Ia Datang Sendiri

14 1 0
                                    

"Berkumpul seawal pagi di pejabat, esok kita akan atur semula strategi untuk menggempur lokasi persembunyian Jane dan jalankan operasi penangkapan. Dismiss."

Arahan terakhir Joseph menamatkan sesi taklimat kepada skuad elit kombatan. Disahut dengan tabik hormat daripada seluruh skuad terlibat. Kelibat Joseph terus menghilang, langkahnya laju diatur keluar dari bilik tersebut.

Malam sudah terlalu lewat, masing-masing bergegas untuk pulang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum operasi penting itu diteruskan dengan lebih gencar. Pegawai bahagian keselamatan dan pengawasan berjaya mengesan kelibat terakhir Jane di utara Kota Aveyond, bersempadan dengan Amber – daerah yang geografi tanahnya lebih tinggi, berbukit-bukau dan kawasan hutan simpan. Tidak banyak pembangunan dilakukan di daerah tersebut, tetapi masih ada pekan-pekan kecil dan petempatan orang yang lebih suka hidup jauh daripada hiruk-pikuk kota. Sekatan jalan raya terus dilancarkan sepanjang sempadan laluan masuk daerah Mydas dan Amber sebaik sahaja mereka mengesyaki Jane akan melarikan diri ke sana, namun masih gagal mengesan kelibat yang mencurigakan.

Athena menyarung jaketnya. Sambil mengemas beg, fikirannya turut merentas ke hadapan, membayangkan operasi yang akan mereka jalankan. Antara yang menjadi kerisauannya ialah mereka tidak berjaya mengesan jejak Zeus semenjak dia berjaya meloloskan diri. Dia tidak tahu sama ada yang akan menyambut mereka nanti hanyalah Jane, atau Zeus akan turut berada di sana.

Mampukah mereka berhadapan dengan Zeus? Hati Athena bertingkah.

Sebelum ini skuad elit kombatan Inteligen Khas hampir berjaya menewaskan Zeus kalau tidak diganggu oleh serangan android, masakan kali ini mereka akan gagal. Athena cuba meredakan bayangan-bayangan resahnya.

"Athena," suara itu mematikan lamunan Athena. Natalya sudah berada di sisinya. Dia terlalu asyik dengan kemungkinan yang bermain dalam mindanya, tidak perasan kelibat Natalya yang menghampirinya.

Athena memandang ke arah Natalya, sambil raut wajahnya bertanya; kenapa?

"Malam ni kau tumpang tidur di rumah aku sajalah. Jauh kalau kau mahu ulang-alik dari Mydas. Lagipun rumah aku tu sunyi sangat, bukan ada orang lain pun," Natalya sempat berseloroh. Athena diam sejenak, memikirkan.

"Betul juga. Baiklah."

Mendengar jawapan itu membuatkan Natalya terus tersenyum gembira.

"Okey, jom." Terus mereka berdua melangkah ke arah tempat letak kereta dan masuk ke dalam perut kereta Natalya. Keretanya kemudian meluncur keluar dari kawasan bangunan Inteligen Khas.

Malam di Kota Aveyond seperti masih meriah. Walaupun sudah lewat malam, lampu pada bangunan-bangunan yang terbina di kota tersebut seperti berlawan-lawan gemerlapannya. Ada banyak premis yang dibuka 24 jam, dan tidak kurang banyak juga premis yang dibuka hanya pada waktu malam terutama pusat-pusat hiburan, membuatkan kesibukan malam tidak kurang kalah seperti waktu siang.

Athena membuang pandangannya ke luar tingkap di sisinya, menikmati pemandangan Kota Aveyond pada waktu malam. Sambil itu fikirannya mula menerawang. Dia masih memikirkan tentang Jane, tentang penjenayah yang membuat onar di rumah Presiden.

Fikirannya mula menarik dia ke belakang lagi. Ketika dia ditangkap Zeus. Ketika dia mendengar cerita Zeus tentang memorinya. Ketika dia menghalang Natalya daripada terus mencederakan Zeus. Ketika dia berkeras menyatakan Zeus bukanlah orang yang jahat, hanya keliru.

Fikirannya memainkan semula memori itu. Ketika Zeus mengakui kebenaran kata-kata Athena tentang tidak semua manusia bersikap rakus dan jahat. Ketika Zeus menyelamatkan Natalya daripada dibunuh android yang menyerang mereka. Ketika Zeus menunjukkan lokasi 'Irene' disembunyikan.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now