Amuk

16 0 0
                                    

"Kau akan aku bunuh dulu supaya tak mengganggu!" Zeus menghambur bengis sambil langkahnya menapak laju ke arah Natalya.

"Natalya!!!"

Masa seakan-akan bergerak dengan perlahan. Dari matanya yang separa terkatup, Athena melihat pergerakan Zeus seperti menjadi perlahan, tetapi semakin menghampiri Natalya yang cedera parah. Athena ingin bangun, tetapi dunianya terasa berpusing. Luka di tubuhnya masih pedih, seperti enggan sembuh. Zeus semakin menjauh darinya, dan mendekati Natalya.

'Tidak!'

Hati Athena teramat rawan, sakitnya melebihi daripada apa yang dirasakan pada tubuhnya. Kepalanya mula berdenyut. Akal fikirannya mula diserbu dengan bisikan-bisikan aneh.

Semua ini salah dia. Dia yang membiarkan Zeus terlepas sebelum ini. Dia juga yang mengheret Natalya ke sini dan membahayakan nyawanya. Kerana dia jugalah Layla berada dalam bahaya, dan seluruh Residen Harmoni ini terpaksa menanggung kesengsaraannya. Kini dia membahayakan nyawa semua orang yang disayanginya.

Sebagaimana dia menjadi penyebab Dr Aria mati dibunuh. Kerana dia jugalah Zeus wujud di dunia ini. Dan kerana dia, orang-orang di sekelilingnya semua mendapat musibah.

Monolog fikirannya semakin membanjiri kepalanya.

Perlahan-lahan, Athena nampak tangan Zeus sudah mencengkam leher Natalya, mengangkat tubuhnya tinggi. Sebelah tangan Zeus sudah menghunus lembing.

'Celaka! Bangun, Athena!!'

Tubuh Athena enggan bergerak, kudratnya mengkhianatinya. Athena terlihat Natalya yang sedang meronta cuba melepaskan diri.

Air mata Athena mulai berguguran. Tubuhnya seperti lumpuh. Hanya matanya sahaja yang mampu melihat, dan fikirannya yang semakin mengasak warasnya. Akhirnya dia tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya dia hanya mampu melihat semua itu terjadi di depan matanya. Dia tak mahu semua itu lagi!

Lembing di tangan Zeus sudah bersedia untuk menikam tubuh Natalya.

Athena mengetap giginya kuat-kuat. Hatinya semakin sakit. Dia mahu menjerit kuat-kuat.

Tidak! Aku tak akan biarkan Zeus bunuh Natalya!!!

Jantungnya mulai mengepam laju sehingga dadanya terasa mahu meletup. Tubuhnya terasa hangat. Darah seperti menyerbu ke wajahnya. Urat-urat di leher dan keliling matanya mulai timbul jelas. Tubuhnya tidak semena-mena terasa ada tenaga lain mulai mengalir. Dia bangkit perlahan-lahan, kemudian berpaut pada bonet kereta yang sudah ternganga luas. Athena mencapai tali pinggang yang memiliki beberapa beg kecil berisi bahan letupan, lantas memakainya. Fikirannya semakin kabur, hanya satu sahaja yang kekal nekad di benaknya.

Aku dan dia tak sepatutnya wujud di dunia ini!

Aku akan hentikan semua ini!!

"AAAAAAAAA!!!!!!!" Athena menjerit sekuat-kuatnya dan sebingit-bingitnya sehingga memeranjatkan Zeus dan Natalya. Tangan Zeus yang mencengkam leher Natalya langsung terlepas, serangannya terbantut. Terus Zeus berkalih ke arah Athena.

Tubuh Natalya terjelepok di atas tanah. Terbatuk-batuk dia cuba mencari oksigen. Dalam masa yang sama, pandangannya juga turut dihalakan ke arah Athena.

Athena sudah berdiri tegak.

Bulu roma tengkuk Zeus dan Natalya masing-masing meremang. Masing-masing merasakan ada tekanan menggerunkan yang terpancar pada Athena, seolah-olah leher mereka bagai ada senjata lut sinar yang bakal merenggut nyawa mereka bila-bila masa sahaja.

Projek Athena [3]: Amukan Manusia CiptaanWhere stories live. Discover now