BAB 10

92 8 3
                                    

10 tahun kemudian........

Adam dan rakan-rakannya berjalan ke dewan makan asrama setelah habis sesi persekolahan pada hari itu. Sambil berjalan, mereka saling berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat. Terpancar keceriaan di wajah mereka meskipun telah penat menjalani sesi persekolahan.

Setelah sampai di dewan makan, mereka menanggalkan kasut dan menyusun kasut dengan kemas. Setelah selesai, mereka beratur untuk mengambil makanan. Usai mengambil makanan, mereka duduk sekumpul di meja makan. Setelah membaca doa makan, masing-masing mula menjamah hidangan tengahari mereka.

Selesai makan, mereka bangun daripada kerusi dan membawa pinggan kotor mereka ke suatu sudut. Mereka meletakkan pinggan kotor ke dalam besen yang telah disediakan. Setelah itu, mereka melangkah keluar dari dewan makan dan menuju ke dalam kawasan asrama. Setelah meletakkan beg sekolah, mereka menuju ke musolla untuk menunaikan Solat Zohor secara berjemaah. Beginilah kehidupan Adam sejak umurnya 16 tahun setelah ayah dan ibunya menghantar Adam ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, Pahang. Adam mula belajar untuk berdikari sendirian tanpa ibu dan ayahnya lagi. Kini Adam sudah berumur 17 tahun manakala adik-adik kembarnya sudah berusia 10 tahun.

Setelah selesai solat dan berdoa, Adam mengambil Al-Quran berwarna biru miliknya. Dia duduk di suatu sudut di dalam musolla. Matanya menatap sayu pada naskhah suci itu. Dia mengucup penuh kasih naskhah mulia itu dan memeluknya dengan erat bagai tidak mahu dilepaskan. Air matanya mengalir laju menuruni pipi menterjemahkan kesedihan yang tidak mampu dibendung lagi di lubuk hati yang paling dalam. Dia tak mampu untuk membaca dan memahami keindahan kalam suci ini. Yang dia fahami hanya terjemahan sahaja. Dan yang mampu dia lakukan setiap hari hanyalah memeluk erat kalam Illahi ini dan menatapnya penuh kasih.

Adam mula membuka halaman pilihannya. Ditatap terjemahan ayat-ayat suci itu.

"Surah Al-'Asr cerita tentang masa. Semua manusia rugi kecuali orang yang beriman, yang selalu buat amal baik, suka nasihat orang lain perkara baik dan suka nasihat orang dengan sabar." Begitulah kefahaman Adam tentang Surah Al-'Asr.

Matanya terus memandang sayu pada setiap halaman Kalamullah itu dan difahami terjemahannya.

********

Malam itu, di kala seluruh penghuni asrama sudah lena dibuai mimpi,Adam masih setia berdampingan dengan Al-Quran kesayangannya. Dia duduk di suatu sudut pada bahagian belakang musolla.

Adam menyelak halaman demi halaman naskhah suci itu. Setiap halaman dihayati mengikut kefahamannya. Dia sudahpun mengetahui nama-nama surah dan apa yang terkandung di dalam setiap surah. Dia cuma tak mampu untuk memahami kalimah-kalimah arab sahaja kerana tiada siapa yang sudi untuk memperkenalkannya dengan huruf Arab.

Sedang khusyuk menghayati isi kandungan Al-Quran, bahunya ditepuk lembut. Adam menoleh melihat figura yang menyentuh bahunya itu.

"Kenapa awak tak tidur ? Kawan-kawan awak semua dah tidur. Dah malam ini,tidur. Esok awak sekolah." Tegur Cikgu Syakir,warden asrama lelaki.

Adam menghadiahkan senyuman sebelum menjawab pertanyaan Cikgu Syakir,

"Saya tak boleh tidur,cikgu. Saya fikir banyak perkara. Saya mau hafal Quran ,cikgu,tapi saya tak boleh baca Quran,saya boleh baca maksud. Saya tahu,Allah sayang kita kalau kita ingat Allah selalu. Saya mau Allah sayang." Luah Adam bersalut rasa sayu.

Cikgu Syakir terasa sebak menyelubungi jiwanya saat ini. Allahuakbar,sungguh besar jiwa anak muda di hadapannya ini, dalam keadaannya yang istimewa,timbul keinginan di hatinya untuk menghafal kalam suci. Sedangkan komuniti tipikal pun sukar untuk menghafal Al-Quran,apatah lagi mereka yang OKU ini. Namun Cikgu Syakir tahu, komuniti OKU ini,mereka punya kekuatan yang luar biasa. Mereka ini punyai pelbagai keistimewaan yang tiada pada komuniti tipikal. Hakikat kecacatan itu adalah tanda kesempurnaan ciptaan Tuhan.

Cikgu Syakir menghela nafas berat sebelum mencari ayat yang sesuai untuk memujuk lara di hati anak muridnya itu.

"Adam,tak apa tak boleh baca Quran,tapi Adam faham maksud ayat Quran pun dah okay. Allah bagi pahala untuk Adam . Allah sayang Adam. Adam jangan nangis,jangan sedih,okay? Cikgu bangga dengan Adam sebab Adam mau hafal Quran. Cikgu pun belum hafal Quran,cikgu baca Quran pun banyak salah lagi, tapi Adam yang pekak mau hafal Quran. Adam kuat tau, cikgu tak mau Adam sedih."

Adam tersenyum memandang gurunya.

"Terima kasih cikgu. Saya mau tidur dulu. Selamat malam cikgu. Assalamualaikum."

Adam bangkit berdiri lalu berjalan masuk ke dormnya setelah mendapat balasan salam daripada Cikgu Syakir.

Cikgu Syakir memerhatikan sahaja langkahan kaki anak muridnya. Jauh di sudut hatinya, Cikgu Syakir berdoa kepada Illahi agar insan istimewa yang bernama Muhammad Adam itu akan terus cekal dan tabah menghadapi hari-hari yang mendatang dan berjaya menggapai impiannya untuk menghafal Al-Quran. Kagum sungguh Cikgu Syakir akan kekuatan luar biasa yang ada pada anak muridnya itu. Cikgu Syakir berasa malu dengan Adam,kerana Adam seorang anak istimewa itu punya impian untuk menghafal Al-Quran,sedangkan Cikgu Syakir yang normal ini,hendak membaca Al-Quran satu muka surat sehari pun terasa berat. Sungguh, menjadi guru pendidikan khas telah banyak membuat Cikgu Syakir insaf dan mengutip hikmah daripada anak-anak muridnya. Telah banyak pelajaran hidup yang Cikgu Syakir pelajari daripada anak-anak muridnya, dan malam ini jiwanya benar-benar terusik setelah mengetahui isi hati Adam,impian besar Adam. Dalam keadaan Adam yang pekak, Adam menganyam impian untuk menghafal kalamullah. Sungguh,Muhammad Adam seorang yang berjiwa besar. Semoga impian Adam untuk bergelar Al-Hafiz akan tercapai kelak. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 17, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Ajari Aku Mengenali Allah Where stories live. Discover now