x

145 30 0
                                    

Feliks menapak masuk ke dalam dewan utama sekolah. Hari ini merupakan hari dia kembali semula ke sekolah selepas selesai menjalani hukuman gantung sekolah hari tu.

"Yow!" sapa Daniel seraya memaut bahu Feliks.

"Macam mana 'cuti'? Best?" soal Daniel. Dia menjongketkan keningnya memandang Feliks.

Feliks hanya tersengih sebagai balasan.

"Sengih-sengih ni ada benda jadi ke?"

"Adalah," jawab Feliks gembira.

Dalam kepalanya sudah memainkan semula prank yang dia lakukan kepada rakan sekelasnya hari tu. Cuma Daniel saja yang tidak tahu tentang hal tersebut memandangkan Daniel tidak datang sekolah pada masa tu. Tak tahulah sama ada Daniel ponteng atau dia memang ada hal keluarga. Bukan boleh percaya dengan rakannya itu.

Mereka melabuhkan duduk di atas kerusi barisan kelas 4 Victory. Selepas dewan tersebut mulai penuh, perhimpunan harian mereka pun bermula.

"Baiklah, kita akan mulakan perhimpunan kita dengan ucapan daripada guru bertugas pada hari ini," ucap pengawas yang menjadi pengerusi majlis.

Feliks langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku ketika perhimpunan itu sehinggalah tiba sesi petah bicara harian. Sebelum ini dia tidak pernah ambil kisah tentang sesi itu tapi hari ini berbeza.

"Sekarang kita menjemput Dian Sofia dari kelas 4 Victory untuk sesi petah bicara kita pada hari ini,"

Feliks tersentak saat dia melihat gadis yang dia tangkap ponteng sekolah hari tu naik ke atas pentas. Terus saja dia menghulurkan rubik cube yang dia cuba selesaikan dari tadi kepada Daniel.

Daniel pula hairan melihat sikap rakannya itu. Tak pernah pula dia nampak Feliks mahu fokus ketika perhimpunan. Ini satu benda baru.

Dian menyambut mikrofon yang dihulurkan oleh pengawas tersebut dengan terketar-ketar. Tangannya menggenggam erat mikrofon itu seperti mahu mencari kekuatan. Nafas dihela perlahan sebelum dia memandang warga Sekolah Menengah Bandar Azalea yang sedang duduk di hadapannya.

"'Diri Anda ialah Apa Yang Anda Makan', "

Dian berhenti sejenak. Dia melihat reaksi semua orang. Perlahan dia menelan air liur apabila dia melihat semua fokus memandangnya. Dia takut. Dia tak suka.

Semua pandangan mata itu seperti sedang menilai dia dalam diam. Tangannya yang sedia menggeletar semakin teruk menggeletar. Belakang bajunya sudah lencun dibasahi peluh.

Feliks yang melihat Dian sebegitu mula berasa kasihan. Ya, riak wajah itulah riak yang sama semasa dia berjumpa dengan gadis itu buat pertama kali.

Dian menghela nafas berat. Dengan suara seperti menahan tangis dia menyambung bicara, "Se... sebelum itu selamat sejahtera ss... saya erm,"

Dian tidak boleh tahan lagi. Air matanya yang dia tahan sedari tadi jatuh jua. Dia menangis teresak-esak di atas pentas. Pengawas yang bertugas membawa Dian turun dari pentas.

Feliks tidak tahu apa yang terjadi selepas itu kerana pengawas itu telah membawa Dian ke luar dewan.

Mahu saja Feliks keluar dari dewan tapi tidak boleh memandangkan ada Sir James yang sedang menjaga di pintu dewan. Kalau dia keluar nanti naya dia kena dengan guru itu. Sudahlah kejadian hari itu pun masih belum reda.

anxiety n̶o̶t̶。Where stories live. Discover now