Puan Maryam menerima lamaran daripada Haji Zahir. Kini, anak-anaknya sudah menginjak ke usia remaja. Perkahwinannya dengan Haji Zahir juga sudah memasuki usia sebelas tahun. Terasa sedikit ringan beban yang tergalas dibahunya. Pun begitu, benarlah kata orang. Lebih baik menjaga sekandang lembu, berbanding menjaga seorang anak perempuan. Sekarang barulah Puan Maryam mengerti mengapa adanya pepatah sebegitu. Pedih hatinya mengenangkan pergaduhan di antara dia dan anak bongsunya sebentar tadi.

"Orang nak keluar sekejap je, ibu... Orang dah janji dengan kawan-kawan. Bolehlah ibu..." Si anak merengek sambil menggosok bahu si ibunya yang sedang mencuci pinggan mangkuk di sinki.

"Yaya nak keluar buat apa malam-malam buta? Nak pergi mana? Yaya kan perempuan... bahaya tahu tak? Kalau jadi apa-apa macam mana?" Puan Maryam bertanya dengan lembut kepada anak perempuan keduanya yang lebih mesra dipanggil Yaya.

Puan Maryam menutup pili air. Berkalih pula ke peti ais. Mengeluarkan sayur-sayuran dan bahan mentah untuk menyediakan hidangan makan malam. Yaya menurut langkah ibunya. Masih mencuba untuk memujuk.

"Ala ibu... Orang janji orang keluar kejap je. Orang janji akan jaga diri orang... Bolehlah bu...."

"Yaya... jangan macam ni boleh tak? Ibu cakap tak boleh kan? Dengarlah cakap ibu. Jangan nak melawan sangat!"

"Tapi kenapa? Bukan orang pergi sorang-sorang pun. Ramai yang pergi. Murid-murid kelas orang semua pergi. Bolehlah ibu. Please ibu, please... kali ni aje. Tolonglah buu... kitorang nak meraikan keputusan SPM yang akan keluar bulan depan ni."

"Raikan kat rumah dengan ibu dan ayah pun boleh Yaya. Tak perlu keluar tak tentu hala. Bukannya wajib pun acara tu... lagipun keputusan belum keluar, nak raikan apa? Peliklah korang ni." Puan Maryam masih bertegas.

"Memanglah tak wajib... lagipun manalah tahu, kot-kot ni last kitorang berjumpa. Lepas ni semua bawa haluan masing-masing kan. Susah dah nak jumpa..."

"Ibu bosanlah Yaya! Ibu cakap tak boleh, tak bolehlah! Pergi masuk bilik. Mandi! Tolong ibu masak! Yaya dah besar. Nak masak nasi, pun tak pandai lagi! Sibuk nak berjalan!" Puan Maryam mula meninggikan suara.

"Tolonglah bu... kali ni je bu... bolehlah bu..."

"Yaya!! Sudah!! Ibu cakap tak boleh kan?! Susah sangat ke nak faham...?"

"Ibu..." Yaya membentak. Tak puas hati.

"Ibu, ibu! Ibu kenapa? Kakak dulu takde pun merengek macam Yaya. Takde pulak dia mintak dengan ibu nak keluar berparty dengan kawan-kawan. Elok je boleh masuk U. Tak boleh ke Yaya ikut perangai kakak?"

"Kakak lain... orang ni lain. Memanglah tak sama." Yaya mencebik. Memang tidak suka jika dibandingkan dengan kakaknya.

"Apa yang lainnya? Dua-dua anak ibu. Dua-dua pun membesar dalam rahim ibu, membesar dengan susu ibu, dapat kasih sayang yang sama rata daripada ibu. Apa yang tak sama? Cuba bagitahu ibu."

Satu Tanpa CintaWhere stories live. Discover now