Lima tahun yang lalu...
SEORANG gadis yang berkaca mata besar hanya memandang semua orang yang berada di dalam bilik mesyuarat. Semua mata-mata fokus terhadap dirinya. Suraya hanya menundukkan pandangannya. Kenapa hal seperti ini berlaku terhadap dirinya? Kenapa malang sangat nasibnya hari ini?
Suraya melihat seorang lelaki yang memakai kemeja putih. Wajah lelaki itu sangatlah tegang. Dialah Wan Zariq Hanafi, bos besar syarikat dia bekerja dan merangkap 'crush'nya. Suraya tahu dia dan Zariq bukanlah pasangan serasi tetapi dia pun tidak tahu kenapa perasaan seperti ini muncul. Lagipun, Zariq hanya melayannya acuh tidak acuh sahaja. Sebab itulah, Suraya tidak memasang harapan yang tinggi.
"Bukti dah ada! Semalam, antara korang berdua yang jaga stok kat gudang semalam. Takkan korang tak tahu siapa yang curi?"
Suraya tersentak apabila mendengar tengkingan dari Zariq. Sekarang ini, dia tidak tahu mahu membela dirinya. Walhal dia tidak pernah mencuri dan melakukan hal terkutuk seperti. Sudah beberapa kali, dia cuba membela diri. Tetapi pihak atasan yang lain termasuk Zariq sendiri seakan-akan was-was sahaja.
"Ta... tapi, bos... saya tak curi barang stok tu. Sumpah lilahi taala. Saya tak buat benda-benda terkutuk macam ni. Tolong... percayalah saya. Saya tak buat kerja-kerja curi ni," rayu Suraya. Air matanya terasa ingin mengalir. Sedih dan sakit apabila tiada seorang pun yang mahu membelanya. Sekarang ini, dia harus kuat. Air matanya itu hanya ditahan sahaja.
Suraya mengerling lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki itu memberikan reaksi yang sama. Iaitu masih keliru dan berusaha membela dirinya yang tidak bersalah. Entah kenapa nasibnya malang. Semalam memang Suraya ada masuk ke dalam gudang tersebut. Itu pun atas arahan Zariq sendiri kerana dia mahukan stok terkini stok-stok minyak wangi tersebut.
Keesokan harinya, pekerja dari bahagian pengurusan stok, terus sahaja kecoh dan memberitahu Zariq bahawa ada beberapa kotak stok minyak wangi yang sudah hilang. Jadi, suspek utamanya adalah dirinya sendiri kerana Surayalah orang terakhir masuk ke dalam gudang tersebut.
Suraya mengerling seorang perempuan yang berambut sedikit perang memandang ke arahnya dengan senyuman sinis. Perempuan tersebut betul-betul duduk di sebelah Zariq. Dia adalah setiausaha kepada Zariq iaitu Farah. Suraya memang tidak suka dengan perempuan itu kerana Farah adalah seorang yang berlagak dan asyik 'claim' bahawa Zariq adalah teman lelakinya.
"Su... saya tak tahu nak cakap macam mana kat awak. Tapi bos dah tengok CCTV memang betul tu muka awak. Tak baik tahu menipu," celah Farah.
Tanpa sedar, Suraya mengetap bibirnya. Tangannya dikepal kuat. Memang perempuan itu berpura-pura. Lagi-lagi, apabila Zariq masih ada di situ. Suraya cuba menghembuskan nafas dan menenangkan hatinya yang sedang bergelora. Entah kenapa dia dapat merasakan bahawa Farah ada kena mengena dengan kes curi ini.
"Aku bagi kata dua kat kau, Suraya. Semua bukti CCTV dah ada. Kau tak nampak ke sekarang ni semuanya terbukti kau yang buat sebab kau je orang terakhir yang ada dalam gudang tu. Kau ada dua pilihan. Kau nak bayar semua barang dicuri tu atau kau nak berhenti kerja? Aku tak rugi apa-apa kalau kau tak bekerja kat sini?" ujar Zariq serius. Matanya menatap tajam ke arah Suraya. Tangannya disilang.
Suraya bungkam. Zariq tidak melakukan apa-apa siasatan tetapi lelaki itu terus sahaja menuduh membuta tuli sahaja. Fatiya benar-benar kecewa. Rasa seperti beban kesedihan menghempap dirinya. Dia tidak melakukan hal seteruk itu.
"Along... tak nak siasat dulu ke? Aku tak rasa Suraya yang buat kerja-kerja macam ni. Please... consider balik, long. Takut kau menyesal nanti di kemudian hari," ujar Zafran iaitu adik kepada Zariq.
"Kau diam je la, Zaf. Kau tak tahu apa-apa. Dah ada bukti perempuan ni buat. Nak cakap apa lagi? Berhenti or bayar balik!" ujar Zariq yang kedengaran sedikit angkuh. Zafran hanya mengangkat bahu. Abangnya memang seorang yang degil. Jadi, dia tidak tahu mahu membalas apa. Kasihan juga melihat Suraya yang keliru dan sedih apa yang sudah berlaku semalam.
Suraya pula hanya mengeluh berat. Dia tidak ada cara lain lagi. Kedua-dua pilihan yang diberikan oleh Zariq tersebut sangat-sangatlah susah. Ia melibatkan maruah diri dan juga duit. Suraya tidak tahu mahu membela dirinya lagi. Semua orang tidak percaya. Lagi-lagi, Zariq sendiri.
"Tak apalah. Kalau bos pun percaya saya mencuri. Saya tak boleh nak buat apa. Tapi... saya tak akan sesekali mengaku apa yang saya tak buat. Saya lebih rela berhenti kerja dari tanggung kesalahan orang lain," ujar Suraya lagi pasrah.
Kesemua orang yang berada di bilik mesyuarat tersebut sudah berbisik. Ada juga yang menjeling. Ada juga yang berasa simpati. Suraya melihat Zariq masih lagi memandang tajam ke arahnya. Farah pula sudah tersenyum panjang. Suraya tidak ada pilihan lagi. Maruahnya sungguh tercalar. Tidak mengapalah. Mungkin lambat laun Allah akan tunjukkan kebenarannya.
SURAYA meletakkan satu persatu barangnya ke dalam kotak. Dia hanya diberi masa 24 jam untuk mengosongkan meja kerjanya. Semalam, secara rasminya dia sudah menghantar surat berhenti kerja. Suraya tidak tahu mahu kerja di mana lagi. Sudahlah sekarang susah untuk mencari kerja.
Sebentar tadi pun, ada juga pekerja yang menjeling tajam. Ada juga yang memanggilnya seorang pencuri. Suraya hanya diam sahaja. Kalau ikutkan rasa hati, sudah lama dia lempang mulut jahat yang mengata itu. Tetapi dia masih lagi ada kesabaran.
"Yaya!" panggil seseorang sambil menepuk bahu Suraya dengan perlahan. Suraya terus sahaja berpaling. Kelihatan Syeera dan Hasanah sedang tersenyum ke arahnya. Suraya hanya tersenyum pahit. Kalau dia tidak bekerja di sini, jaranglah dia mahu berjumpa dengan dua orang kawan karibnya ini.
"Kau tak nak buat rayuan ke kat bos? Aku sedihlah. Aku tahu kau tak buat benda-benda tu. Aku rasa ada orang nak kenakan kau. Kau tak kesian ke kat kitorang ni," ujar Syeera berbaur rayuan.
Suraya hanya mengeluh sahaja seraya berkata, "Aku dah tak ada pilihan lain lagi. Ramai tak percaya kat aku. Kalau pujuk bos tu senang macam kau cakap tadi, tak adalah aku susah-susah resign. Aku tak tahu nak bela diri aku macam mana lagi. Nasib baik bos tak report polis. Kalau tak kes ni akan jadi panjang."
Syeera dan Hasanah hanya mampu simpati sahaja. Mereka tidak ada apa-apa kuasa untuk menyelamatkan Suraya. Akhirnya, mereka bertiga berpelukan. Tanpa sedar, air mata Suraya bergenang.
"Yaya... kau ingat ni. Orang yang teraniaya, doanya makbul. Kitorang minta maaf kalau kitorang tak boleh nak buat apa-apa. Kitorang doakan kebenaran akan terbongkar. Biar bos tu menyesal nanti. Kau jaga diri tahu. Kalau ada apa-apa, kau call je," ujar Hasanah sambil menepuk bahu Suraya perlahan.
Suraya pula hanya mengangguk sahaja. Biarlah... hari ini hari mereka. Segala izin Allah, kebenaran masih terbongkar. Sakit... apabila orang yang dicintai dalam diam tidak percaya pada dirinya. Suraya hanya pasrah. Mungkin ini merupakan petanda bahawa Zariq bukan takdirnya.
YOU ARE READING
DARLINGKU MISS YOUTUBER (Terbit | E-Book)
Romance[LOVE NOVEL PUBLISHING] SURAYA NAFISAH, seorang gadis berkaca mata yang ceria tetapi sangat kelam kabut. Dalam diam, gadis itu mencintai majikannya sendiri WAN ZARIQ HANAFI iaitu seorang lelaki yang berlagak, ego tinggi dan dingin. Dek perancangan...