Teman Serumah

39 0 0
                                    

Nurul melangkah masuk ke dalam rumah dengan penuh rasa longlai. Tubuhnya berasa agak letih kerana bekerja lebih masa hari ini. Setelah memastikan pintu rumah sudah dikunci, dia terus melangkah pergi menuju ke biliknya. Dia melihat teman serumahnya, Murni sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu.

"Ehh Murni! Aku ingat kau balik lambat malam ni." Nurul memang sudah sedia maklum akan Murni yang hanya bekerja kilang itu.

"Hmmm. Hari ni aku off day lah." Murni hanya membalas ringkas tanpa memalingkan wajahnya ke arah Nurul. Matanya masih tertumpu ke arah kaca televisyen.

Nurul pula berasa malas ingin bersembang dengan Murni. Dia terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Dari tadi dia hanya mahu menghenyakkan tubuh di atas katil. Dia berasa lega apabila dapat berbaring di atas tilam yang empuk itu. Nurul teringat yang dia perlu mengecas telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya itu telah terpadam sejak dia masih berada di pejabat. Dia pula terlupa untuk membawa pengecas dan powerbank ke pejabat hari ini.

Nurul bingkas bangun dari katil dan terus mengecas telefon bimbitnya. Setelah menunggu beberapa minit, dia pun segera menghidupkan kembali telefon bimbitnya. Terdapat enam panggilan tidak dijawab daripada Murni. Dia beranggapan reaksi Murni yang dingin sebentar tadi adalah kerana merajuk dia tidak membalas panggilan telefon itu. Nurul hanya tersenyum kecil.

Kemudian, dia memeriksa pula mesej daripada Whatsapp. Dia baru menyedari yang Murni ada menghantar mesej di Whatsapp pada waktu petang tadi. Dia pun terus membuka dan membaca mesej tersebut.

"Hey Nurul! Kau kat mana hah? Aku call kau banyak kali tapi kau tak angkat phone. Aku on the way balik kampung ni. Mak aku sakit kat kampung. Malam nanti kau tak payah tunggu aku balik. Lagi dua tiga hari baru aku balik sana."

Nurul terkedu selepas membaca mesej tersebut. Nasib baiklah telefon bimbitnya tidak terlepas dari tangan. Nurul berpaling ke arah pintu biliknya yang tertutup. Habis tu siapa yang berada di ruang tamu sebentar tadi. Lagipun, Nurul cuma tinggal berdua sahaja dengan Murni di dalam rumah itu.

Nurul terjerit apabila lampu di dalam biliknya terpadam. Biliknya menjadi gelap gelita. Dia segera menghidupkan flashlight dari telefon bimbitnya dan menyuluh ke arah pintu bilik. Hati Nurul semakin berdebar-debar apabila dia mendengar bunyi derap tapak kaki berjalan sebelum berhenti di depan pintu biliknya. Nurul bertambah cuak apabila tombol pintu biliknya dipulas perlahan dari luar. Dia pula baru teringat yang dia terlupa untuk mengunci pintu bilik sebentar tadi.

JANGAN BIAR DIA KELUARWhere stories live. Discover now