Rasa Dikhianati

28 1 0
                                    

"Okey, cukup," ujar Natalya. Senjatanya yang diacu di bawah tulang rahang Athena diturunkan. Begitu juga dengan Athena. Lengannya yang sudah menyauk leher Natalya dileraikan.

Natalya sedikit mencungap dan menarik oksigen selaju-lajunya. Jika ini ialah pertempuran yang sebenar, nyawanya hanya bernasib baik sahaja selamat jika picu senjatanya dilepaskan dahulu sebelum 'musuh' mematahkan tengkuknya. Itupun jika 'musuh' tersebut manusia biasa. Jika 'musuh' merupakan neo-manusia seperti Athena, Natalya yakin 'musuh' itu mampu mengelak tembakan tersebut di saat-saat akhir.

Athena menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Matanya terpejam, sambil membayangkan semula latihan sebentar tadi. Walaupun jelas Athena memenangi pertempuran tersebut, namun masih sukar untuk dia mengalahkan Natalya walaupun kekuatan mereka berdua ketara bezanya. Bahkan dia mengatasi Natalya kerana kelebihannya sebagai neo-manusia. Natalya sukar dihadapi bukan kerana kekuatannya, tetapi bijak mengagak serangan lawan dan strategi tempurnya. Musuh yang boleh menjangka serangan lawan ialah musuh yang berbahaya. Athena kemudian membuka matanya dan menalakan pandangannya ke arah Natalya. Matanya terarah lama pada Natalya.

Perasan pandangan Athena tidak berganjak daripada melihatnya, Natalya menegur, "Kenapa?"

Athena terkebil sebentar sebelum dia menggeleng. "Rasa lain pula lihat kau sudah tak pakai gelung leher tu," komen Athena.

Gelung yang dimaksudkan oleh Athena ialah gelung yang dipakai oleh penjenayah berbahaya yang dipenjarakan di penjara bawah tanah Erudayn; seperti Natalya. Gelung tersebut akan merenjat pemakainya yang cuba melarikan diri atau lakukan cubaan membuka gelung tersebut secara paksa. Ketika Joseph bersungguh meyakinkan pihak mahkamah Erudayn untuk merekrut Natalya ke dalam Inteligen Khas, pihak mahkamah membenarkannya dengan syarat gelung tersebut mesti dipakai oleh Natalya setiap masa. Selepas 'Irene' berjaya diselamatkan, Natalya diberi kepercayaan dan gelung itu tidak perlu dipakainya selagi mana dia masih berkhidmat dengan Inteligen Khas.

Mendengar komentar Athena itu, Natalya lantas tertawa. "Kenapa? Kalau ada gelung leher tu, lebih mudah nak kalahkan akukah?"

Athena sekadar tersengih mendengar selorohnya. "Sama sahaja, kau pasti ada sahaja helah untuk tumbangkan aku," Athena meluah sambil menggeleng kepala.

"Kalau kita berlawan dengan lebih lama, kau pasti menang," balas Natalya sambil tersengih, "Stamina kau akan menghauskan aku."

Sengihannya kemudian dimatikan dan digantikan dengan raut yang lebih serius.

"Aku tau aku akan kalah jika kita beradu kekuatan. Maka aku kena lebih dahulu menumbangkan kau sebelum aku dicederakan dengan lebih teruk, walau dengan apa cara sekalipun," tambah Natalya lagi. Dia kemudian mengambil tempat melepaskan lelah. Tubuhnya condong sedikit ke depan, ditongkat kedua-dua tangannya pada kerusi panjang tersebut.

Kata-kata Natalya itu ada benarnya, fikir Athena. Dia teringat sewaktu pertama kali mereka bertembung sebagai seteru. Dia tidak ditangkap oleh Natalya kerana dia lebih kuat, tetapi kerana Natalya lebih licik memperdayakannya hingga dia berjaya dipengsankan. Berbeza sewaktu pertembungannya dengan Joseph, kekuatan dan skil berlawannya sahaja sudah cukup untuk menumpaskan Joseph.

"Dalam mana-mana latihan seni tempur, latihannya biasa melatih kita untuk berhadapan dengan orang dan situasi yang berbahaya. Pergerakannya untuk melindungi diri dan menjatuhkan lawan, bukan untuk membunuh orang dengan efisyen. Dalam dunia pembunuh profesional, menyerang ialah pertahanan yang terbaik. Sama ada kau membunuh, atau dibunuh," suara Natalya terasa sedikit bergetar ketika ayat yang terakhir itu meluncur.

Dan kata-kata itu mengundang rasa seriau dalam diri Athena.

"Bersembunyi hanya akan membunuh kau, Athena. Kau perlu membunuh, atau kau yang akan dibunuh musuh!"

Suara itu kembali melintas dalam fikiran Athena. Kata-kata yang sama diberitahu kepadanya sewaktu dia menjalani latihan simulasi peperangan di Fasiliti Gabriel dahulu. Latihan yang sebenarnya cuba membentuknya untuk menjadi seorang pembunuh, bukannya untuk melindungi orang lain. Athena memejamkan matanya, cuba mengenyahkan ingatan itu. Sejenak kemudian dia membuka matanya semula.

Natalya dilihat menunduk merenung tanah, ada raut suram mula terpamer. Athena jarang melihat sisi Natalya yang begini. Natalya kebiasaannya orang yang ceria dan suka bergurau. Barangkali kemunculan Jane tempoh hari, tambah lagi ketegangannya dengan Joseph turut mengganggu emosinya.

Athena teringat betapa geramnya Joseph apabila dia dapat tahu Natalya sengaja tidak menyebut tentang Jane untuk melindunginya. Mengapa Natalya merahsiakan kewujudan Jane selama ini? Mengapa Natalya mahu melindunginya?

Athena kemudian melabuhkan duduknya betul-betul di hadapan Natalya.

"Natalya," Athena menegur.

"Hmm?"

"Pasal apa yang kau gaduh dengan Joseph semalam. Kenapa kau lindungi Jane daripada Inteligen Khas?" Soalan itu terlontar. Athena terus memandang tepat pada anak mata Natalya.

Natalya tidak menjawab. Natalya mengalih pandangannya ke arah lain. Antara mereka hanya ditemani hening.

"Jane kawan kaukah?" Persoalan lain ikut terlontar. Athena masih memandang tepat ke arah Natalya.

Natalya melepas keluh kecil. "Lebih kurang," jawabnya pendek kemudian kata-katanya terhenti sejenak.

Natalya kemudian menyambung, "Kami membesar, berlatih dan bekerja bersama-sama dalam keluarga mafia Hans Nikolov, keluarga aku sendiri. Tapi akhirnya aku sendiri yang jatuhkan mereka, sebab keluarga aku khianati aku. Aku beri semua maklumat penting untuk Inteligen Khas tangkap ahli-ahlinya, kecuali Jane. Sebab..."

Bicara Natalya terhenti. Dia menghela nafas dalam-dalam. Ia sesuatu yang berat untuk Natalya sendiri menelannya. Sesuatu yang dia sendiri sukar mahu mengungkapkannya kepada Joseph. Namun Natalya tahu, dia tidak boleh menyimpan hal ini selamanya. Sekurang-kurangnya, dia harus memberitahu Athena.

"...sebab aku anggap Jane macam kawan dan keluarga aku sendiri. Aku sangka apabila aku lindungi Jane daripada ditangkap, dia akan mulakan hidup baru. Tapi rupanya aku silap." Suara Natalya kedengaran berat menuturkannya. Ada nafas berat dihembus keluar dari mulutnya.

Mendengar itu membuatkan Athena berasa serba salah kerana memulakan pertanyaan. "Maaf aku bertanya sesuatu yang buat kau tak selesa," ujarnya.

Natalya menggeleng. "Tak apa, benda dah berlaku. Aku pun tak sepatutnya simpan rahsia ni."

Natalya kemudian mengangkat wajahnya, memandang tepat ke arah Athena.

"Dalam pertempuran jarak dekat, Jane bukan orang yang boleh dipandang rendah ketangkasannya. Aku sendiri bukan lawannya jika kami berdua beradu tenaga. Bezanya dengan kau, Athena, dia seorang yang licik," suara Natalya terus berubah tegas. Dia menghela nafasnya dalam-dalam, kemudian melepaskannya seraya mengujar, 

"Aku harap kita tak perlu bertembung dengan Jane."

Wajah Natalya kembali menunduk.

Athena diam. Seorang lagi lawan yang perlu mereka risaukan, selain Zeus. Lawan yang dibesarkan dan dilatih sama seperti Natalya. Lawan yang licik. Namun lawan itu juga merupakan teman lama Natalya. Athena tidak dapat membayangkan seberat mana beban perasaan yang harus ditanggung Natalya. Namun dari riak Natalya, jelas hal itu benar-benar mengganggu benaknya.

Sejurus itu perbualan mereka terus mati. Masing-masing membiarkan sepi mengambil alih. Masing-masing mengenangkan insan yang mereka pernah cuba mahu selamatkan, tetapi akhirnya mereka tetap memilih jalan yang berbeza, menolak usaha mereka.

Seperti Jane. Seperti juga Zeus.

Apabila nama Zeus terbit dalam layar fikiran Athena, ada rasa sakit turut dirasakan dalam hatinya. Rasa kecewa kerana Zeus memilih untuk bersama Ezakiel. Rasa dikhianati atas apa yang telah berlaku.

Rasa bodoh kerana mempercayai Zeus — musuh mereka.

Dunia ini ternyata tidak berputar seperti dalam sangkaannya. Realiti selalu lebih sakit daripada apa yang selalu dibayangkan.

Brrtttt.

Lamunan mereka berdua diragut oleh getaran pada telefon milik Natalya. Ketika dicapai, tertera nama Joseph pada skrin telefon tersebut. Satu mesej masuk.

Berkumpul di pejabat dalam 10 minit.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now