Prolog

92 7 0
                                    

"Tuan William?"

Beberapa kali pintu bilik Presiden William diketuk oleh pembantu peribadinya, Liam, tetapi tidak disahut panggilannya. Hati Liam berasa tidak senang. Memorinya masih kabur kerana ingatannya kali terakhir ialah dia baru sahaja pulang daripada membeli ubat yang dipesan Presiden William untuk Irene. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, memorinya seperti hilang. Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring atas lantai, tidak sedar bagaimana dia boleh pengsan di situ. Tidak sedap hati, Liam terus bergegas ke arah bilik Presiden William.

"Tuan William? Puan Irene?!" Ketukan pintu semakin deras dan kuat, namun Liam tidak mendengar apa-apa respon. Dahinya berkerut. Belakang lehernya mulai terasa seram sejuk. Ritma jantungnya mulai rancak.

"Tuan?!" Liam terus memulas tombol pintu dan membuka seluas-luasnya. Ternyata pintu tersebut tidak berkunci. Matanya terus melilau mencari kelibat Presiden William dan Irene.

Liam melihat Presiden William sedang duduk di sofa, membelakangkannya. Seperti sedang membaca akhbar. Irene pula dilihat sudah berbaring mengiring atas katil. Serentak itu juga hidungnya menangkap sedikit bau yang kurang menyenangkan, seperti bau zink buruk. Dahi Liam semakin bertambah kerutannya. Apa yang berlaku? Mengapa Presiden William tidak menyahut panggilannya tadi? Lekas-lekas Liam melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

"Tuan-" Langkah Liam serta-merta terbantut apabila kakinya seperti terpijak sesuatu cairan lekit. Baru dia perasan ada kesan tompokan gelap atas karpet berwarna merah tua tersebut. Sebaik sahaja dia mengangkat kakinya, terlihat kesan darah yang sudah mula mengering dan melekit, melekat pada telapak kakinya. Jantungnya bagai mahu luruh melihat kesan darah tersebut.

"Tuan William!" Liam melaung cemas sambil berlari mendekati Presiden William. Tiada satu pun panggilan Liam disahut oleh Presiden William dari tadi. Perasaannya semakin tidak keruan. Kali ini Liam sudah berada betul-betul di belakang sofa yang diduduki Presiden William.

"Tuan?!" Liam menyentuh bahu Presiden William dan cuba menggoncangnya, namun tubuh Presiden William yang duduk tegak itu terasa begitu keras sekali. Spontan Liam menarik tangannya kembali, matanya membulat. Tangan Presiden William di sisi sofa itu juga kelihatan lebih pucat warna kulitnya, bagai kekurangan darah. Lekas-lekas Liam melangkah ke hadapan Presiden William.

Sebaik sahaja Liam melihat wajah Presiden William, dia terus jatuh terduduk. Seluruh tubuhnya menggeletar. Dadanya mengembang dan menguncup bagai tidak cukup nafas. Dia mahu menjerit, tapi kerongkongnya bagai tersumbat.

Mata Presiden William terbeliak bagai sakarat mencabut nyawanya dalam keadaan dia terperanjat dan ketakutan. Mulutnya separa terbuka, dengan lidah yang sedikit terjelir keluar. Dahi Presiden William jelas terlihat seperti kesan lubang tebukan yang telah menembusi tenggorok kepalanya.

Yang sedang duduk di sofa tersebut hanya tinggal jasad Presiden William yang sudah tidak lagi bernyawa.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now