BAB 2

94 10 0
                                    

ZARIQ menyelak katalog minyak wangi tersebut dengan kasar. Keadaan bilik mesyuarat sungguh sunyi. Hanya bunyi selakan dan penghawa dingin sahaja. Dia memandang pekerjanya satu persatu. Katalog semua dah dalam keadaan baik. Tetapi apa yang lebih merunsingkan adalah pada bahagian promosi. Sekarang ini, mereka sedang mengalami masalah dalam pemilihan model iklan minyak wangi. Kesemua katalog yang diberikan dari bahagian promosi tidak memuaskan hatinya.

Syeera dan Hasanah hanya diam sahaja. Apabila melihat wajah bosnya yang keruh, mereka berdua tahu bahawa itu bukan petanda yang baik. Lagi-lagi mereka berdua juga bekerja di bawah bahagian promosi dan pemasaran. Jadi, jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini, mereka juga yang perlu menghadap bos besar.

"Dah setengah jam buat meeting. Tapi satu habuk pun tak ada improvement. Lagi-lagi bahagian promosi. Aku tak puas hati dengan senarai katalog model yang aku dapat ni. Siapa buat katalog ni?" tanya Zariq tegas.

Hasanah dan Syeera tersentak. Merekalah yang buat katalog tersebut. Akhirnya, kedua-dua gadis itu mengangkat tangannya perlahan-lahan. Kesemua mata-mata tertumpu kepada mereka. Hasanah bermain dengan jarinya. Memang cara itu sahaja untuk menghilangkan rasa gementarnya.

"So, improvement macam mana? Model... dah dapat yang baru?" tanya Zariq sambil menyilangkan kedua-dua tangannya.

Hasanah dan Syeera pula saling berpandangan. Sejujurnya, dia tidak punya apa-apa cadangan nama model. Tetapi kalau mereka menjawab perkara sebenar mesti bosnya itu akan mengamuk. Syeera terus sahaja memberikan isyarat mata iaitu menyuruh Hasanah menjawab pertanyaan tersebut.

"Aku tak tanya dinding tahu. Aku tanya korang! Takkan tu pun susah nak jawab!" Kesemua pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat tersebut tidak berani bersuara. Bahu Syeera sedikit terangkat dek terkejut akan suara Zariq yang sedikit meninggi itu.

"Ma... macam ni, bos. Saya dan Syeera ada cadangan untuk model iklan minyak wangi tu. Saya cadangkan kita ambil 'instafamous' ataupun Youtuber yang terkenal. Lagipun, mereka ada pengikut-pengikut yang ramai di sosial media. Tu bagus jugak untuk pemasaran produk kita. Itupun kalau bos setuju cadangan kami berdua," jawab Hasanah sedikit gugup. Dia tidak tahu hendak memberikan jawapan yang lain. Jawapan itu hanya spontan sahaja

Zariq hanya mengangguk sahaja. Baginya, itu merupakan satu cadangan baik. Lagi-lagi, sekarang ini ramai rakyat Malaysia yang menggunakan media sosial. Jadinya, inilah masanya untuk menggunakan pengaruh dari 'Youtuber' dan 'Instafamous' terkenal terhadap produk minyak wangi ini.

"Okey. Teruskan," kata Zariq memberi keizinan untuk Hasanah meneruskan hujahnya. Kesemua pekerja fokus mendengar. Hasanah berdehem sedikit. Sekarang ini, hanya dua orang nama 'Youtuber' terkenal yang muncul di benaknya. Harap Youtuber tersebut terima kerja ini.

"Saya dan Syeera cadangkan Youtuber Yaya Su dan Asyraf Kholid. Lagipun nama Youtuber Yaya Su ni terkenal di seluruh Malaysia. Ada jugak peminatnya dari Brunei, Indonesia dan Singapura. Jadi, memang satu keuntungan yang besar kalau syarikat ni pilih mereka berdua," ujar Hasanah yakin.

Kesemua ahli mesyuarat tersentak apabila mendengar nama 'Yaya Su'. Zariq pula hanya bungkam. 'Yaya Su' dan Suraya adalah orang yang sama. Dia amat pasti tentang itu kerana Zariq sendiri pun ada menonton beberapa video Youtube gadis itu.

Tiba-tiba sahaja timbul rasa serba salah dalam hatinya. Teringat pula peristiwa lima tahun yang lalu. Peristiwa dimana dia melakukan satu kesalahan yang besar iaitu menghukum gadis yang tidak bersalah. Dia benar-benar malu.

Kesemua ahli mesyuarat masing-masing setuju dengan cadangan Hasanah tersebut. Hasanah pula masih menunggu kata putus dari Zariq. Harap bosnya setuju dengan cadangan spontannya itu. Lagipun sudah lama dia tidak berjumpa dengan Suraya.

"Okey. Kau... boleh teruskan kerja kau."

Seusai Zariq berkata begitu, Syeera dan Hasanah terus sahaja tersenyum kegembiraan. Nampaknya, masalah mereka sudah selesai. Sekarang ini tinggal pihak Suraya sahaja. Zariq pula hanya tersenyum dalam diam.

ZARIQ bangun dari kerusinya. Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur sangat menenangkan hatinya. Zariq mengeluh perlahan. Selepas ini, mungkin dia akan bertemu dengan Suraya semula. Memang sudah lama dia ingin bertemu gadis itu. Tetapi dia tiada keberanian.

Tiba-tiba, ada seseorang mengetuk pintu pejabatnya. Zariq terus tersedar dari lamunan. Zariq membenarkan gerangan tersebut masuk ke dalam pejabat. Kelihatan adiknya iaitu Zafran sedang masuk. Zariq hanya membiarkan sahaja.

"Kau apahal ni? Lepas meeting tadi, terus tak ada mood." Zafran berkata sambil duduk di atas sofa. Matanya memandang ke arah Zariq. Zariq pula hanya menggeleng perlahan. Lalu, dia duduk di atas sofa bertentangan dengan Zafran.

"Aku okey je. Kenapa kau tanya?" tanya Zariq kembali. Zafran hanya tersenyum sinis. Macamlah dia tidak tahu apa punca abangnya jadi begitu. Ini mesti sebab salah satu pekerjanya tadi yang menyebut nama Suraya.

"Kau teringat kat Suraya?" tanya Zafran ingin kepastian. Zariq tersentak. Tetapi riak mukanya kekal selamba. Zafran masib lagi tersenyum sinis. Nampak sangat abangnya itu masih lagi serba salah dek peristiwa yang terjadi lima tahun lepas.

"Betul cakap kau dulu. Aku menyesal sangat. Kalaulah masa tu boleh putar balik... mesti aku siasat dulu pasal kes curi dulu. Tapi nak buat macam mana. Haih..." keluh Zariq sambil memicitkan kepalanya. Zafran pula hanya diam sahaja. Kadang-kadang, dia rasa simpati pula terhadap abangnya tapi salah dia juga kerana suka buat keputusan terburu-buru. Tapi itu dululah. Sekarang ni, Zafran lihat abangnya semakin matang.

"Habis tu kau nak buat apa? Kalau dia terima tawaran model tu... hari-hari kau kena jumpa Su tu. Dia pun dah jadi youtuber famous kat dalam Malaysia ni. Entah-entah, dia pun tak ingat kau lagi," ujar Zafran sambil menyilangkan tangannya. Matanya tajam untuk melihat reaksi Zariq. Nampaknya reaksi abangnya jelas kurang senang. Sengaja dia berkata begitu.

"Macam nilah, long. Aku tahu kau suka kat dia. Tapi ego kau tu tinggi melangit. Masa dia kerja sini dulu. Ada je benda kau tak puas hati dengan Su tu. Kau selalu marah dia. Tengking dia. Aku kesian jugak kat Su tu," luah Zafran jujur. 

"Kau merepek apa? Tak ada maknanya aku suka minah kelam kabut tu," nafi Zariq sambil ketawa kecil. Tapi ketawanya itu kedengaran dibuat-buat sahaja. Dia pun agak keliru dengan perasaannya. Zariq mengeluh perlahan. Memang dia akui setelah gadis itu tidak bekerja di sini, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang kosong. Sungguh dia menyesal.

"Nampak! Kau tu ego la, long. Lantak kau la. Malas aku nak cakap. Kalau Suraya tu dah ada orang lain. Kau juga yang menyesal. Padan muka kau!" Seusai berkata begitu, Zafran terus sahaja keluar dari bilik tersebut. Zariq pula sudah risau. Akhirnya, senyuman sinis terbit di bibirnya. Dia tidak akan membiarkan hal tersebut terjadi.

DARLINGKU MISS YOUTUBER (Terbit | E-Book)Where stories live. Discover now