Perhitungan Neo-Manusia

22 1 0
                                    

Residen Harmoni pada pagi itu tidak ceria dan meriah seperti selalu. Suasananya dirundung resah dan ketakutan. Kesemua penghuni residen itu dikurung di dalam sebuah dewan besar, masing-masing pasrah. Ramai yang menangis dan saling berpelukan. Di luar, melalui tingkap dewan tersebut, mereka hanya memerhatikan kelibat lelaki yang memakai sut formal dan bersenjata submesingan itu sedang berkawal. Lelaki yang tidak menunjukkan apa-apa ekspresi wajah itulah yang mengerahkan mereka berkumpul di situ. Sesiapa yang melawan akan terus dipukul sehingga pengsan atau sehingga tidak mampu lagi melawan.

"Siapa kau, hah?!" Sebentar tadi seorang pemuda cuba melawannya ketika disuruh keluar dari rumah. "Berani kau kacau–"

BUK!

Kepala pemuda itu terus dihentam kuat, sehingga terkeluar beberapa batang giginya. Dia rebah sambil merintih kesakitan. Melihatkan kejadian itu, orang ramai jadi takut untuk melawan. Ramai lelaki dalam kalangan penghuni residen ini yang telah tercedera kerana melawan. Mereka juga tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan walaupun untuk mendapatkan bantuan ambulans. Semua tidak tahu apa nasib yang bakal menimpa mereka.

Zeus duduk bersila di atas bumbung dewan tersebut. Lembingnya tersandar di bahu. Sasarannya hanya satu – Athena. Dia tidak berminat sedikit pun untuk mencederakan penghuni-penghuni Residen Harmoni ini, namun dia tahu dia perlu mengumpan Athena ke sini menggunakan mereka. Athena banyak menghabiskan masanya bersama orang-orang di sini. Ketika Zeus dan android yang datang bersamanya mengerah seluruh penghuni di situ berkumpul, dia tidak perlukan banyak usaha. Dia hanya perlu membiarkan android tersebut memberi tunjuk ajar kepada yang melawan, lalu semuanya terus akur. Mereka kemudiannya diikat.

Tiada siapa perlu dibunuh jika mereka akur.

Kesemua tebusan di situ berwajah durja. Tiada sesiapa lagi yang dikasari kerana mereka akur, tetapi hampir semua orang yang ada di situ menunjukkan riak takut, sedih, duka, dan tidak kurang marah yang tidak diluahkan.

Wajah-wajah penghuni itu meninggalkan Zeus dengan beberapa persoalan.

Begitukah gambaran Erudayn apabila Ezakiel berjaya menguasainya?

Adakah ini maksud keamanan yang dimahukan Ezakiel?

Lamunan Zeus terhenti apabila telinganya menangkap bunyi sebuah kenderaan yang laju menghampiri. Zeus memicingkan pandangannya dari bumbung bangunan Residen Harmoni itu. Dari jauh, Zeus nampak kelibat Athena datang, hanya bersama Natalya sahaja. Benaknya mula melontarkan persoalan.

Mengapa Athena akur dan tidak memanggil bantuan daripada Inteligen Khas?

Bukankah lebih mudah jika mereka bergabung untuk menumpaskannya?

Mengapa Athena sanggup membahayakan nyawa agar dia tidak mengapa-apakan penduduk Residen Harmoni?

Mengapa Athena mahu melindungi mereka?

Kenderaan yang dipandu Natalya kemudian dihentikan tidak jauh dari kawasan Residen Harmoni. Athena dan Natalya melangkah keluar dari perut kereta. Natalya terus membuka bonet kereta, lalu mencapai senjata.

Dari jauh, Athena terlihat kelibat seorang lelaki yang sedang berkawal di hadapan dewan Residen Harmoni. Melalui celahan pintu dewan yang sudah terkopak teruk, kelihatan penghuni-penghuni Residen Harmoni yang sedang ketakutan. Dalam celahan manusia itu, Athena terlihat wajah Layla yang juga sedang ketakutan.

Belum sempat Athena terus mara, sebatang lembing dilempar dan terpacak di hadapannya. Sejurus itu Zeus mendarat tidak jauh daripada kedudukan lembingnya. Lembing itu dicabut kemudian diputar sebelum dipegang kejap ke sisi. Melihat Zeus di hadapannya, wajah Athena semakin kelat. Rasa geram dan marahnya bercampur baur.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now