BAB 8

98 3 0
                                    

"Abang dah cakap apa yang Emma tak faham lagi? abang ni tak mampu nak ada dua tiga bini. Abang dah kahwin, dah ada anak empat orang pun," ucap Auzir tanpa memandang Emma yang tiba-tiba saja datang ke bengkel dan menukarkan persekitaran tempat kerjanya yang memenat itu kepada latar penggambaran drama air mata yang sering kali ditonton di kaca televisyen.

"Abang, Emma sayang abang. Emma bukan tak cuba lupakan abang. Emma cuba. Tapi, Emma tak boleh," luah Emma. Dia rela dimadukan. Kalau itu tuntutan untuk mendapatkan secebis kasih sayang dan perhatian Auzir, biarlah dia berkorban. Walaupun dia dulu yang hadir dalam hidup lelaki itu, Emma tahu Raudhah sentiasa menjadi yang pertama dalam hati Auzir.

"Abang nak kerjalah, Emma. Emma tak malu ke datang sini, kacau abang tengah kerja macam ni. Orang tengok. Abang malulah, Emma. Emma tu perempuan. Patutnya Emma lagi malu daripada abang," balas Auzir, mengharapkan Emma segera beredar.

"Abang!" panggil Emma, dia memaut lengan Auzir. "Bagilah Emma peluang, bang. Apa kurangnya Emma ni berbanding Raudhah?" soal Emma yang masih tidak berpuas hati.

Auzir berasa meluat. Sudah berpuluh kali dia menerangkan yang hatinya hanya milik Raudhah seorang. Walaupun bertahun-tahun Emma menunggu, jawapannya masih tetap sama. Auzir bukan penceramah agama yang hebat untuk dilamar 18 orang wanita sebelum terpikat dengan calon yang ke-19 yang datang menyuntingnya. Dia hanya mahu mengikat dirinya pada seorang wanita iaitu Raudhah. Cukuplah seorang baginya walaupun dia mungkin dilabel sebagai lelaki yang tak berkelas bagi sesetengah orang kerana menikahi satu.

"Dahlah, Emma. Abang dah penat dah nak layan drama Emma ni. Dah bertahun-tahun dah, Emma. Takkan tak faham lagi? Lupakanlah abang. Banyak lagi lelaki yang lebih baik kat luar sana," suruh Auzir.

Kamarul yang mengikuti dialog drama swasta itu sambil bekerja terus menyanyikan lagu untuk mengusik.

Auzir menggeleng. Malas hendak melayan. Dia terus merangkak masuk ke bawah kereta yang sudah ditahan dengan jack stand.

"Abang ingat Emma main-main!" jerit Emma bagaikan orang yang terkena histeria, dia menyepak pemegang jek tadi sekuat hatinya.

Air muka Kamarul berubah 360 darjah. Dia sudah hilang fokus bekerja apabila melihat gelagat Emma.

"Hoi, Emma! Jangan macam tu! Kalau pun kau marah, jangan buat kerja gila!" tegah Kamarul apabila memerhatikan tindakan Emma. Sepana di tangannya diletakkan ke bawah. Dia meninggalkan kereta yang sedang dibaikinya, menuju ke arah Auzir yang masih berada di bawah kereta. Kawannya barangkali belum perasan betapa bahaya kedudukannya sekarang.

"Biar! Memang Emma gila! Semua orang cakap Emma gila, kan?! Biar Emma menggila kat sini!" jerit Emma, bagaikan sudah hilang kewarasan diri. Emma terus menyepak jek kereta tadi berulang kali, tidak peduli sakit di kakinya. Kemarahannya terus memuncak. Dia mahu Auzir tahu yang dia tidak main-main kali ini. Lelaki itu tidak boleh menepikan dirinya lagi.

"Keluar, Auzir! Keluar!" jerit Kamarul. Apabila melihat jek kereta yang ditendang Emma bergoyang.

Ada rengusan yang dilepaskan Auzir. Dia baru hendak keluar apabila papan kekunci pada jek menderhakainya. Ia jatuh merundum sehingga membebankan tubuh kereta yang sedang dibaiki ke atas dadanya. Tulang rusuknya bagaikan dipasak. Mulutnya dinganga, mahu cuba mencedok oksigen. Namun, cecair merah likat pula yang melimpah keluar, memenuhi anak tekak.

Dia teringatkan Raudhah yang sedang menantinya di rumah bersama anak-anak mereka. Sudah terdetik dalam hatinya sejak semalam untuk membelikan burger untuk anak-anaknya selepas pulang nanti. Dia mahu singgah ke rumah kebajikan tempat isterinya bekerja untuk menghantarkan sekali burger kepada anak susuan kesayangan dia dan isterinya, Mirza. Kemudian, dia mahu pulang memujuk isterinya yang masih merajuk.

"Auzir!" laung Kamarul sekuat hati. Dia dan

beberapa kawan mereka yang lain meluru ke depan untuk mengangkat bebanan kereta yang menghempap Auzir. Salah seorang daripada mereka memasang satu lagi jek di bawah kereta, mengangkat semula ia ke atas.

"Ahhh!" jerit Emma sambil menarik rambutnya bagaikan orang yang sedang terkena histeria. Dia terduduk di situ.

"Allah! Auzir!" teriak Kamarul sewaktu dia dan kawan-kawannya menarik tubuh Auzir keluar dari bawah kereta.

"Siti!" jerit Kamarul.

Siti yang bekerja sebagai kerani di bengkel itu cepat-cepat keluar dari pejabat apabila menyedari ada kecemasan yang berlaku. Tanpa menanti penjelasan, dia tergesa-gesa masuk semula lalu mencapai gagang telefon untuk menghubungi nombor kecemasan. Siti terjerit-jerit saat meminta ambulans dan pihak polis datang untuk memberi pertolongan.

Auzir tercungap-cungap. Tekaknya cuba bertarung untuk mencedok oksigen. Air matanya meleleh keluar sewaktu Kamarul menggenggam tangannya.

"Raud... Raudhah..." ucap Auzir.

Kamarul mengangguk. "Sabar, Auzir. Sabar. Aku tahu kau kuat. Kau tak boleh pergi macam ni. Anak-anak kau dan Raudhah perlukan kau. Ambulans dah nak sampai. Kau kena kuat..."

"Ya Allah, Auzir!" jerit Najmi, seorang lagi mekanik di situ sewaktu Auzir mendongak ke atas, cuba sehabis dayanya untuk meneruskan nafas.

"Auzir, tunggu kejap. Ambulans dah dekat. Dah dekat sangat. Kau tunggu kejap aje," teriak Kamarul, merayu. Air mata lelakinya terasa hendak merembes keluar saat itu. Dia mendekat bibir ke telinga Auzir, membisikkan kalimah dua syahadah meskipun hatinya tidak rela.

"Kau ingat? Masa Hikmah lahir, kita cakap satu hari nanti, bila kita cukup duit. Kita nak berhenti dari bengkel Lim ni. Kita nak buka bengkel sendiri. Kau ingat, Auzir? Kau dah janji dengan aku..." luah Kamarul sambil air mata lelakinya berkaca-kaca jatuh, menuruni lurah pipinya yang berminyak.

Mulut Auzir pucat. Matanya yang sudah tidak berkelip memandang ke atas. Jari-jemarinya sudah tidak lagi menggenggam tangan Kamarul. Hanya Kamarul yang masih setia menggenggam tangan kakunya.

"Kau dah janji... Kau dah janji dengan aku, Auzir," ungkit Kamarul.

Bunyi siren kereta polis dan ambulans kedengaran di kawasan hadapan bengkel. Kamarul masih jua terpaku di situ, memangku kepala Auzir. Tangan Auzir masih setia di dalam genggamannya.

Pegawai perubatan yang baru tiba bersama ambulans meluru keluar. Dia segera memeriksa Auzir, mencari tanda-tanda yang lelaki itu masih bernyawa. Namun, tiada denyut nadi yang mampu dikesannya. Bantuan pernafasan diberikan. Dia memeriksa Auzir sekali lagi. Jasad kaku itu masih tidak memberikan sebarang respons. Paramedik muda itu mencuba lagi. Setelah beberapa kali mencuba, mereka akhirnya pasrah. Rakannya yang seorang lagi membuat pengumuman waktu kematian sambil melihat ke muka jam tangan.

Mereka mengeluarkan beg plastik hitam untuk menempatkan jasad kaku Auzir.

Najmi segera menarik Kamarul yang masih kaku di situ, memaksa dia melepaskan tangan Auzir. Kamarul bagaikan baru terjaga daripada mimpi. Dia meraung sekuat-kuatnya sebelum cuba menyerang Emma yang masih terduduk di situ, teresak-esak menangis. Najmi dan beberapa rakan mereka yang lain cuba menghalangnya.

 Najmi dan beberapa rakan mereka yang lain cuba menghalangnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Dalam Rintis HujanWhere stories live. Discover now