BAB 1

138 11 0
                                    

“Puan, saya harap Puan dapat bersabar dengan apa yang saya nak sampaikan. Hasil daripada pemeriksaan yang saya jalankan ke atas anak Puan mendapati bahawa anak puan mengalami masalah pendengaran yang kekal,atau kata lainnya pekak. Ini kerana dia langsung tidak memberikan apa-apa respons terhadap bunyi,sedangkan umurnya sudah setahun. Kebiasaan kanak-kanak seusia Adam  yang normal boleh respons terhadap bunyi , tetapi Adam tidak memberi apa-apa respons.”

Kata-kata Dr. Aminah itu terngiang-ngiang di telinga Fatimah. Hancur luluh hati seorang ibu tatkala mendapat perkhabaran bahawa anak kesayangan tidak sempurna. Anak istimewa. Tidak normal seperti kanak-kanak lain. Bagai kaca terhempas ke batu,begitulah perasaan Fatimah. Anak kecilnya, Muhammad Adam yang sedang tidur nyenyak itu ditatap sayang, dan air mata luruh membasahi pipi.

Kala itu,muncul suaminya, Ali. Ali duduk di sisi isterinya.

“Timah, sudahlah, jangan menangis lagi. Ini ujian untuk kita. Allah uji sebab Allah sayang kita. Ingat,Allah berfirman dalam Al-Quran:

“Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya” (Al-Baqarah, ayat 286).

Allah uji kita sebab Allah tahu kita mampu lalui ujian ini. Pandang ujian ini dari sudut yang positif. Jangan pandang ujian dari sudut yang negatif. Setiap sesuatu yang Allah takdirkan itu ada hikmah di sebaliknya. Sayang, sayang tak perlu sedih, Allah berikan kita seorang anak yang istimewa sayang, yang bakal menghuni syurga,kerana dia tiada dosa. Dia istimewa,kerana tidak sama dengan kanak-kanak yang lain. Dia tidak sempurna di mata manusia tetapi tidak di sisi Allah. Beruntunglah kita kerana mendapat anugerah istimewa ini sayang. Adam nanti akan tarik tangan kita berdua masuk ke dalam syurga. Best kan dapat masuk syurga sama-sama? Sayang tak nak ke kita sekeluarga dapat masuk syurga sama-sama?” Panjang lebar Ali memberikan nasihat buat isterinya.

Subhanallah, positifnya Ali. Begitulah orang yang beriman, tatkala diberi ujian, tak sedikit pun mengeluh, tak sedikit pun patah sayap kerana ada Allah di hatinya. Orang yang beriman berpegang teguh dengan janji-janji Allah.

Fatimah terpana mendengar kata-kata suaminya. Apa yang diucapkan oleh suaminya itu benar belaka. Ya,Adam anak syurga. Fatimah tidak sepatutnya berasa sedih,sebaliknya  gembira kerana mendapat anak syurga. Tidak semua orang Allah pilih untuk dianugerahi anak istimewa.

“Terima kasih abang. Saya dah sedar. Ya Allah,beruntungnya kita dapat anak syurga kan,abang. Abang,janji dengan saya ya, kita didik dan besarkan Adam sama-sama, sama-sama harungi susah senang,jika saya penat,lemah,abang tolong kuatkan saya semula ya. Kita sama-sama sayang Adam. Kita jaga anugerah Allah ini sebaiknya.”

“ In Shaa Allah. Kita sama-sama saling menguatkan. Kita bina keluarga kecil kita ini dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Kita bina keluarga kecil kita ini bersama redha Illahi. Kita banyakkan berdoa pada Allah supaya kita terus kuat untuk mengharungi hari-hari yang mendatang.”

Fatimah dan Ali saling berbalas senyuman. Encik Ali menyapu sisa-sisa air mata di wajah isterinya.
Semoga mereka tabah untuk mengharungi hari-hari yang mendatang.

********
“Adam pekak? Heiii, tak pernah ada keturunan aku cacat, kau bagi aku cucu cacat? Malulah mak kalau orang kampung tahu! Itulah kau Ali,mak suruh kau kahwin dengan Suraya anak Mak Cik Kiah goreng pisang tu kau tak nak,nak jugak kahwin dengan Timah yang tak tahu dari mana asal usul ni.  Haa sekarang kau bagi mak cucu cacat pulak. Tulah balasan tak dengar cakap mak!” memetir suara Mak Som memarahi anak dan menantunya. Sakit hatinya saat anaknya,Ali memberitahu bahawa Adam pekak. Mana mungkin Mak Som boleh menerima perkhabaran ini,kerana keturunannya baik-baik belaka,tiada seorang pun cacat. Dia menyalahkan Ali kerana berkahwin dengan menantu bukan pilihannya. Sejak dahulu Mak Som tidak pernah merestui perkahwinan Ali dan Fatimah,tetapi Ali tetap juga berdegil hendak mengahwini Fatimah. Kerana itu Mak Som sangat marah apabila mengetahui cucunya cacat. Mana mahu diletak mukanya nanti andai orang-orang kampung mengetahui  hal ini. Jatuhlah air mukanya  nanti.

Bertakung mutiara jernih di kolam mata Fatimah saat mendengar kata-kata pedih yang keluar dari mulut ibu mertuanya. Hatinya bagaikan ditusuk sembilu saat mendengar kata-kata tersebut.
Ali mencapai tangan Fatimah,mengalirkan aliran kesabaran. Hatinya jua pedih mendengar kata-kata ibunya,namun dia sudah bersedia dengan penerimaan ibunya. Dia tahu, dari dulu lagi ibunya tidak suka dengan Fatimah, sehinggakan saat Adam lahir pun Mak Som tidak sudi untuk datang menjenguk Adam, dan tidak mahu menjaga Fatimah dalam pantang. Sudahlah Fatimah anak yatim piatu,tiada saudara-mara pula, maka Ali lah  yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Fatimah.
Ali mengumpul secebis kekuatan sebelum membalas kata-kata Mak Som.

“Mak, tak baik cakap macam tu. Adam anak syurga mak. Anak istimewa. Anugerah Allah untuk kami. Mak cakap macam tu seolah-olah orang tak ada iman. Orang beriman tak mempersoalkan takdir Allah. Allah dah tetapkan jodoh saya dengan Fatimah,bukan dengan Suraya. Allah dah takdirkan kami dapat anak istimewa. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya mak. Terimalah takdir Allah. Adam inilah yang akan tarik tangan kita masuk syurga nanti mak. Tolonglah mak,terima kehadiran Fatimah dan Adam dalam hidup mak. Saya tak nak jadi anak derhaka mak. Satu sahaja permintaan saya, mak terima Fatimah dan anak kami. Cucu mak. Jangan sisihkan kami. Selama ini saya tahan sahaja hati tengok mak marah-marah Fatimah,lebihkan menantu mak yang lain. Cucu mak yang lain semua mak sayang,semua mak jaga dengan baik,tapi Adam,sikit pun mak tak pandang. Mak buat macam kami ni tak ada hati dan perasaan. Saya sedih mak buat anak bini saya macam ni.” Panjang lebar Ali meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Namun,ia sedikit pun tidak dapat menyentuh hati Mak Som,sebaliknya Mak Som semakin bertambah amarahnya.

“Ali! Kau dengar sini baik-baik eh! Selagi kau tak ceraikan Timah ni,aku haramkan korang anak bini jejak rumah aku! Aku tak nak tengok muka bini kau ,muka anak cacat kau! Kau keluar sekarang,bawa anak bini kau keluar sekali!”

“Kalsom! Awak ni kenapa? Apa masalah awak ni sampai nak halau Ali sekeluarga? Apa masalahnya dengan si Timah ni? Selama ni Timah elok je layan kau,hormat kau sebagai mak mertua dia. Tapi kau tu tak pernah layan Fatimah elok-elok. Yang kau tahu caci maki,hina dia hanya sebab budak ni anak yatim piatu. Sekarang kau hina pulak cucu kau,hanya sebab Adam cacat. Mana pergi rasa kasih sayang kau sebagai seorang ibu? Mana pergi  rasa perikemanusiaan dalam diri kau? Kau buat dia orang ni macam orang yang tak ada hati dan perasaan. Siapa ajar kau jadi macam ni Som? Aku tak pernah ajar kau jadi manusia yang kejam Som. Aku kecewa bini aku jadi kejam dengan anak,menantu dan cucu dia.” Lantang Pak Mat bersuara. Sedari tadi dia berdiam diri sahaja mendengar isterinyua memarahi Ali dan Fatimah,tetapi kini dia bersuara kerana isterinya sudah melampau.

Belum sempat Mak Som membuka mulut untuk membidas kata-kata suaminya, Pak Mat bersuara lagi,

“Ali,kau tak payah dengar cakap mak kau. Ayah ada dengan kau. Kau boleh datang sini dengan anak bini kau bila-bila masa saja. Dah, kau pergi bawa Timah dengan Adam balik rumah kau. Biar ayah ceramah mak kau ni.”

Ali akur dengan kata-kata ayahnya. Dia lantas berdiri. Adam yang lena di pangkuan isterinya didukung. Fatimah turut bangun. Mereka bersalaman dengan Pak Mat dan Mak Som sebelum melangkah keluar.
Sebaik sahaja mereka pulang, Pak Mat mula memberikan tazkirah kepada isterinya.

“Som,kamu ni kenapa benci sangat dekat Fatimah? Kenapa susah sangat hati kamu nak terima dia sebagai menantu? Tak sudah-sudah kamu nak menjodohkan Ali dengan Suraya. Kamu nak lawan takdir Allah ke? Sudah takdir jodoh Ali dengan Fatimah,kita sebagai mak ayah ni restukan sahajalah. Tak hina pun bermenantukan anak yatim piatu. Adam tu salah seorang cucu kita Som, kenapa kamu nak benci dia? Allah dah takdirkan Adam tu pekak,kenapa kamu nak tolak takdir Allah? Sepatutnya sebagai seorang mak, kamu bagi sokongan dekat Ali dan Fatimah. Mereka baru je dapat khabar duka tu,dan kemarahan kamu menambahkan lagi rasa dukacita di hati mereka berdua. Adam tu anak syurga Som, kenapa kamu nak benci anak syurga? Kamu tu mulia sangat ke Som sampai nak benci anak menantu cucu sendiri? Berubahlah Som, sucikan hati kamu tu. Buang rasa marah kamu. Belajar terima takdir Allah. Kita ni dah tua Som, rumah kata pergi, kubur kata mari.”

Namun,kata-kata Pak Mat tidak sedikit pun membekas di hati Mak Som yang sudah dipenuhi amarah dan benci.  

“Abang tak faham apa saya rasa! Sudahlah,bercakap dengan abang pun tak ada gunanya, saya juga yang disalahkan. Saya pergi masak dulu.” terus Mak Som bangun dan menapak ke dapur.

Pak Mat menggelengkan kepala dengan sikap isterinya itu. Moga suatu hari nanti terbit keinsafan di hati Mak Som.

Ajari Aku Mengenali Allah Where stories live. Discover now