BAB 1

886 33 4
                                    


BAB 1

Aku langsung tak kisah dengan pandangan orang pada aku sekarang ni. Maksud aku, saat ni. Saat aku tercegat di tengah-tengah orang ramai dan tersenyum-senyum pandang sesuatu gaya terpandangkan ahli BTS yang tiba-tiba muncul di KL.

Oh, tak.

Kalau aku nampak ahli BTS, kemungkinan aku dah menjerit sakan, bukan setakat senyum aje.

Tak logik kalau aku jumpa BTS, tak menjerit. Terserempak dengan Beto Kusyairy pun dah buat aku ternganga sakan, inikan pula BTS!

Okey. Habis pasal BTS. Bukan itu sebabnya kaki aku kaku macam ni. Bukan itu sebabnya aku tersengih-sengih gaya lala kena rebus ni.

Eddie!

Ya, sebab dia.

Dah banyak kali aku kelipkan mata dan pandang ke arah sama kalau-kalau aku tersilap pandang. Tapi bila masih wajah yang aku kenal tu masih di situ dengan gaya yang sangat maskulin aku tak boleh lekang dari menayang gigi.

Eddie, awak dah popular!

Kalau ikutkan hati, nak je aku menjerit kuat-kuat dekat situ juga. Teruja betul bila nampak wajah kacak Eddie terpampang pada billboard besar di situ. Aku tahu benda tu tak penting pun pada orang lain.

Mungkin orang-orang yang lalu lalang di KL Sentral ni tak kenal pun siapa model iklan pada billboard tu.

Tapi ini penting untuk aku. Untuk Eddie juga.

Sebab aku tahu susahnya Eddie nak dapat peluang macam ni.

Spontan, aku angkat telefon pintar dan membuka applikasi kamera. Billboard yang memaparkan gambar Eddie tersenyum lebar untuk iklan jam tangan mewah itu dirakam ke dalam galeri.

Puas hati dengan gambar yang aku ambil, bibir mencipta senyum lebar tanpa dipaksa. Aku sambung langkah yang terhenti tadi terus ke LRT. Sambil membuka applikasi WhatsApp, kad Touch 'n' Go dikeluarkan dari saku slack.

'Proud of you!'

Bersama gambar yang aku ambil tadi, aku hantar WhatsApp terus kepada Eddie.

Mulut aku dah kebas dengan senyuman. Tak tahu kenapa, kalau sebut saja segala tentang Eddie, confirm aku akan senyum.

Tapi itulah tu, Eddie yang sekarang ni dah makin jauh dari aku. Sibuk agaknya dengan kerja baru dia tu.

Berlakon, modelling, kadang-kadang mengacara. Semua dia buat. Dia pernah cakap yang dia ambil saja semua peluang yang orang bagi sebab risau dikatakan memilih. Sudahnya, masa dia memang banyak dihabiskan dengan dunia glamor dia.

Untuk aku.... hampir tak ada!

Tapi aku tak kisah. Aku faham.

Walaupun kadang-kadang hangin jugalah aku bila dia sengaja biarkan WhatsApp aku tak berbalas sampai dua hari!

Tapi sekali lagi, aku faham. Terpaksa faham.

Lagipun, aku juga yang bersungguh-sungguh suruh dia pergi casting dulu. Aku yang suruh dia apply job model dulu walaupun dia cakap dia tak yakin.

Sekarang ni, aku kena terima ajelah apa yang jadi.

Lamunan aku pasal Eddie dan asal usul dia dapat kerja dulu melambung entah ke mana bila bahu aku dilanggar dari belakang. Perlahan, tapi cukup menganggu ketenteraman aku.

Automatik aku menoleh ke kiri. Seorang gadis dengan pakaian sederhana mengangguk perlahan sambil menyebut, "Sorry."

Aku diam tak menjawab. Kelibat dia dah meluru laju ke hujung sana aku pandang lama sehingga dia hilang dari pandangan.

Cinta Gadis Februari [Published]Where stories live. Discover now