"Ermmmm tok...." Pak Samad teragak-agak untuk memulakan bicara.
"Panggil saja aku Tok Batin. Apa hajat kau datang ke mari?" Tok Batin menatap tajam anak mata Pak Samad.
"Begini Tok Batin. Anak dara saya di rumah kerasukan puaka. Apa Tok Batin boleh menghalau puaka tersebut?"
"Aku boleh tolong kau. Tapi mesti ada pengerasnya!"
"Apa pengerasnya Tok Batin?"
"Tak banyak pun. Pengerasnya cuma tiga ratus ringgit."
"Mak aihhh! Mahalnya! Cekik darah betul ni!" Pak Samad terkejut mendengar jumlah pengeras yang diminta oleh Tok Batin.
"Apa kamu cuba mempertikaikan kemampuan aku! Apa kamu tak mahu anak dara kamu itu pulih?" Muka Tok Batin menjadi merah padam.
"Ehh bukan macam tu Tok Batin." Pak Samad menggelabah apabila melihat riak wajah Tok Batin berubah.
Pak Samad mengeluarkan dompetnya dengan perasaan berbelah bagi. Dia mengeluarkan wang dan mengira beberapa kali sebelum diserahkan kepada Tok Batin. Tok Batin tersenyum mengambil wang tersebut lalu dia mencium wang yang baru diterimanya. Wang tersebut kemudian diselitkan di dalam poket seluarnya.
"Okey sekarang kau boleh balik." Tok Batin sudah bangun dari tempat duduknya.
"Hah?" Pak Samad terpinga-pinga apabila tiba-tiba sahaja Tok Batin menyuruhnya pulang.
"Aku akan seru puaka tu dari sini. Aku takut nanti kau pula yang pengsan bila tengok muka puaka tu kat sini. Sebab tu aku suruh kau balik dulu."
Pak Samad pun mengangguk kepala dan terus pulang ke rumah. Tok Batin mengatakan dia akan merawat anak dara Pak Samad itu dari jauh sahaja. Pak Samad dan isterinya, Mak Temah hanya mampu bersabar menunggu anak dara mereka itu pulih. Namun begitu, keadaan anak mereka masih sama sahaja selepas beberapa hari.
Anak dara mereka masih menjerit terpekik-pekik di dalam biliknya. Habis barang-barang di dalam bilik diselerakkannya. Sesiapa sahaja yang memasuki bilikya pasti dimaki hamun olehnya. Pak Samad dan Mak Temah terpaksa mengunci pintu bilik anaknya itu dari luar. Mereka bimbang sekiranya anak dara mereka itu merayau dan akan membahayakan penduduk kampung yang lain.
Pak Samad pun pergi ke rumah Tok Batin sekali. Dia berasa sedikit bengang kerana keadaan anaknya masih tidak berubah. Tok Batin pun segera menenangkan Pak Samad.
"Aku dah halau puaka tu. Tapi nampaknya puaka tu masih berdegil. Dia tak mahu keluar dari badan anak dara kau tu melainkan..."
"Melainkan apa Tok Batin?" Pak Samad terus memotong percakapan Tok Batin.
"Melainkan kau jamu dia makan. Puaka tu mengamuk sebab dia lapar. Lagipun dah lama tak ada orang bagi dia makan."
"Jadi Tok Batin, saya nak kena bagi korban apa pula ni?"
"Kau tak perlu risau. Puaka tu tak minta kau korbankan apa-apa pun. Kau cuma perlu sediakan pulut kuning, ayam golek dan kari ayam. Yang lain-lain nanti aku akan uruskan. Jadi kau cuma perlu berikan aku pengeras tambahan sahaja."
Pak Samad pun terus bersetuju dan memberikan wang pengeras kepada Tok Batin. Tok Batin menerima wang tersebut dengan hati yang berbunga. Pak Samad pun terus pulang ke rumah untuk menyediakan makanan seperti yang diminta oleh Tok Batin. Dia menyuruh Mak Temah untuk memasak pulut kuning, ayam golek dan kari ayam.
"Puaka celaka ni memang harus mati. Tak habis-habis nak menyeksa anak aku! Lepas tu nak menyusahkan orang pula nak kena sediakan semua makanan ni bagai." Mak Temah mengomel sendirian semasa sedang memasak di dapur.
Mak Temah kemudian mencampurkan racun tikus semasa menyediakan makanan tersebut. Dia berharap agar puaka yang merasuk tubuh anak daranya itu akan mati sebaik sahaja memakan makanan yang disediakannya.
Sebaik sahaja makanan untuk santapan puaka tersebut telah siap, Pak Samad pun segera menghantar ke rumah Tok Batin. Tok Batin kemudian meminta Pak Samad untuk pulang dan menunggu sahaja di rumah setelah menerima makanan tersebut. Tok Batin mengatakan bahawa dia akan menjamu puaka tersebut makan di dalam rumahnya sahaja.
Sebaik sahaja Pak Samad telah pulang, Tok Batin terus menutup pintu dan membawa makanan tersebut ke meja makan. Tok Batin berasa gembira melihat makanan tersebut. Kemudian dia pun terus mencubit pulut kuning dan ayam golek tersebut lalu disuap ke dalam mulutnya. Ketika sedang asyik menikmati makanan tersebut, tiba-tiba sahaja tekak Tok Batin terasa perit. Tok Batin terbatuk-batuk. Anak tekak terasa pedih seperti terbakar. Kedua-dua belah tangannya memegang leher. Mata Tok Batin pula terbelalak.
Tok Batin jatuh terjelepok dari kerusi apabila dia cuba berdiri untuk mendapatkan air. Tubuh Tok Batin mengerengkot menahan sakit di saat ajal sudah datang menjemput. Kemudian, dia terbatuk lagi dengan agak kuat. Bersembur keluar darah merah pekat dari mulutnya mengotori lantai rumah. Selang beberapa minit menggelupur seperti ayam kena sembelih, tubuh Tok Batin pun menjadi kaku.
YOU ARE READING
JANGAN BIAR DIA KELUAR
HorrorAdakah anda sangat minat membaca karya seram, misteri, thriller, suspense, psycho dan lain-lain? Pelbagai pilihan cerita pendek menarik untuk tatapan semua. Semua cerita di sini adalah rekaan semata-mata.