BAB 1

2K 65 2
                                    

BAB 1

KHUSYUK dia mendengar dan sesekali tangan mencatat laju di atas kertas yang sudah hampir penuh dengan tinta berdakwat hitam itu. Bebola mata dari sepasang mata berbentuk bundar miliknya lurus memberi fokus pada slide yang disediakan oleh pensyarah untuk subjek Multimedia Design and Production. Sudah semester lima dia berada di fakulti New Media Communication and Contentrepreneurship (MassCom) ini. Bagi dia, tak kisah apa pun kursus yang diambil yang pasti masa depannya memang telah ditetapkan sejak awal lagi.

Pssttt…”

Dia buat tak tahu sahaja. Malas nak melayan. Kalau sudah gaya begitu suaranya, tak lain tak bukan nak ajak dia menyembang benda tidak berfaedahlah tu. Beberapa saat selepas percubaan pertama tadi gagal, bahunya pula terasa disenggul dari arah tepi. Habis tersasar tulisannya. Dia mengetap bibir menahan amarah. Terus kepalanya berpusing, menoleh ke sisinya dengan kerutan kening yang hampir bercantum di antara kedua-duanya. 

“Kau nak apa, Alya Amyra?” soalnya perlahan namun keras. 

“Balik ni ada pelan apa-apa tak?” soal Alya dengan senyum penuh makna. 

Bebola matanya dipusingkan. Faham sangat dah niat kawan di sebelahnya itu. Tangannya kemudian kembali ligat menulis. 

Weyh…” Suara meleret diberikan. Suara minta perhatian. Kurang kasih sayang. 

“Ya, Alya... Sebenarnya kau nak ajak aku pergi mana?” Terketap-ketap bibirnya dalam membalas.  Punyalah geram.  Kalaulah pensyarah tak ada di depan sana, sudah lama suaranya memetir satu dewan. 

“Jom, macam biasa. Teman aku.”

“Tak nak. Bosan.”

Please, Nawal Irish. Aku belanja kau sehelai dua. Okey?” rayunya. Sengaja bibir cantiknya dicebirkan meminta simpati.

“Tak payah. Baju aku dah berlambak. Yang tak pakai pun ada lagi. Kau tu aje yang tak pernah cukup. Entah makan ke apa baju-baju tu,” bebel Nawal. Muka cantik di sebelahnya itu sekadar dikerling hujung mata. 

“Alah! Akukan banyak kena attend event. Habis, tak akanlah nak pakai baju yang sama aje? Malulah.”

Ya, Alya merupakan seorang model sambilan. Bukan tidak mampu, bahkan Alya merupakan anak kepada seorang usahawan berjaya yang memegang pangkat Dato’. Sengaja hanya kerana minat dengan dunia peragaan dan glamour.

“Tengoklah…”

Alya merengus geram. “Please…”

Nawal masih diam. Langsung tidak menoleh.  Nawal sangat pasti yang Alya mesti tengah buat muka habis simpati di sebelahnya.  Jadi, lebih baik Nawal jangan sesekali menoleh. 

“Nawal Irish…”

Nawal melepaskan keluhan kecil. Pen di tangan dihentak keras namun perlahan takut menarik perhatian orang lain. “Fine… Tapi! Sekejap aje. Aku kena balik awal. Kau pun faham kenapa, kan?”

Alya tersenyum lebar. Bercahaya terus mukanya. Taktik lapuk tapi masih lagi laku dijual kepada Nawal akhirnya berjaya juga! Mana taknya, manusia inilah yang bersamanya sejak hari pertama dia menjejakkan kaki di kolej ini, membawa ke zaman diploma sehinggalah hampir tamat zaman ijazah mereka sekarang ini. 

Sure, baby! Aku janji!”

BUKAN main becok lagi mulut Alya bercerita itu dan ini sambil mereka berjalan beriringan ke parkir kereta pelajar. Nawal yang sekadar mendengar sesekali ketawa sahaja. Terhibur juga hatinya walaupun terasa malas sangat nak ikut Alya. Kalau boleh, Nawal nak balik dan berbaring sahaja di atas katilnya yang tercinta. Memikirkan sahabat baik di sebelahnya bakal menarik muncung sedepa, dia pasrah sahajalah. 

Separuh Nafas *Pre Order Sehingga 30/10/22*Where stories live. Discover now