14

584 29 3
                                    

BAB 14

LENGAN bajunya disingsing sehingga ke paras siku. Rambut disanggul gaya messy bun sebelum apron disarungkan ke tubuh. Sarung tangan getah juga siap disarungkan dan Nawal duduk di bangku plastik kecil di depan sebuah besen besar. Pinggan dan cawan yang tersusun tinggi di sisi kanannya mula diambil dan dimasukkan ke dalam besen yang sudah penuh dengan buih sabun.  

Ya, Nawal secara rasminya sudah tidak menganggur! Bekerja di sebuah kedai mamak sebagai multitasking worker. Cakap sahaja apa kerja yang Nawal tidak buat? Ambil pesanan, kutip pinggan mangkuk, lap meja, mop lantai dan semuanyalah! Tinggal lagi nak tebar roti canai sahaja Nawal belum mampu lagi. 

Siapa sangka Nur Nawal Irish Dato' Saiful mampu buat semua kerja ini?  

Nawal tersenyum nipis. Pada waktu terdesak begini, mana boleh nak memilih sangat.  Daripada dia bekerja dengan Darwish yang ibarat macam sengaja menghumbankan diri sendiri ke dalam neraka itu, sanggup lagi Nawal bekerja dengan anney yang mesra-mesra belaka di sini walau lawak Nawal tak pernah disambut. 

Cukuplah untuk cari duit poket sikit. Tak adalah Nawal nak tepukan terus otak dia dari langsung tak memikirkan cara untuk selesaikan masalahnya. Cuma buat masa ini, biarlah keadaan reda sekejap sebelum Nawal kembali melangkah.  

“Hey, adik. Sudahlah. You boleh balik. Sudah habis waktu. Bagi itu shift malam punya orang sambung.” 

Nawal mendongak. Supervisor kedai, Hasan tersengih-sengih memandang ke arahnya. Nawal jungkit kening seraya bangun. Sarung tangan dibuka dan diberi kepada Hasan. Peluh di dahi diseka dengan belakang tapak tangan setelah tangannya yang basah dilap bersih. Lama muka Hasan direnung sambil jari-jemarinya diletup-letupkan.  

“Hmmm… San. You tahu tak kalau ada bilik sewa dekat area sini?” 

Laju sahaja Hasan mengangguk.  “Ada. Sini atas kedai pun ada. Sini staff semua sewa atas sini jugak. Siapa cari?” 

Nawal tunjuk muka sendiri dengan jari telunjuknya sambil tersengih-sengih namun melihatkan Hasan yang laju sahaja menggelengkan kepalanya itu, senyuman Nawal menjadi pudar. 

“Kenapa?”

“Haish, kalau you tak bolehlah. Bahaya. Sini atas semua lelaki.” 

Nawal sekadar mengangguk dan tersenyum hambar. Berat sungguh hatinya. Nampaknya terpaksalah Nawal tebalkan lagi mukanya di depan Emir nanti. Nak mencari bilik sewa yang sesuai dengan gaji macam susah buat masa ini. 

Melihat air muka Nawal yang berubah mendung, Hasan jatuh kasihan. Kali pertama berjumpa gadis ini, langsung tak disangka yang Nawal susah begini. Ingatkan Nawal ini anak orang-orang senang. Mana taknya, hulur duit RM100 untuk segelas milo kaw. 

“Saya cuba tanya orang. Kalau ada rumah bagus, saya bagitau you. Don't worry,” ujar Hasan sambil tersenyum.  

Nawal tersenyum lebar seraya mengangguk. Janji yang tidak pasti namun sudah cukup melegakan hati Nawal di saat-saat begini. Dikelilingi manusia-manusia yang baik hati membuatkan Nawal belajar tentang erti bersyukur.  

“I balik dulu.” Apron diserahkan kepada Hasan dan telapak tangannya dihulurkan ke arah Hasan. Sekeping duit bernilai RM50 dihulurkan oleh Hasan sebagai gaji harinya diambil dan dicium gembira sebelum dimasukkan ke dalam poket seluarnya. 

“Terima kasih! Balik dulu, San!” 

“Hey! Jangan lupa pergi tapaw dulu makanan sebelum you balik!” jerit Hasan sambil melihat Nawal berjalan girang meninggalkan ruang belakang kedai mamak itu. Tersenyum sahaja Hasan. Cukup senang dengan peribadi Nawal yang ceria.  

Separuh Nafas *Pre Order Sehingga 30/10/22*Where stories live. Discover now