"Kenapa Kak Aiya tengok kamu dari tadi ni, asyik muncung mulut Raudhah?" soal Suraiya.
Raudhah memotong-motong bawang di depannya dengan kasar untuk melepaskan geram. Hendak diluahkan kepada Suraiya, dia terasa malu. Usianya sudah beranjak jauh. Anaknya sudah seramai empat orang. Dia malu untuk mengakui yang dia masih cemburukan Auzir pada usia sekarang. Apatah lagi dia tidak mempunyai bukti sahih untuk menuduh suaminya berlaku curang. Kamarul sendiri ada berkata yang Emma memang menyukai Auzir sejak dulu tetapi Auzir menyukai Raudhah.
"Ada tak perempuan yang suka pada seorang lelaki ni sampai bertahun-tahun, dari zaman sekolah sampai lelaki tu dah kahwin beranak-pinak pun dia masih sukakan lelaki tu juga?" soal Raudhah secara tiba-tiba, berasa pelik dengan situasi Emma dan Auzir. Kalau suaminya tidak pernah memberikan harapan, takkanlah Si Emma terus tergila-gilakannya?
"Kak Aiya sampai sekarang sukakan Shah Rukh Khan, Raudhah. Walaupun dia dah tua dan dah kahwin, hati Kak Aiya tak berubah," luah Suraiya dalam nada berseloroh.
Raudhah dipukul rajuk sekali lagi.
"Kak Aiya ni! Orang betul-betul, dia main-main," rungut Raudhah.
Suraiya tertawa.
"Manusia ni macam-macam, Raudhah. Tak ada yang pelik. Lelaki pun satu. Mula-mula tak sukalah konon. Tapi nanti kalau dah tergedik-gedik perempuan tu kat dia, cairlah," ujar Suraiya. Dia belum dapat membaca yang lelaki yang Raudhah maksudkan ialah suaminya, Auzir.
Bibir bawah Raudhah digigit sejenak, memikirkan Auzir. Dia sudah tidak secantik sewaktu mula-mula bernikah dulu. Mukanya sudah mulai berkedut. Kulit tangannya kasar dan kekeringan. Adakah benar suaminya takkan berubah hati? Apatah lagi Emma masih kelihatan cantik. Maklumlah, gadis itu belum bernikah dan mempunyai anak-anak sepertinya. Mustahil hati Auzir tidak terketar ketika Emma cuba mendampinginya.
Air mata Raudhah tertumpah sendiri apabila memikirkan rahsia yang diperam Auzir selama ini. Kalau dia tidak ke bengkel semalam, barangkali dia tidak akan tahu tentang kewujudan Emma. Auzir tidak pernah bercerita tentang Emma. Mungkinkah ada rahsia yang cuba Auzir sembunyikan daripada pengetahuannya? Mungkinkah mereka pernah berpacaran sebelum ini? Adakah benar Emma hanya bertepuk sebelah tangan?
Pelbagai soalan mulai meracuni fikirannya.
"Mak," panggil Mirza. Dia mengintai di sebalik pintu dapur.
Raudhah cepat-cepat mengesat air mata. Pandangannya jatuh pada anak susuannya yang bergigi sumbing itu. Mirza dilihatnya sedang berjalan terjengketjengket. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang disorokkan si kecil itu di belakangnya.
"Ada apa, Mir?" soal Raudhah.
Mirza menayangkan kertas lukisan yang sudah dilipat kemas. Di atasnya dilukiskan gambar seorang perempuan dan seorang budak lelaki.
"Mak, kita tak pernah ada gambar berdua. Mir lukis gambar mak dengan Mir," ucap si kecil yang baru menjengah usia lima tahun itu.
"Cantiknya. Mir lukis mak cantik sangat ni, Mir. Mak kan dah gemuk, muka kedut-kedut. Lukisan Mir ni cantik sangat," luah Raudhah sambil melihat lukisan comot anaknya.
Mirza menggeleng, menidakkan tuduhan emak yang dia sudah berkedut.
"Mak Mir perempuan paling cantik dalam dunia," umum Mirza. Dia memeluk erat pinggang emaknya.
"Mir sayang mak."
"Betul Mir sayang mak?" soal Raudhah.
Mirza mengangguk.
YOU ARE READING
Dalam Rintis Hujan
General FictionTajuk: Dalam Rintis Hujan Penulis: LizaNur www.karyaseni.my Kerna tiap pilihan akan membawa kita ke destinasi berbeza... Dalam rintis hujan, Mirza setia menanti wanita yang berjanji untuk memayungi dirinya dengan kasih sayang. Namun, hampa belaka. "...