Untitled Part 9

106 4 0
                                    

"Ayah tak balik lagikah?" soal Fayyadh.

F a y y a d h mengintai ke luar tingkap. Matanya mencari kalau-kalau ayah sedang melangkah di atas koridor flat bersama burger Ramli yang dijanjikan ayah semalam. Kata ayah, dia akan singgah untuk hantar burger yang sama kepada Mirza sebelum pulang ke rumah mereka.

"Lambat sebab nak hantar kat Mirza burgerlah tu," rungut Hikmah sambil melipat kain baju yang baru diangkat emaknya daripada ampaian. Usianya sudah merangkak remaja. Namun, rasa cemburu yang disimpan buat adik susuannya itu masih membusut nanahnya seperti dulu. Ia bagaikan menunggu masa untuk meletus.

"Kak Mah ni macam-macamlah. Burger sebiji pun nak dengki. Kesianlah sikit kat budak kecil tu. Dia kena tinggal kat rumah kebajikan, mak tak boleh bawa balik dengan kita. Mir tu kan adik kita," ujar Fayyadh, tidak pernah memahami apa yang membuatkan Hikmah marah benar dengan Si Mirza. Mirza hanya si kecil yang menumpang sedikit kasih dan perhatian daripada keduadua orang tua mereka. Tak luak kasih sayang emak dengan kehadirannya.

"Kau tu tak faham. Kita ni dah cukup susah. Kais cari makan macam ayam. Tapi, mak dan ayah sibuk juga nak buat kebajikan. Keluarga Si Mir sendiri pun tak nak dia. Yang mak dan ayah kita nak sibuk-sibuk jaga dia tu, kenapa?" rungut Hikmah dengan air muka tidak puas hati.

"Mak tengah solat maghrib dengan Wahyu kat dalam, kan?" soal Fayyadh, mengubah topik.

Hikmah menarik muka masam. Dia mengangguk sekali. "Dah tahu buat apa nak tanya lagi?"

"Kenapa Kak Mah tak solat?" soal Fayyadh. Dia mengharapkan solat mampu membersihkan hati busuk kakak sulungnya itu. Kata ustazah di sekolahnya, solat mampu menghalang manusia melakukan kejahatan.

Hikmat menggigit bibir. Terasa susah untuk menerangkan sebab dia tidak boleh mendirikan solat kepada adik lelaki sulungnya itu. Dia hanya membatukan diri sambil mengelatkan muka sebagai isyarat yang dia tak mahu diganggu.

"Tu. Telefon mak asyik berbunyi dari tadi. Ayad tak mahu jawab? Mana tahu ayah yang telefon, nak tanya Ayad nak burger apa?" luah Hikmah.

Benar juga kata kakaknya. Fayyadh terus bangun. Dia melangkah ke tin biskut yang bersandar pada dinding di sebelah suis yang sedang mengecas telefon emaknya. Nombor yang muncul di skrin telefon emak diperhatikan. Itu bukan nombor telefon ayah mereka. "Bukan ayahlah. Siapa entah yang telefon? Mak tak ada save pun nombor ni. Orang nak jual barang agaknya?" luah Fayyadh.

"Isy, mana ada orang nak jual barang telefon mak! Bukannya mak tu ada duit!" balas Hikmah. Dia mengambil handphone tua emaknya daripada Fayyadh. Panggilan itu dijawabnya.

"Helo. Ya. Assalamualaikum, Pak Cik Kamarul. Ya, Hikmah yang bercakap ni..."

Ayat Hikmah termati. Air mata bertakung dalam kolam matanya. Dia tidak membalas walau dengan sebutir bicara. Tapak tangan ditelangkup ke mulutnya untuk menahan sebak yang terlalu sarat untuk ditanggung sang hati. Dalam masa yang sama, daun pintu bilik dikuak. Raudhah yang baru selesai menunaikan solat bersama Wahyu terus melangkah keluar dari bilik.

"Mak..." panggil Hikmah. Ada getaran dalam panggilan perlahan yang terlucut dari bibir Hikmah. Dia menghulurkan telefon kepada emaknya.

"Kenapa?" soal Raudhah apabila melihat air mata membanjiri wajah anaknya. Dia mengambil telefon yang dihulurkan.

"Assalamualaikum. Siapa ni?"

"Kamarul, kawan Auzir."

"Ya, Abang Kamarul. Ada apa?" soal Raudhah.

Suara esakan kecil Kamarul terkeluar juga walaupun cuba ditahan. Air matanya yang tadi sudah kering turun bertali-arus kembali. "Raudhah, Abang Auzir kamu dah tak ada. Dia kemalangan di bengkel tadi, kena hempap kereta. Sekarang, jenazah dia kat hospital..." "Allah. Allah. Allah," ucap Raudhah sambil terduduk, menangis semahu-mahunya tanpa mampu dikawal lagi.

"Mak!" teriak Hikmah. Dia memeluk emaknya sekuat hati, cuba memberi kekuatan yang langsung tidak dimilikinya.

"Kenapa ni? Apa dah jadi?" soal Fayyadh.

Hikmah menoleh, memandang Fayyadh. "Ayah dah tak ada. Ayah dah meninggal," ucapnya. Dia menghulurkan tangan, menarik Fayyadh dan Wahyu ke dalam pelukannya.

"Allah. Ya Allah," ucap Raudhah, mencari kekuatan.

"Fayyadh," panggil Hikmah.

Wajah Fayyadh terasa membeku bagaikan seluruh darahnya sudah disejat. Dia tidak mampu merasa apa-apa buat sesaat dua. Fikirannya keliru, tak mampu mencerna berita yang baru disampaikan kakaknya.

"Ayad, ayah dah mati. Dia dah tak ada lagi kat dunia ni," ulang Hikmah.

Bagaikan baru terjaga dari lena, Fayyadh terus meraung sekuat hatinya, menangisi pemergian si ayah.

"Ayah, kenapa ayah tinggal Ayad? Ayah!" raung Fayyadh dalam pelukan Hikmah. Wahyu yang masih terkejut, hanya kaku. Dia masih kecil untuk memahami apa yang kakak dan abangnya perkatakan.

"Apa kita nak buat, mak? Ayah dah tak ada. Macam mana kita nak hidup tanpa ayah, mak?" luah Hikmah.

Tangan Raudhah terketar. Raudhah terkenangkan rasa marah dan cemburunya pada Auzir yang berlanjutan sejak semalam. Dia belum sempat meminta keampunan daripada suaminya. Tahukah Auzir bahawa kemarahan Raudhah itu lahir kerana dia terlalu menyayangi dan mencintai suaminya itu? Bukan kerana dia bencikan Auzir. Auzir dunianya. Kini dia merasakan seluruh dunianya sedang meruntuh. Dia dan anakanaknya kehilangan dahan untuk berpaut. Kucupan Auzir di dahinya di bengkel rupa-rupanya adalah kucupan terakhir suaminya. Auzir takkan pulang lagi dalam bentuk yang asal. Hanya jasadnya yang tertinggal sekarang, menanti saat untuk dituntut. Roh yang dipinjamkan sudah kembali menghadap Maha Penciptanya.

"Mak..." panggil Hikmah.

Raudhah menggenggam tangannya.

"Kita kena buat persediaan untuk ayah. Mah dengar sini... Mah kena kuat untuk mak, untuk adik-adik. Mak dah tak ada siapa nak diharapkan sekarang, Mah. Mak cuma boleh berharapkan pada Mah," pinta Raudhah, mengharapkan pengertian anak sulungnya. Dia mengesat air matanya.

"Mah, kemaskan rumah. Jaga adik-adik. Mak kena ke hospital. Nanti mak telefon pak su dan mak su untuk minta mereka datang," pesan Raudhah.

Hikmah mengangguk.

"Fayyadh nak ikut mak," luah Fayyadh.

Raudhah menggeleng.

"Tolong kakak. Kejap lagi mak balik," pesan Raudhah. Dia menggagahkan kaki bangun, melangkah ke bilik untuk mengambil tudung.

 Dia menggagahkan kaki bangun, melangkah ke bilik untuk mengambil tudung

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 22, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dalam Rintis HujanWhere stories live. Discover now