Izhan sedang duduk bersantai di atas kerusi batu yang terdapat di taman itu. Begitulah rutin dia setiap petang selepas habis sahaja waktu pejabat. Dia tidak akan terus pulang ke rumahnya, sebaliknya dia akan singgah dan berehat terlebih dahulu di kawasan taman tersebut. Suasana taman pada waktu petang agak mendamaikan. Pada waktu lewat petang juga selalunya akan ramai orang yang berkunjung ke taman itu. Izhan dapat menyaksikan pelbagai ragam manusia yang berada di taman itu. Ada para ibu bapa yang sedang sibuk melayan telatah anak-anak mereka, pasangan muda mudi yang sibuk bercinta, beberapa orang yang sedang berjogging dan lain-lain aktiviti.
Izhan berasa sedikit iri hati apabila melihat beberapa pasangan yang duduk di kerusi batu berhampiran tertawa manja. Dia selalu diusik oleh rakan-rakan sekerja yang lain memandangkan hanya dia seorang sahaja yang masih bujang di tempat kerjanya. Tambahan pula, tahun depan dia bakal menghampiri usia 30-an. Emak di kampung pula sudah mula bising-bising bertanyakan bila dia mahu berkahwin.
"Eh! Mana dia ni? Takkan petang ni dia tak datang pula?" desis hati Izhan.
Mata Izhan melilau memerhatikan kawasan sekeliling. Sebenarnya tujuan Izhan selalu singgah di taman itu adalah untuk berjumpa dengan Amyra. Sejak dia terjumpa dengan Amyra tempoh hari di taman itu, Izhan seperti tidak dapat melupakan wajah Amyra. Ketika sedang bekerja di pejabat, dia juga sentiasa mengerling ke arah jam tangan. Hatinya berasa tidak sabar menunggu waktu pejabat tamat untuk dia berjumpa dengan Amyra di taman.
Izhan masih teringat kali pertama dia menegur Amyra, terus lintang pukang Amyra berlari mendapatkan kawan-kawannya yang lain. Izhan hanya tersenyum melihat gelagat Amyra. Sejak dari hari itu, Izhan berazam untuk memikat hati Amyra. Dia juga sudah mengetahui yang Amyra juga selalu datang ke taman itu pada waktu petang.
Setiap petang dia memerhatikan gelagat Amyra. Pernah juga pada suatu petang, Izhan cuba memberikan coklat kepada Amyra. Pada mulanya Amyra teragak-agak untuk menerima coklat itu, tetapi setelah melihat Izhan beria-ia mahu dia menerima, justeru dia mengambil juga coklat tersebut daripada Izhan. Amyra mengucapkan terima kasih sambil menundukkan kepala sebelum dia terus tergesa-gesa meninggalkan Izhan. Izhan berpendapat Amyra seorang yang sangat pemalu.
Lamunan Izhan terhenti apabila dia seperti terdengar suara Amyra. Dia pun segera menoleh ke belakang dan ternampak Amyra sedang ketawa riang bersama rakan-rakan sebayanya. Izhan hanya memerhatikan sahaja gelagat Amyra itu. Sesekali dia juga turut tersenyum apabila melihat Amyra tertawa diusik oleh rakan-rakannya. Izhan berasa sangat bahagia dan berangan-angan untuk hidup bersama Amyra. Angan-angan Izhan berkecai apabila terdengar suara laungan daripada ibu Amyra.
"Amyra! Jom kita balik, sayang. Hari dah nak gelap ni. Lepas ni Amyra nak kena buat kerja sekolah yang cikgu bagi pula kan. Esok kita datang main kat sini lagi ya sayang."
"Okay mama!"
Amyra yang berusia enam tahun itu pun terus berlari mendapatkan ibunya. Ibu Amyra pula memandang ke sekeliling bagi memastikan tiada apa-apa yang mencurigakan berlaku. Dia sentiasa berwaspada akan keselamatan anaknya itu sejak media tempatan rancak melaporkan tentang kes pedofilia yang berlaku di dalam negara.
YOU ARE READING
JANGAN BIAR DIA KELUAR
HorrorAdakah anda sangat minat membaca karya seram, misteri, thriller, suspense, psycho dan lain-lain? Pelbagai pilihan cerita pendek menarik untuk tatapan semua. Semua cerita di sini adalah rekaan semata-mata.