Bab 14

2.5K 28 0
                                    

"YAYA nak makan apa? Kat sini ada Pizza, Marry brown, KFC pun ada... Yaya nak apa?" Akim bertanya sambil menjinjit plastik Watsons berwarna hijau ditangannya.
"Tak nak."
"Tak nak? Betul ke? Tak lapar?" Haish. Pelik kalau tak lapar. Dari petang tadi mereka cuma makan sotong celup tepung je. Takkan tak lapar budak kecik ni?
"Tak."
"Yaya biar betul. Takkan tak lapar?"
Yaya diam. Memang lapar. Tapi masih marah dan merajuk dengan Akim. Sudahnya, Akim juga diam sama. Mengikut rentak Yaya. Sampailah mereka ke hadapan rumah sewa. Yaya turun menjinjing beberapa beg plastik.
"Yaya tunggu dalam bilik. Jangan keluar tau... abang nak suruh budak-budak abang datang sini. Tolong angkat barang-barang ni."
Yaya jalan menonong saja. Malas menjawab. Sengaja dipekakkan telinga. Dikelek masuk plastik daripada Pasarayaku kedalam bilik. Satu set cadar dibuka dan dibentangkan ke atas tilam. Bantal juga sudah siap disarung dengan sarung bantal. Bunyi bising di luar rumah, tidak diendahkan Yaya. Lagipun Akim sudah berpesan jangan keluar dari bilik.
"Rumah siapa ni, bang?" Hairi bertanya kepada Akim. Duduk mencangkung di birai jalan sambil menghisap rokok. Penat juga lepas mengangkat peti ais dan mesin basuh. Berat oo.
"Rumah mak saudara."
Akim terpaksa berbohong. Memang perkerjanya tidak tahu bahawa dia sudah berkahwin. Entah kenapa dia merahsaikannya, dia pun tak tahu. Rasanya biarlah ianya menjadi rahsia dulu. Memberi ruang kepada Yaya menerima semua ini dengan rela hatinya.
"Oh..." Hairi nak bertanya banyak lagi, tapi rasa macam tak patut pula. Tengok muka Akim pun, macam nak berahsia.
"Jom gi makan." Akim mempelawa Hairi dan Epul. Akim membawa keretanya, Epul dan Hairi pula menaiki lori.
Sekeping mesej dihantar kepada Yaya.
*Abg g makan jap. Abg bungkus makanan untk Yaya ya.

YAYA termenung di dalam bilik. Mesej Akim dibaca, namun tidak dibalasnya. Selepas mengeluarkan segala barang yang dibeli, Yaya ke dapur. Tong sampah di dalam plastik dikeluarkan. Diletakkan di tepi dinding tepi tandas. Barang mandian juga diletakkan ke dalam bakul dan dimasukkan ke dalam bilik air.
Peti ais di dapur sudah siap disambung ke suis. Mesin basuh juga sama. Yaya mencapai kettle dan menjerang air. Sementara menunggu air masak, Yaya mengeluarkan segala perkakas dapur yang dibeli tadi, disimpan ke dalam kabinet. Botol minuman disusun elok ke dalam peti sejuk. Pinggan mangkuk diletakkan saja di atas lantai. Rak pinggan masih di dalam kotak. Belum dipasang.
Setelah berpuas hati dan bermandi peluh, Yaya masuk semula ke dalam bilik. Sehelai kain batik untuk basahan dibawa bersama tuala mandi. Masa untuk mandi.

Akim menggunakan kunci pendua dan masuk ke dalam rumah bersama sebungkus makanan. Nasi goreng cendawan buat si isteri dan air laici ais. Masuk saja ke dalam rumah, dia terkesima seketika. Aku salah masuk rumah orang lain ke? Langsir sudah siap dipasang di sebalik pintu sliding. Laju budak kecik ni buat kerja.
Akim ke dapur dan meletakkan makanan yang dibeli di atas kabinet dapur. Semuanya sudah siap tersusun. Tong sampah berada di tempat yang sepatutnya. Jag air kemas teratur. Rice cooker, kettle juga sudah keluar daripada kotak. Bunyi air dari dalam bilik air, menandakan Yaya berada di sana.
Akim menanggalkan tshirt dan mula duduk bersila di atas lantai. Kotak yang membaluti rak pinggan dibuka. Satu persatu isi didalamnya dikeluarkan. Akim mula memasang mengikut gambar yang disertakan di dalam kotak.
Yaya yang baru selesai mandi, membaluti tubuh dengan tuala. Sehelai tuala lagi dillilit ke kepala. Terjegul saja kepalanya dibalik pintu, dia rasa macam nak putus nafas.
Akim pula sedang elok memandang ke arah Yaya. Nafas berat dilepaskan. Tubuh Yaya yang terdedah. Leher dia, colarbone dia, betis dia. Dalam basah macam tu. Ahhhh! Inilah godaan rumah tangga.
Yaya yang mula perasan dengan pandangan nakal Akim, cepat-cepat melangkah. Dikunci rapat pintu bilik. Beria dia ingatkan dia akan keluar dulu sebelum Akim balik. Silap rupanya. Tak pasal-pasal Akim dapat tayangan free. Sekali lagi!
Selesai berpakaian, Yaya keluar ke dapur. Menjenguk Akim yang sudah siap memasang rak pinggan. Akim yang sedang menyusun pinggan mangkuk di atas rak berpaling apabila terbau wangian Yaya. Yaya berlagak macam biasa. Masih pakai tshirt separas punggung, bersama seluar pendek paras lutut.
"Tu nasi goreng Yaya. Atas kabinet." Akim menjuih bibir ke arah kabinet..
"Hum... lambatnya Abang Akim balik. Pergi mana lagi tadi?" Yaya mencapai bungkusan nasi dan letakkan di atas lantai. Sebatang sudu dan garfu dihulurkan oleh Akim.
"Abang pergi makan. Lepas tu budak-budak tu ajak pergi karaoke. Abang layan jelah." Akim melabuhkan duduk di sebelah Yaya. Menemani Yaya makan.
"Oh... siapa lagi tadi?"
"Abang, Hairi dan Epul. Diorang orang Kelantan. Ikut abang masa mula-mula nak buka kedai kat sini hari tu.." Akim tidak kekok bercerita kepada Yaya.
Yaya pula semakin terbuka dengan Akim. Apa yang dia ingin tahu, dia akan tanyakan kepada Akim. Apa yang dia tak puas hati, dia akan luahkan. Satu peningkatan yang baik dalam hubungan mereka.
"Habis, diorang duduk sini, tinggal kat mana?" Yaya terus makan sambil bersembang dengan Akim.
"Duduk dalam kedai. Kedai tu luas. Bahagian belakang, ada bilik. Diorang duduk situlah."
"Oh... " Yaya berhenti makan.
Plastik minuman dibuka ikatannya. Straw dimasukkan dan minuman itu disedut perlahan. Plastik minuman itu diletakkan kembali di atas lantai. Disandarkan ke dinding.
"Nak?" Yaya bertanya kepada Akim. Asyik sangat makan, lupa nak pelawa makan sekali.
"Takpelah. Abang dah makan tadi. Abang tak tahu nak beli apa kat Yaya. Sedap tak?"
"Orang makan semua. Takde pantang... Hihi."
"Sedap?"
"Sedap... nah rasa." Yaya menyuakan sudu berisi nasi goreng ke arah mulut Akim. Akim senyum. Alahai...
Dinganga juga mulut dan menerima suapan Yaya. Peluang yang jarang muncul, jangan ditolak.
"Sedap?" Tanya Yaya setelah Akim selesai mengunyah.
"Not bad..."
"Hum... kan. Sedap kan? Nak lagi?"
Akim pantas menggeleng. Tangan dilekap ke perut yang tidak berbaju.
"Tak nak... abang kenyang dah. Abang teman Yaya je." Akim menolak. Tangki dah penuh. Takde ruang untuk diisi lagi.
Yaya makan dan ditemani Akim. Selepas makan, mereka masuk ke dalam bilik. Akim sudah bersiap untuk mandi. Yaya pula menyandar kekenyangan diatas katil.
"Ni rak baju Abang Akim ke?" Yaya menunjukkan ke arah satu-satunya rak yang berada di dalam bilik mereka.
"A'ah..."
"Pakaian orang, nak letak kat mana?" Yaya bertanya lagi.
Susah tahu tak, simpan pakaian di dalam beg. Tiap kali nak pakai, kena punggah semua. Lepas tu kena masukkan balik dalam beg. Penat!
"Hum... takpe. Esok abang beli almari ye...? Pakaian abang pun banyak lagi duk dalam beg."
"Hum. Ok." Akim ni senang saja. Merungut je, terus dia akan belikan. Best ni!

MALAM mereka berlalu begitu saja. Keesokannya, Akim meninggalkan Yaya sendirian di rumah. Akim pula ke Jaya Motor. Lama sudah dia bercuti. Time to back to work.
Bosan! Yaya meniarap di atas katil. Sekejap dia ke dapur, sekejap ke ruang hadapan. Mati kutu! Tadi dia sempat bermesej dengan kakaknya. Tapi sekejap saja. Hanya sekadar bertanya khabar ibu, abahnya saja. Yaya merasakan dirinya semakin jauh daripada keluarganya sendiri. Telefon bimbit dicapai. Mesej dihantar kepada Akim.
*Buat apa tu

Tak sampai dua minit, bunyi mesej masuk membuatkan Yaya teruja. Nasib baik dia reply mesej aku.

*X de buat apa.
*Nape?

Yaya tersengih. Alahai...
*Bosan

Akim
*Lapar?

Yaya
*Tak.
*X tau nak buat apa.

Akim
*Org dah hantar almari belum?

Yaya
*Takde pun

Akim
*Ye ke?
*Kejap lagi kot...
*Nanti abg call org tu

Yaya
*Ok

Akim
*Pakai seluar panjang nanti tau.
*Jgn pakai seluar pendek.

Yaya
*Ye. Org tau la

YAYA melihat jam yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Baru pukul sepuluh pagi. Yaya mencapai penyapu di dapur. Ruang rumahnya disapu sekali lagi. Ini sudah masuk kali kedua dia menyapu. Bosan punya pasal. Hampir ke jam sebelas pagi, suara orang memberi salam di muka pintu mengejutkan Yaya.
"Ye?" Yaya mengintai di balik pintu yang dibuka sedikit.
"Err... Rumah Akim kan?" Tanya lelaki yang lebih kurang sebaya Haji Zahir.
"Ye..." Yaya menjawab.
"Oh. Pak cik datang nak hantar barang." Kata pak cik itu kepada Yaya. Tadi pun Akim ada bagi tahu, ada perempuan yang duduk di rumah itu.
"Almari ke?"
"Ye..."
"Oh. Masuklah."
Yaya membuka pintu luas sedikit. Pak cik itu kembali ke lori semula. Dua orang lagi lelaki keluar daripada bahagian hadapan. Yaya hanya melihat mereka mengusung almari. Seramai lima orang. Mana datangnya dua orang lagi tu? Dari belakang lori mungkin.
"Awak tak payah masuk ye. Tunggu kat sini. Nak letak kat mana ni?' Tanya pak cik tadi kepada Yaya. Tak manis pula kalau budak perempuan itu berada didalam rumah bersama mereka.
"Dalam bilik yang pertama tu." Yaya memberi arahan. Dan dia menunggu diluar rumah. Mujurlah bilik sudah dikemas tadi.
Lima orang lelaki tadi, keluar apabila selesai meletakkan almari ke tempat yang diarahkan. Yaya yang baru saja melangkah mahu masuk ke dalam rumah, terbantut apabila dipanggil oleh pakcik tadi.
"Err... Adik."
"Ye?" Yaya berpaling.
"Sekejap ye. Ada lagi ni."
Yaya berdiri kembali di tempat tadi. Ada lagi? Beli apa lagi dia ni?
Lelaki-lelaki tadi turun mengusung sebiji almari lagi. Seterusya, sofa pula. Dua orang mengusung sofa berangkai tiga. Dua orang lagi mengusung sofa berangkai dua. Pak cik tadi pula mengusung sebiji meja. Selepas itu dua orang lelaki yang muda sedikit, membawa turun sofa satu lagi. Yaya hanya menjadi pemerhati. Setelah berterima kasih, Yaya masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.
Tersenyum Yaya apabila melihat ruang yang kosong sudah berisi barang. Sofa terletak dibahagian hadapan. Siap disusun elok dah kedudukannya. Meja kecil di hadapan sofa diletakkan rapat ke dinding. Yaya menuju pula ke dalam bilik. Wow!! sungguh dia teruja. Ini baru betul almari. Besar gila!
Yaya mencapai handphone di atas katil. Gambar almari di ambil dari berbagai sudut. Selepas itu dia ke ruang tamu pula. Mengambil gambar perabot baru. Gambar-gambar tersebut dihantar kepada Akim.

*Suka?
*Lawa kan?

Yaya
*Banyaknya beli!

Akim
*Alang2 membeli biar puas hati.
🤭

Yaya
*Ada lg ke benda lain yg belum dibeli?

Akim
*Yaya fikir la.
*Bgtau abg
*Abg belikan

Yaya herot mulut. Dia ni tak faham ke orang perli dia? Aduhai...

SELESAI  mengemas almari, Yaya tersenyum puas. Berdiri di hadapan pintu almari yang terbuka. Pakaiannya sudah selamat dimasukkan ke dalam almari. Kemas tersusun. Berpeluh dibuatnya. Pakaian Akim yang berada di atas rak juga dimasukkan sekali ke dalam almari. Rak pakaian yang dulunya penuh dengan pakaian Akim, kini telah kosong. Yaya alihkan rak kosong itu ke bilik kedua. Bilik sembahyang dia dan Akim.
Yaya berlari apabila telefonnya berbunyi kuat. Yaya melihat nama yang terpapar di skrin sebelum di swipe ke butang hijau..
"Ya..."
"Abang kat depan ni... Bukak pintu. Kunci tertinggal kat kedai."
"Okey." Yaya mematikan panggilan dan menuju ke pintu utama.
Akim masuk bersama plastik makanan di tangannya. Terus menuju ke dapur. Yaya mengekori. Akim meletakkan plastik makanan yang dibelinya di atas lantai. Di tempat yang sama dengan tempat Yaya makan semalam. Plastik berisi minuman pula, Akim masukkan ke dalam besen sebelum letakkan di atas lantai. See? Kan dah cakap. Akim memang teliti dan cermat!
"Jom makan." Akim menoleh ke arah Yaya.
"Er... Abang Akim lapar sangat dah ke?"
"Kenapa?" Akim macam pelik sikit dengan soalan Yaya.
"Tak. Kalau Abang Akim masih boleh tahan, orang nak mandi dulu. Tak pun, Abang Akim makan dulu takpe. Orang berpeluh ni..."
"Oh... Hihi..." Akim tergelak.
"Takpelah. Yaya mandi dulu... Abang tunggu."
"Ok..."
Yaya bergegas masuk ke bilik. Dan keluar semula dengan tuala dan pakaian persalinan ditangannya.
Sementara menunggu Yaya mandi, Akim meninjau perabot yang baru dibeli. Tempat pertama, mestilah almari di dalam bilik. Senyum terukir dibibir apabila melihat pakaian memenuhi ruang di dalam almari. Walaupun masih ada ruang yang kosong. Patutlah berpeluh budak kecik tu! Sakan dia mengemas rupanya.
Akim melangkah ke ruang depan pula. Televisyen yang masih di dalam kotak, diletakkan di atas meja. Disambung ke suis yang berada disitu. Nanti cuma perlu menunggu orang datang pasang astro, bolehlah Yaya tengok tv. Takdelah bosan sangat dia duduk kat rumah.
"Abang Akim... Jom makan." Yaya berdiri di tepi Akim.
Akim telan liur. Setiap kali terhidu bau wangi di tubuh Yaya, sesak dada dibuatnya. Belum lagi tengok pakaian Yaya. Mahu berdarah hidung jadinya. Tapi, terpaksa dia buat-buat selamba. Seperti tiada apa. Walhal, dalam hati hanya Allah yang tahu. Normallah nafsu lelaki.

Satu Tanpa CintaWhere stories live. Discover now