Kali ini, senyuman manis yang selalu selalu terlukis di wajahnya, tiada. Dia lebih banyak mendiamkan diri, tanpa melakukan apa apa, hanya merenung dan merenung ke arah penyedut minuman di dalam gelasnya.
Sistem sistem di dalam kepalaku mula sibuk melakukan tugas, beribu ribu soalan telah muncul untuk aku tanyakan kepada dia. Namun, aku batalkan setelah melihatkan sebuah senyuman; yang buatkan aku sanggup gadaikan seluruh hidupku tidak terbit di bibirnya.
"Sampai waktu, I akan bagitahu you semuanya, untuk sekarang, I hanya boleh cakap dengan you, yang ada satu perkara dalam hidup I yang belum selesai, mungkin tak akan pernah selesai." Kata dia, merenung tepat ke wajahku.
Aku mula mahu bertanya dengan lebih lanjut tentang perkara yang dia maksudkan itu. Mana mungkin aku boleh bertahan dengan kenyataan dia menyuruh aku bersabar, sehingga satu suara muncul dan bisik ke telingaku. "Caring itu bukanlah tentang memaksa keras seseorang yang belum bersedia mahu menceritakan tentang suatu perkara. Sabar itu juga merupakan salahsatu rukun dalam memberi perhatian." Dan, suara itu kemudiannya hilang.
Aku genggam jari jemari dia. Meramas lembut dan senyum. "I tak pernah wujud dalam cerita dan perkara yang sedang berlaku kepada you sekarang ini. I juga tak akan ada untuk memujuk you ketika you berperang melawan perkara yang you hadapi sekarang... tapi, I akan ada untuk kembalikan sebuah senyuman paling indah dalam dunia ini di bibir you."
Dan, senyuman itu mula terbit.