Luka Yang Cuba Dilupakan

22 2 0
                                    

Bangunan pusat penerangan Inteligen Khas dikerumuni ramai manusia dan kenderaan. Kebanyakannya ialah wartawan dan jurugambar. Sempat Athena mengerling ke arah bangunan tersebut sebelum kembali menghalakan pandangannya ke hadapan sambil mengawal arah motorsikal miliknya menuju ke arah pejabat utama Inteligen Khas. Pusat penerangan tersebut satu-satunya bangunan yang diberi akses untuk orang awam jika mempunyai urusan seperti jika ada hebahan yang akan dikerumuni para wartawan, atau majlis-majlis penting yang akan melibatkan orang yang berada di luar Inteligen Khas.

"Mesti berkenaan kes pembunuhan malam tadi," gumam Athena.

Isu pembunuhan Presiden William dan 'Irene' menggemparkan bukan sahaja Erudayn, malah mendapat perhatian internasional. Namun, berita tentang identiti sebenar 'Irene' disimpan rapi antara pasukan penyiasat terlibat. Tiada siapa dibenarkan mendedahkan maklumat ini agar tidak menimbulkan panik tidak terkawal dalam kalangan rakyat atau dipergunakan oleh mereka yang mahu menggunakan isu ini sebagai batu loncatan agenda politik masing-masing.

Sebaik sahaja pintu bilik mesyuarat dibuka, yang ada hanyalah kelibat Natalya. Kebiasaannya, Joseph yang terawal sekali bersama beberapa pegawainya yang lain. Athena berkerut melihat ketiadaan orang lain, jam tangannya dikerling - dia lewat seminit bahkan, bukannya sampai awal.

"Joseph dan detektif daripada unit homisid ada di pusat penerangan. Mereka terpaksa uruskan keadaan publik yang makin mendesak, meeting pagi ini kena tunggu mereka selesai dulu," ujar Natalya, setelah melihat kebingungan Athena.

Athena sekadar melepas keluhan kecil. Ternyata kes pembunuhan seperti ini memberikan dia rasa gelisah. Gelisah kerana penjenayahnya tidak dapat dijejaki. Gelisah kerana tidak banyak yang mereka boleh lakukan melainkan harus menjalankan penyiasatan dan menjejaki mengikut petunjuk yang dijumpai. Seperti cuba menjejaki bayang yang tidak kelihatan.

Natalya dilihatnya begitu tekun meneliti laporan-laporan kes pembunuhan di hadapannya. Tidak pernah Athena melihat Natalya setekun itu. Barangkali kemunculan pembunuh bernama Jane yang pernah menjadi teman lamanya dahulu benar-benar mengganggunya. Athena mahu bertanya lebih dalam berkenaan Jane, namun dia merasakan itu bukanlah masa yang sesuai.

Athena kemudian teringat ketegangan yang berlaku antara Natalya dan Joseph pada malam tersebut. Terus dia berjalan menghampiri Natalya.

"Kau dan Joseph bagaimana?" soalan itu ditutur perlahan, tetapi cukup jelas untuk didengari.

Natalya berhenti meneliti laporan yang terpancar di hadapannya. Dia memandang ke arah Athena yang menunggu jawapannya.

Natalya teringat pagi tadi, ketika dia masuk ke dalam ruang bilik ini dan bertembung dengan Joseph, masing-masing diam. Masing-masing seperti tidak tahu hendak bercakap dan berbual seperti biasa. Jika bersuara pun, sekadar hal kerja dan hal-hal profesional. Tiada lagi usikan Natalya setiap kali bertemu Joseph. Joseph pula tidak bertanya khabarnya seperti kebiasaan.

Rupanya lebih senang jika mereka bergaduh dan bertekak sehingga masing-masing melepaskan apa yang terbuku di hati, berbanding terpaksa berada dalam situasi di mana masing-masing diam membisu, bersikap dingin dan perasaan tidak senang tersimpan dalam hati masing-masing.

Natalya kemudian menjungkit bahu. "Ok... jangan risaulah. Sekurang-kurangnya, dia tak marah macam malam tadi," balasnya lagi, sambil cuba melihat sesuatu yang positif walaupun begitu ketara rasa ketidakselesaan masing-masing.

Athena sekadar terangguk-angguk. Setidak-tidaknya, hatinya sedikit lega mendengar mereka berdua tidak bertegang urat lagi.

"Oh ya, aku tunggu kau sebenarnya Athena," sambung Natalya lagi.

"Tunggu aku?"

"Ya, kau nak berlatih dengan aku? Sementara menunggu mereka selesai," Natalya terus bangun dan mencapai barang-barangnya.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now