Ini Rumah Saya

58 0 0
                                    

Riana terjaga dari tidurnya. Sudah beberapa malam dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dia asyik terdengar pelbagai bunyi yang aneh di dalam rumahnya. Malam semalam dia terdengar bunyi tapak kaki berlegar-legar di depan pintu biliknya. Walhal Riana hanya tinggal berseorangan di dalam rumah itu. Nasib baiklah Riana mempunyai tabiat mengunci pintu bilik sebelum masuk tidur. Riana lekas-lekas bangun tetapi tidak turun dari katilnya. Riana duduk memeluk kedua-dua lututnya dalam keadaan menggigil.

Tombol pintu bilik dipulas dari luar. Pintu bilik kemudian dilagur-lagurkan dengan kuat apabila mengetahui pintu terkunci dari arah dalam. Riana pula semakin cemas. Air matanya mengalir tanpa disedari kerana terlalu takut. Selang beberapa minit, keadaan kembali menjadi sunyi sepi. Riana hanya memandang ke arah pintu. Dia tidak berani untuk menjenguk ke luar bilik. Dia juga tidak sanggup untuk berhadapan jika yang mengetuk pintu biliknya sebentar tadi adalah sesuatu yang mengerikan. Akhirnya Riana terlelap hingga ke siang hari.

Malam ini, Riana terdengar bunyi bising di dapur. Kedengaran seperti bunyi air mengalir dari paip di sinki dapur. Riana pasti yang dia sudah menutup pili paip sebelum masuk tidur sebentar tadi. Siapa pula yang membuka pili paip pada waktu begini? Getus suara hati Riana. Kemudian, dia juga terdengar bunyi pinggan mangguk berlaga.

Malam ini Riana sudah nekad. Dia mahu menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di dalam rumahnya. Fikirannya sudah buntu memikirkan jawapan bagi semua persoalan yang bermain di mindanya. Ya! Dia harus mendapatkan jawapan pada malam ini juga. Riana membuka pintu biliknya dengan perlahan-lahan. Dia tidak ingin mengeluarkan sebarang bunyi yang boleh menyebabkan dirinya diketahui oleh sesiapa pun yang ketika ini berada di dalam rumahnya. Riana melangkah perlahan-lahan menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Riana perasan lampu terbuka di bahagian dapur. Kemudian, dia terus melangkah perlahan-lahan menuju ke arah dapur.

Jantung Riana seakan mahu luruh apabila dia terpandang seorang perempuan berambut panjang paras pinggang sedang berdiri di depan sinki dapur. Perempuan itu berdiri membelakangi dirinya. Perempuan itu tidak menyedari akan kehadiran Riana. Riana berasa cemas. Wajahnya menjadi pusat lesi. Kalau ditoreh pasti tidak berdarah. Riana ingin beredar dari situ tetapi kakinya seakan terpaku di situ.

Tiba-tiba sahaja perempuan di depannya itu memusingkan badannya ke belakang. Pandangan mereka berdua pun bertaut. Riana terus menjerit panjang akibat rasa terkejut yang bagai menghentak jantungnya. Malah, perempuan di depannya itu pun turut menjerit dengan kuat dan terus berlari ke ruang tamu. Seorang lelaki yang berada di ruang tamu terus berlari mendapatkan perempuan itu.

"Abang! Abang! Saya nampak hantu dekat dapur tadi." Perempuan itu memeluk erat tubuh si lelaki.

"Apa yang sayang cakapkan ni?" Si lelaki itu kebingungan melihat keadaan isterinya yang menjerit secara tiba-tiba.

"Tadi masa saya tengah memasak, saya rasa macam tengah diperhatikan. Bila saya toleh ke belakang, saya nampak ada perempuan berpakaian serba putih dekat dapur. Saya takut nak tinggal dekat sini, abang." Perempuan itu bercerita kepada suaminya sambil mengesat air mata yang mengalir ke pipinya.

"Okey! Okey! Esok juga kita pindah keluar dari rumah ini! Sayang, tenang ya sayang." Si suami terus-terusan memujuk dan menenangkan isterinya daripada ketakutan.

JANGAN BIAR DIA KELUARWhere stories live. Discover now