BAB 3

109 0 0
                                    


"Berapa lama mak kena tidur kat pusat tu? Kenapa tak suruh orang lain jaga budak tu?" soal Hikmah.

Hikmah bebal apabila diberitahu Raudhah terpaksa menginap di rumah kebajikan tempat emaknya bekerja sekarang untuk menjaga seorang bayi yang sudah bergelar anak susuannya. Apa motif emaknya bermalam di sana? Adakah mereka akan beroleh apa-apa pulangan jika emaknya bekerja lebih masa? Bukankah gaji emak masih sama?

Auzir mengeluh sekejap. Bukan mudah untuk berhadapan dengan kedegilan anak sulungnya. Tiap kali dia berbicara dengan anaknya yang baru hendak beranjak remaja itu, dia perlu menembok dirinya dengan sabar. Kalau dia tertewas dengan emosi, mungkin tangannya bakal melekap di pipi Hikmah. Dia tak mahu mengajar anak-anaknya menggunakan kekerasan.

"Mah, Adik Mirza tu belum mahu minum susu tepung. Mak tengah ajarkan sikit-sikit. Kan ayah dah cakap, Mirza tu adik susuan Mah sekarang. Dia macam adik kandung Mah sendiri, mahram Mah," jelas Auzir.

"Tak. Dia bukan adik Mah. Mak tak beranakkan dia. Mak beranakkan Wahyu. Wahyu adik Mah. Mirza tu anak yang orang buang! Anak yang mak bapak dia tak nak!" luah Hikmah.

"Jangan biadab!" tempik Auzir. Rasa geram membintik dalam hatinya. Dia hampir-hampir hilang sabar dengan keceloparan mulut anaknya.

Hikmah terdiam.

"Ayah dah cakap banyak kali, Mah! Banyak kali! Jangan pandang hina orang! Kita ni makhluk Allah, sama saja semuanya. Pernah ke ayah ajar Mah kurang ajar selama ni?!"

Genangan air mata bertakung dalam kolam mata Hikmah. Tergamak ayah memarahinya dan melebihkan anak orang luar yang ayah baru pernah dukung sekali. Entah dari mana keturunan budak itu. Berani ayah menidakkan hak Hikmah yang merupakan anak kandung ayah dan emak kerananya.

'Satu hari nanti ayah akan menyesal! Hikmah yang bakal menjaga ayah apabila dia tua kelak. Hikmah juga yang bakal menjaga emak. Bukan anak buangan itu,' gertak hati Hikmah. Dia berjanji yang dia akan membuktikan bahawa dia lebih berhak mendapat perhatian dan kasih sayang emak dan ayah berbanding Mirza.

"Kak Mah!" panggil Fayyadh sewaktu melihat Hikmah melangkah bebal masuk ke dalam bilik.

Hikmah tidak mengendahkan adiknya.

Fayyadh mengejar kakaknya dengan patung Ultraman yang sudah tersiat sedikit warnanya kerana tercarik pada dinding sewaktu sibuk bermain.

"Kenapa Kak Mah marah? Kan mak cakap Mirza tu dah jadi adik kita," tegur Fayyadh.

ungkit Hikmah, bebal.

Otak Fayyadh sibuk memikirkan kata-kata kakaknya. Namun, susah untuk dia mencerna tuduhan keras Hikmah. Bagi Fayyadh, hidupnya tidak terkesan sekalipun emak dan ayah berbuat baik kepada orang lain ataupun tidak. Permintaannya dalam hidup mudah. Asalkan perutnya tidak kelaparan, dia reda. Asalkan ada atap teduhan di atas kepala, dia aman. Asalkan ada pakaian untuk disarungkan ke tubuh, dia selesa. Asalkan waktu bermain dengan kawan-kawannya tidak terganggu, dia seronok. Hanya itu kemahuannya. Cantaskan saja iri hati. Dia tidak pernah menyimpan cita-cita tinggi seperti Hikmah.

"Mak dah ada anak lelaki lain. Ayad tak fahamkah? Mak dah tak pedulikan Ayad. Mak dah tak sayangkan Ayad lagi. Ayad dah bukan anak lelaki tunggal mak," luah Hikmah.

Fayyadh terdiam seketika. Dia tidak terfikir soal itu. Benar kata Hikmah, dia bukan lagi satu-satunya anak lelaki emak dan ayah sejak kehadiran Mirza. Tetapi benarkah emak dan ayah akan berhenti menyayanginya hanya kerana mereka mempunyai anak lelaki yang lain?

"Habis selama ini, mak dah tak sayang Kak Mah?" soal Fayyadh bagaikan orang dungu.

Dahi Hikmah berkerut.

Dalam Rintis HujanWhere stories live. Discover now