"Mirul, boss nak jumpa kau, sekarang."
Amirul, yang baru sahaja selesai bertugas di salah satu kaunter di bangunan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Abu Bakar itu, terkebil-kebil. Dia pandang rakan setugasnya - yang usianya lebih tua tiga tahun namun gred (19) dan batch sama dengannya - yang menyampaikan berita itu.
"Kenapa, Abang Huzir?"
"Entah." Abang Huzir angkat bahu. "Tapi, abang ada nampak orang dari bahagian disiplin dalam pejabat boss tadi."
"Alamak. Takkanlah sebab terlelap masa jaga kaunter hari tu?" Amirul garu kepala.
Disebabkan pintu sempadan ke Singapura sekarang tutup disebabkan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, boleh dikatakan bangunan CIQ itu agak lengang. Hanya beberapa orang awam sahaja yang dibenarkan keluar masuk sempadan antara kedua-dua negara, itupun dengan alasan yang kukuh dan dokumentasi yang lengkap.
Dan, disebabkan lengang tahap luar biasa itu, memang boleh mendatangkan mengantuk kepada sesiapa yang bertugas di kaunter. Malah, pegawai Imigresen gred rendah yang selalunya bekerja berhempas pulas selama tiga syif (kerja 8 jam, rehat 8 jam) diberi masa rehat yang sangat panjang di setiap selang dua syif sepanjang musim PKP - 4 hari!
Jadi, bagi pegawai gred 19 yang majoritinya bertugas di kaunter yang sentiasa beroperasi 24 jam tanpa henti, sepanjang tempoh PKP ini mereka dapat berehat sepenuhnya serta meluangkan lebih masa bersama keluarga berbanding di pejabat. Blessing in disguise, bak kata orang Barat. Tidak kisahlah kalau tidak dapat bercuti berliburan sekalipun.
"5 minit je terlelap kot. Tak ada orang pun. Lagipun tak sengaja," katanya lagi, ada nada resah kedengaran. Abang Huzir hanya sengih.
"Ala. Kau jumpa je la boss. Explain baik-baik. Boss kita tu kan chill orangnya. Bos besar tu yang strict sikit. Pasal pegawai disiplin tu... Pandai-pandailah kau ya."
Amirul hanya mengangguk sambil hela nafas berat. Dia terus berjalan menuju ke kawasan yang menempatkan pejabat pegawai-pegawai atasan di bangunan CIQ itu.
(...)
Dokumen-dokumen di atas meja itu diteliti. Dahi Tuan Hakimi berkerut-kerut melihat isi dokumen yang diserahkan oleh pegawai unit disiplin itu. Dia kemudian melihat senarai nama Pegawai Imigresen gred 19 yang bertugas di bangunan itu. Nama Amirul ditanda dengan highlighter kuning, menyerlahkan namanya dalam senarai itu.
"Saya dah panggil dia ke sini. Tapi, tuan pasti dokumen ini semua sahih?"
Tuan Qusyairi, pegawai dari unit disiplin, mengangguk. "Kesalahan ini agak berat. Kalau betul dia bertanggungjawab atas semua ini, dia adalah pengkhianat negara."
Tuan Hakimi mengangguk faham. "Kita tanya dia dahulu. Lagipun ini masih dalam siasatan PDRM, kan?"
Tuan Qusyairi hanya mengangguk.
Pintu pejabat diketuk dari luar.
"Masuk," kata Tuan Hakimi. Pintu dibuka, lalu Amirul berjalan masuk. Jelas riak keliru dan resah di wajahnya apabila menyedari Tuan Qusyairi masih berada di situ.
"Duduk, Amirul. Kami cuma mahu tanya sesuatu." Tuan Hakimi berkata, senyum mesra dilemparkan. Tuan Qusyairi pula mengekalkan riak wajah garang, seakan seorang komander tentera yang mahu menghukum orang bawahannya.
Amirul hanya menurut. Kerusi di hadapannya ditarik, lalu dia duduk di atasnya.
"Ada apa Tuan nak jumpa saya? Ada apa-apa masalah ke, Tuan?" Amirul bertanya, cuba bertenang walaupun rasa masih cuak apabila melihat riak muka Tuan Qusyairi.
YOU ARE READING
Fiksyen COVID19
Short StoryIni hanya selonggok cerita rawak yang terlintas dalam kepala sewaktu musim lockout a.k.a Perintah Kawalan Pergerakan. Mungkin ada yang merapu, harap maaf. 😅