BAB 1

418 11 0
                                    


Keluarga Raudhah

Suara sayup azan laungan muazin dari surau berdekatan bagaikan jam loceng yang tak pernah wujud dalam rumah flat kos rendah yang hanya seluas 650 kaki persegi itu. Belum pun dia bangun dari tilam nipis yang hanya meneduh tubuhnya kira-kira tiga sentimeter dari merasai sejuk lantai, ada bunyi 'prak' dari luar tingkap. Dia cukup kenal bunyi itu. Jiran yang tinggal di tingkat atas rumah flat empat tingkat itu mencampakkan sampah ke bawah lagi. Barangkali mereka menyangkakan tidak ada sesiapa yang akan perasan pada awal-awal pagi.

Bayi enam bulan yang tadi tidur meniarap mengangkat kepalanya sedikit, masih mamai. Raudhah mengusap-usap kepala bayi itu yang bersirat dengan rambut-rambut nipis, mahu memujuknya tidur semula. Si kecil itu memang peka. Pantang kalau Raudhah bangun, dia akan terbangun sama.

"Wahyu," panggil Raudhah.

Raudhah mengucup dahi Wahyu. Kepala anaknya tampak bulat dengan mata yang kelihatan berkilau, memantul refleksi cahaya lampu kalimantang. Mata itu sering kali menjadi pemujuk hati Raudhah saat hidupnya diduga. Pandangannya berpindah pula kepada anak sulungnya, Hikmah dan anak keduanya, Fayyadh yang tidur sebelah-menyebelah. Perlahan-lahan Raudhah melabuhkan tangan kanannya di atas kepala Hikmah dan kemudian Fayyadh. Dia berdoa lagi dalam hatinya. 'Ya Tuhan, berikan segala kesusahan mereka kepadaku dan berikan segala rezeki dan bahagiaku kepada mereka.'

Raudhah mengangkat Wahyu dan memeluknya rapat ke dada. Kain batik yang sudah lusuh diikatkan ke atas bahu, menyatukan tubuh Wahyu dan tubuhnya. Dia mengerah kudratnya bangun dari tilam meskipun badannya masih kepenatan. Fitrah seorang ibu mendesak dia menyediakan makanan untuk anak-anaknya, mempersiap pakaian untuk mereka ke sekolah dan mendengar tiap keluh-resah mereka meskipun dunianya sendiri tidak berputar sempurna.

Nasi semalam yang sudah dipanaskan sampai kering dilekangkan dari periuk dengan senduk. Bawang putih dan merah dipotong nipis-nipis bersama sayur kangkung. Telur di dalam bekas diambil sebiji. Dia menggoreng nasi tadi dengan bahan-bahan ringkas yang disediakan.

Selepas memasukkan separuh isi kuali ke dalam pinggan, dia menambah cili padi yang ditumbuk sedikit untuk menambah kepedasan separuh lagi nasi tadi untuk santapan suaminya. Semuanya itu dilakukan sambil mengenjut tubuh Wahyu, memujuk anaknya agar duduk diam dalam gendongan kain batik yang terikat di tubuhnya.

Pakaian seragam Hikmah dan Fayyadh yang sudah diseterikanya semalam tergantung kemas pada penyangkut baju plastik yang tergantung pada paku di dinding ruang tamu. Dia mencapai stoking anak-anaknya dan memasukkan ia ke dalam kasut-kasut sekolah mereka. Kemudian, barulah dia mengejutkan Hikmah, Fayyadh dan suaminya, Auzir. Auzir masuk mandi dulu, bersama Fayyadh. Sementara menunggu, Raudhah memandikan Wahyu di dalam singki dengan air suam yang dipanaskannya di atas dapur sekejap.

"Mak, cikgu cakap duit nak pergi lawatan ke zoo tu dah kena bayar," luah Hikmah sambil membantu emaknya menyusun pinggan-pinggan yang sudah dibasuh semalam di atas rak besi yang sudah berkarat kakinya.

Raudhah menggigit bibir sedikit.

"Mah, pasal tu... Mak..."

Lontaran suara Raudhah tersekat-sekat. Dia terasa sebak sambil memikirkan perca bicara yang mampu disusun untuk memujuk hati si kecil itu. Sudah banyak kali Hikmah meminta keizinan dia dan suaminya untuk menyertai lawatan sekolahnya ke Zoo Negara. Bukan Raudhah tak mahu memberi. Cuma keadaan kewangan mereka agak sesak bulan itu. Apatah lagi Wahyu baru keluar daripada wad hospital kerajaan kerana masalah bronkitis.

"Tak ada duitlah tu, kan?!" tempik Hikmah. Air jernih berkaca di dalam kolam matanya. Rasa sebak tak tertanggung di dalam dadanya apabila memikirkan kawan-kawannya yang lain mampu melunaskan yuran untuk lawatan mereka dengan mudah. Walhal emak mempunyai sejuta satu alasan untuk menangguhkannya. Tiap kali dia meminta, ada saja alasan emak.

Dalam Rintis HujanWhere stories live. Discover now