Tajuk: Dalam Rintis Hujan
Penulis: LizaNur
www.karyaseni.my
Kerna tiap pilihan akan membawa kita ke destinasi berbeza...
Dalam rintis hujan, Mirza setia menanti wanita yang berjanji untuk memayungi dirinya dengan kasih sayang. Namun, hampa belaka.
"...
"Siapa bilang gadis Melayu tak menawan? Tak menarik hati? Tiada memikat?"
nyanyi Kamarul dengan suara sumbangnya sambil memegang sepana bagaikan ia adalah mikrofon sewaktu melihat Emma sedang berjalan lenggang ke arah bengkel kereta mereka.
"Abang Auzir!" panggil Emma dalam nada manja.
Saat suara Emma menikam gegendang telinganya, Auzir terus menghembus nafas keras. Apalah masalah dengan wanita yang seorang ini? Sudah berkalikali Auzir memberi layanan dingin terhadapnya tetapi dia masih juga tergedik-gedik begitu. Bukankah Emma sudah sedia maklum yang dia sudah beristeri? Jangan katakan Auzir, mekanik-mekanik yang lain di situ juga sudah mempunyai pasangan masing-masing termasuklah Kamarul yang sememangnya rajin mengusik. Mereka bukan berstatus 'abang-abang' mekanik sebaliknya 'pak cik-pak cik' mekanik.
"Ooo... Abang Auzir!" laung Emma sambil menarik anak-anak rambutnya ke belakang telinga. Dia bersandar pada kereta yang sedang dibaiki Auzir.
"Hah, nak apa?!" soal Auzir.
"Garangnya abang ni," tegur Emma sambil senyum sinis. "Ini ha... Emma bawakan makanan untuk abang," jelasnya sambil menunjukkan bekas mangkuk tingkat yang diusung bersamanya ke bengkel. Kesemua masakan itu adalah dari air tangannya sendiri. Maklumlah, Emma mempunyai kedai makan yang terletak berdekatan dengan bengkel itu.
"Amboi! Untuk Abang Rul tak ada?" soal Kamarul, menyibuk. Dia meletakkan sepana sebelum mengelap tangan dengan tuala yang tersangkut di lehernya. Meskipun jari-jemarinya sudah ditonyoh dengan kuat dengan tuala tadi, tangannya masih legam dengan sisa minyak hitam.
"Ala... Makan sekalilah, Abang Rul," balas Emma.
Auzir tidak membalas.
"Abang Auzir berhentilah kerja dulu. Jomlah kita makan sama-sama!" pujuk Emma.
Pujukan Emma tidak melembutkan hati Auzir. Walaupun dia tidak menyukai gadis itu, dia terpaksa mengakui yang masakan Emma sememangnya sedap. Dia pernah menjamahnya beberapa kali semasa dia dan kawan-kawannya ke kedai makan tempat Emma bekerja. Tetapi, ia tak mampu mengujakan sehingga Auzir terlupa tentang isterinya.
"Abang Auzir ni suka jual mahal," keluh Emma.
Auzir meletakkan sepananya dan keluar dari bawah kereta. Dia berdiri di hadapan Emma yang sejak tadi sedang menguntum senyuman.
"Aku tak lapar," bohong Auzir.
"Jamahlah sikit," pinta Emma. Dia membuka bekas makanannya di atas meja lipat di tengah-tengah bengkel.
"Aku cakap aku..."
Belum sempat Auzir menghabiskan ayatnya, Emma terus menyumbat tauhu sumbat di tangannya ke dalam mulut Auzir, menyebabkan lelaki itu tidak mampu bercakap. Emma melebarkan senyuman.
Bunyi bungkusan plastik jatuh, mengejutkan Auzir. Dia menoleh ke depan bengkel, melihat isterinya yang sedang berdiri tegak sambil memegang tangan Wahyu dengan sebelah tangan. Sepantas kilat Auzir menolak Emma yang berdiri terlalu hampir dengannya ke belakang. Dia merapati isterinya yang tampak keliru. Bungkusan makanan yang dijatuhkan Raudhah diangkat semula.
"Siapa mak cik tu, mak?" soal Wahyu, memandang emaknya untuk mendapatkan penjelasan.
Raudhah hanya terkaku. Lidahnya terasa kebas untuk menjawab.
"Jangan cakap apa-apa," pinta Auzir.
Mata Raudhah tidak berkelip sewaktu memandang Auzir. Ada genangan jernih di dalam kolam matanya.
"Dengar sini. Kawan-kawan abang memang suka bergurau. Abang memang tak ada apa-apa dengan Emma. Emma suapkan abang makan sebab tangan abang kotor," ucap Auzir yang tidak mahu Raudhah melatah dulu. Tangannya kotor untuk memeluk dan mententeramkan isterinya. Lantas dia menghadiahkan kucupan ke dahi Raudhah.
Raudhah terkesima.
"Jangan fikir bukan-bukan, ya," pinta Auzir.
Muka Raudhah merah padam, menahan malu yang teramat. Dia menundukkan mukanya ke bawah.
"Wah, romantiknya!" sorak rakan-rakannya yang
lain.
"Orang sayang bini oi! Perempuan cantik depan mata pun tak pandang dah!" usik Kamarul yang membuatkan Raudhah tersipu lagi.
Tersentap hati Emma saat melihat kemesraan Auzir dan Raudhah. Geramnya bukan kepalang. Sejak zaman sekolah, hanya Auzir seorang yang menambat hatinya. Bukannya dia gilakan putera mahkota. Dia hanya jatuh hati pada si papa kedana yang berwajah manis itu. Namun, Raudhah yang usianya dua tahun lebih tua daripada mereka itu yang menjadi kegilaan Auzir. Walaupun sudah bertahun-tahun mereka bernikah, sampai sekarang sayang Auzir pada Raudhah tidak pernah berkurangan.
Prak! Mangkuk tingkat di atas meja tadi terbalik ke lantai. Kesemua yang ada di dalam bengkel terdiam seketika, melihat Emma yang menghentak kakinya sewaktu melangkah keluar.
Raudhah yang tadi tertunduk malu kembali bingung. Benarkah suaminya tidak punya apa-apa hubungan dengan wanita bernama Emma itu? Mengapa lain benar tingkah lakunya? Dia seakan-akan marah dengan Raudhah. Bukankah Raudhah yang sepatutnya marah kerana gadis itu berani menyuapkan suaminya makan?
"Kenapa dengan perempuan tu, bang?" soal Raudhah.
Auzir menggeleng.
"Dia cemburulah tu. Raudhah, Si Emma tu dah lama dah suka kat laki kau tu dari zaman sekolah. Meroyan dari zaman budak-budak sampai sekarang. Dia tak kahwin sebab sukakan Auzir. Si Auzir ni pula sukakan kau," balas Kamarul yang bagaikan mencampakkan minyak ke dalam api.
Raudhah memandang Auzir. Suaminya tidak pernah bercerita tentang Emma kepadanya sebelum ini.
"Dah. Jangan dilayan. Abang Kamarul bergurau tu," pinta Auzir.
Raudhah membatukan diri. Mana mungkin dia tidak melayan kalau insiden tadi berlaku di depan matanya. Mana tahu kalau-kalau insiden itu tercetus di belakangnya, lain pula reaksi si suami. Hatinya sedikit terkilan ketika melihat Auzir yang memandang remeh perkara tadi. Adakah mana-mana perempuan boleh mendekati suaminya, menyuapkan Auzir makan beralasankan yang tangan suaminya kotor?
"Sayang..." panggil Auzir.
Raudhah menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan ia perlahan-lahan. Kemudian, dia terus keluar.
"Nak ke mana?" soal Auzir.
"Tengok Mirza," balas Raudhah tanpa memandang suaminya. Dia menarik tangan Wahyu agar cepat-cepat menurut langkahnya.
Auzir menggigit bibir.
"Merajuk dah bini saya, bang," rungutnya.
Kamarul mengunci mulut.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.