Tidak Sepatutnya Percaya

17 2 0
                                    

"Tiffany sahaja yang tahu kenapa dia menyamar — atau disuruh menyamar — menjadi isteri Presiden William," Athena dan Joseph mula menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Natalya.

Athena mula mengerah ingatan dan menyusun cebis-cebis kejadian yang berlaku sebelum ini. Ancaman teroris sebelum ini meletupkan stesen Asinon untuk mengaburkan agenda mereka menculik Irene dan menjadikan hospital sebagai tebusan. Kemudian teroris itu pula rupa-rupanya dipergunakan Ezakiel dan kemunculan Zeus menyebabkan Erudayn berada dalam bahaya.

Kali ini, Presiden William dibunuh dan isterinya yang diselamatkan mereka bukanlah Irene, tetapi orang lain yang telah dibedah wajahnya untuk menyerupai Irene. Irene yang sebenar barangkali masih dijadikan tebusan, dan mereka sangka mereka telah menyelamatkan Irene daripada ancaman teroris.

Semua ini terlalu rumit untuk dikatakan sebagai kebetulan.

Mustahil semua ini kebetulan dan tidak berkaitan.

"Aku tak sedap hati... apa yang berlaku sejak serangan teroris tak lama dulu hingga ke hari ini, semuanya mempunyai perkaitan, bukan kebetulan semata-mata," Athena meluahkan kerisauannya.

Natalya kemudian mengangguk, mengiyakan.

"Jane mungkin bekerja dengan Ezakiel. Tak mustahil," Natalya menyimpulkan. Bersama itu terbit keluhan berat daripadanya. Sukar untuk Athena menebak apa yang difikirkan oleh Natalya.

Joseph diam, sambil sebelah tangannya memicit pangkal batang hidungnya. Bingung. Buntu. Pembunuhnya tidak dapat dijejaki, dan mereka tidak punya bukti kukuh untuk menghalakan tuduhannya pada Ezakiel, meskipun dia nampak setiap kejadian itu punya perkaitan yang membawa kepada Ezakiel.

"Kita cuma boleh cuba jejaki Jane, dia sahaja petunjuk utama kita untuk jejaki Ezakiel, kalau terbukti dia memang bekerja dengan Ezakiel," ujar Joseph. Tiada yang membantah, masing-masing terpaksa mengakui itu sahaja yang mereka boleh lakukan ketika itu.

"Tuan Joseph," tegur seorang pegawai Inteligen Khas. Josep menoleh dan mendapati gerak tubuh pegawai tersebut menampakkan kegelisahan.

"Ada apa?"

"Semakin ramai wartawan berkumpul di luar. Mereka semua desak Tuan agar berikan keterangan apa yang berlaku," pegawai tersebut menjelaskan.

"Siasatan baru sahaja dijalankan, tak bolehkah mereka semua tunggu esok atau lusa sahaja? Suruh pegawai polis gesa mereka semua balik," naik geram Joseph mendengar desakan tersebut, ia mengganggu pihak polis dan penyiasat yang bertugas. Apa yang mereka kesah hanya cerita sensasi, kemudian menunggang alasan rakyat berhak tahu apa yang berlaku.

"Sukar Tuan Joseph. Ada beberapa ahli politik berpengaruh bersama pengikut mereka sudah berkumpul dan merusuh di luar selagi Tuan Joseph tidak keluar dan memberikan keterangan," pegawai tersebut menjelaskan takut-takut.

"Hah?!" sejurus itu Joseph menekup sebelah tangannya ke muka, kemudian meraup sambil mengeluh kasar. Masalah yang ada masih belum selesai, tambah lagi masalah yang lain!

"Kalau kita berkeras suruh mereka pulang, mereka akan mula menuduh kita gunakan kekerasan untuk menutup sesuatu daripada pengetahuan orang ramai," sambung pegawai itu lagi. Sudah masak benar dengan perangai sesetengah pihak politik yang akan mempergunakan apa sahaja isu untuk meraih sokongan orang. Athena dan Natalya ikut menggeleng kepala, pening dengan perangai ahli-ahli politik.

"Kita sambung bincang di pejabat esok," Joseph memberitahu kemudian menurut langkah pegawai tersebut keluar dari bilik tersebut.

Sebaik sahaja kelibat Joseph pergi, Athena terus melontarkan pandangannya pada mayat Tiffany di atas katil. Sebentar lagi pihak forensik akan mengangkut mayat Tiffany dan Presiden William ke makmal untuk proses autopsi. Athena merenung wajah mayat Tiffany dalam-dalam, kemudian tenggelam dalam lamunannya.

"Puan Irene berada di dalam kontena di hujung sana. Cari kontena berwarna hijau, nombor siri EZ-911," tiba-tiba sahaja Zeus memberitahu mereka lokasi Irene disembunyikan. Masing-masing tergamam.

Memori itu dimainkan semula dalam fikirannya. Ia mengundang rasa sakit yang mencucuk pedih dalam hati Athena. Terasa dirinya dikhianati.

Dikhianati kerana mempercayai kata-kata Zeus sebelum ini. Kerana menyangka Zeus menyerahkan Irene yang sebenar kepada mereka. Mungkin semua itu sememangnya perancangannya dari awal?

"Aku minta maaf, Athena. Jika kita bertembung lagi, kita tetap berseteru!"

Athena mengetap bibirnya. Geram. Mungkin benar kata Natalya sebelum ini. Dia terlalu naif. Dan kenaifan dia menyebabkan lebih ramai orang menjadi korban Ezakiel. Dia silap mempercayai Zeus. Dan Zeus mengkhianati kepercayaannya.

Akhirnya mereka telah diperdayakan.

"Athena," suara Natalya mematikan lamunan Athena.

"Jom balik. Mereka mahu tutup tempat ni dan bawa mayat ke makmal autopsi. Esok kita perlu datang awal ke pejabat," ujar Natalya.

Athena lambat-lambat mengangguk. Natalya perasan Athena seperti masih tenggelam dalam fikirannya sendiri.

"Kau okey, Athena?" soalan itu dilontar Natalya.

Athena merenung mata Natalya. Pertama kali dia ditanya soalan sedemikian. Akalnya seperti tidak tahu soalan tersebut harus dibalas dengan apa.

"Okey. Mungkin aku penat... dan sukar menghadam dengan apa yang berlaku," balas Athena. Itu yang terluah di mulutnya. Hatinya pula berkata lain, tetapi tidak terluah.

Natalya sekadar terangguk-angguk. "Okey," tuturnya kemudian terus mengatur langkah.

Athena sekadar menurut dari belakang. Fikirannya masih menerawang. Hatinya masih berbekas rasa geram yang tidak mampu diluahkan.

"Engkau benar, Athena. Ada sisi dunia ini yang belum pernah aku lihat dan fahami," ujar Zeus.

'Kau bohong, Zeus!' Hati Athena menggerutu.

"Tapi... aku masih lagi mempercayai bapa."

Memori itu terlayar kembali, bersama kata-kata yang membekas pahit.

Dia tidak sepatutnya mempercayai Zeus.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now