SURAYA semakin gelisah. Lagi-lagi sekarang ini mereka sedang berada di kawasan syarikat minyak wangi yang terkenal. Dia benar-benar tidak sangka akan kembali ke tempat ini setelah lima tahun berlalu. Pelbagai memori pahit dan manis terlayar di fikirannya.
"Kau termenung apa lagi? Jom keluar." Amanda membuka tali pinggang kaledarnya. Kunci kereta ditarik dari lubang. Belum sempat dia membuka pintu, Suraya memegang lengannya. Amanda terus sahaja melihat Suraya yang agak gelisah. Pelik juga dengan kawannya ini. Bukan hari ini sahaja dia berperangai pelik, sejak semalam lagi.
"Kau kenapa ni, Su? Lain macam je aku tengok kau hari ni? Dari semalam perangai kau pelik. Kau ada masalah apa-apa ke?" tanya Amanda prihatin.
Suraya menggigit bibirnya. Sebenarnya, Amanda tidak tahu lagi bahawa Suraya pernah bekerja di syarikat ini lima tahun yang lalu. Semalam pun dia hampir menjerit apabila Amanda memberitahu bahawa dia telah menerima tawaran model syarikat ini tanpa memberitahu dirinya. Hari ini dia diminta untuk datang ke pejabat dan berjumpa dengan bahagian pemasaran untuk membincangkan serba sedikit skop kerjanya.
"Kau ingat tak lagi... yang aku pernah cerita pasal aku kena fitnah kat tempat kerja dulu?"
Amanda hanya mengangguk laju. Suraya mengeluh perlahan. Nampaknya, hari ini dia terpaksa menceritakan kesemuanya. Dia mengerling ke arah Amanda. Nampaknya, gadis itu masih menunggu jawapannya.
"Ni la syarikat yang aku pernah kerja dulu. Bos dia terus tuduh aku macam-macam pasal kes curi tu dulu. Aku... takutlah kalau aku datang balik kat sini, semua judge aku. Aku bukannya diperlukan kat sini. Tapi kau dah terima offer model tu. So, aku tak ada pilihan lain lagi," cerita Suraya panjang lebar. Peristiwa pahit tersebut terlayar di fikirannya. Dia masih ingat lagi peristiwa tersebut. Marah? Perasaan marah itu tidak ada lagi tapi dia rasa ralat dan kecewa. Itu sahaja.
Amanda mengeluh perlahan seraya berkata, "Haih... kenapalah kau tak cerita awal-awal kat aku, Su? Kalau kau cerita awal-awal, aku tak terima la offer tu. Tapi... Salah aku jugak sebab tak bincang dengan kau."
"Kalau kita tak datang meeting ni, tak apa kan? Diorang okey je kan?" tanya Suraya lagi.
Amanda pula terus menggeleng laju. Walau apa pun berlaku, merela perlu hadir ke dalam mesyuarat tersebut kerana mereka sudah buat temu janji. Lagipun, pelbagai hal-hal buruk yang mungkin berlaku jika mereka 'cabut' dari perjumpaan ini.
"Eh! Kau gila ke, Su? Kita dah buat appointment tu. Kalau kita lari je... kau jugak yang susah nanti. Tak pasal-pasal keluar headline kat blog 'Youtuber terkenal tak profesional'. Apa-apa pun kau kena hadap jugak diorang. Sampai bila kau nak penakut macam ni? Lagipun kau sekarang dah lain. Ramai orang kenal kau. Janganlah insecure sangat, babe..."
Suraya hanya diam sahaja. Jika difikirkan balik, ada betul juga kata Amanda. Sampai bila dia mahu lari. Dia perlu menjadi profesional. Dia datang ke sini hanya untuk bekerja. Pergi mati sahaja orang yang mahu mengata. Suraya terus sahaja membuka tali pinggang keledarnya.
"Okey... betul cakap kau. Aku kena berani. Pergi mampuslah diorang nak cakap apa. Aku datang nak kerja. Bukan nak mengorat bos besar syarikat ni. Okey, Su! Fighting! Kau boleh buat!" Sempat lagi Suraya memberikan semangat kepada dirinya. Amanda pula tergelak kecil.
SURAYA segera mengeluarkan kamera Go Pro dari begnya lalu diberikan kepada Amanda. Sekarang ini, mereka diminta untuk menunggu ke dalam bilik mesyuarat. Memang kalau ada setiap perjumpaan atau mesyuarat, Amandalah yang akan menjadi jurukamera tidak rasminya. Dia akan merekod segala detik-detik mesyuarat tersebut untuk dijadikan sebuah 'content' vlog atau video sebalik tabir.
Suraya melihat sekeliling. Tiada apa yang berubah. Semasa di lobi tadi pun, kebanyakkannya ramai yang terkejut. Ada juga yang melambaikan tangan sambil tersenyum. Suraya hanya membalas mesra. Ada juga yang berbisik. Ada juga yang segan sampai berlari masuk ke tandas. Suraya keliru. Kenapa semua pekerja di sini seolah-olah lupa tentang hal lima tahun yang dulu? Kenapa masih lagi boleh tersenyum sedangkan mereka dululah yang menuduh Suraya sebagai pencuri? Macam ada sesuatu yang tidak kena sahaja.
Tiba-tiba, pintu kaca bilik mesyuarat tersebut dibuka. Kelihatan ada seorang lelaki dan seorang perempuan sedang masuk sambil ketawa. Suraya terus sahaja menjulingkan mata ke atas. Kenapa pula mamat ini ada di sini? Lagi-lagi apabila melihat lelaki itu tersengih-sengih ke arahnya. Lagi Suraya meluat.
"Oh my gosh! Su buat apa kat sini? I tak tahu pulak you pun dapat offer ni," ujar Asyraf Kholid teruja. Tanpa segan silu, Asyraf duduk di sebelah Suraya. Jarak mereka hanya beberapa inci sahaja dan membuatkan Suraya tidak berasa selesa.
"Kau jangan jadi budak-budak, boleh tak? Tempat kau kat sana, bukan sebelah Su," marah Amanda sambil tangannya menunjukkan kerusi kosong yang bertentangan dengannya.
"Kau tak payah nak sibuk! Su tak cakap apa-apa pun. Kau je melebih. Kenapa? Kau jealous sebab aku tak duduk sebelah kau?" tanya Asyraf sambil menjongket-jongket keningnya. Mahu loya tekak Suraya apabila mendengar ayat Asyraf tadi. Sangat meyakinkan.
Suraya hanya diam sahaja. Malas dia mahu melayan. Asyraf pula mengeluarkan telefonnya lalu ikon kamera ditekan. Senyap-senyap lelaki itu menangkap gambar Suraya yang sedang khusyuk bermain dengan telefonnya. Tiba-tiba sahaja idea nakal menjengah di mindanya.
Beberapa minit kemudian, tiba-tiba ada beberapa orang pekerja masuk ke dalam bilik mesyuarat. Suraya semakin berdebar-debar. Syeera dan Hasanah melambaikan tangannya ke arah Suraya. Suraya hanya tersenyum lebar. Rasa rindu pula dengan dua orang kawannya itu. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Selama ini mereka hanya berhubung melalui panggilan atau mesej sahaja.
Keadaan menjadi sunyi seketika. Suraya sempat lagi mengerling ke hadapan. Dia tahu Zariq dan Zafran sedang ralit memandangnya. Hasanah terus sahaja berdehem perlahan untuk mengurangkan rasa janggal.
"I rasa macam awkward pula tiba-tiba," ujar Asyraf memecah kesunyian. Hasanah dan Syeera hanya ketawa sahaja padahal ayat tersebut tidak kelakar pun. Suraya pula semakin tidak selesa. Apatah lagi Zariq sedang memandang ke arahnya tanpa berkelip. Suraya seboleh-bolehnya tidak mahu bertatapan mata dengan lelaki itu.
Akhirnya, Hasanah yang mengetuai mesyuarat tersebut. Segala skop, bayaran, konsep pengembaraan dan lokasi dijelaskan dengan sebaiknya. Suraya cuba fokus walaupun kadang-kadang matanya degil untuk menatap wajah jejaka yang pernah mencuri hatinya.
Zafran yang perasan situasi tersebut hanya tersenyum sinis. Abangnya masih lagi mengekalkan ego walaupun dia tahu Zariq asyik mencuri pandang gadis itu sahaja. Kadang-kadang, Zafran kesal juga terhadap Zariq. Apabila berkenaan dengan percintaan, mesti abangnya sangat lembab.
YOU ARE READING
DARLINGKU MISS YOUTUBER (Terbit | E-Book)
Romance[LOVE NOVEL PUBLISHING] SURAYA NAFISAH, seorang gadis berkaca mata yang ceria tetapi sangat kelam kabut. Dalam diam, gadis itu mencintai majikannya sendiri WAN ZARIQ HANAFI iaitu seorang lelaki yang berlagak, ego tinggi dan dingin. Dek perancangan...