Langkah Sean terhenti. Bunyi deringan telefon bimbit miliknya membingitkan telinga. Sean mendengus kasar. Telefon bimbit yang berada di dalam poket seluar dikeluarkan. Dengan pantas ibu jarinya menekan punat hijau yang berada di bahagian sebelah kiri. Tanpa teragak-agak dia mengangkat panggilan tersebut.
"Nǐ hǎo, wǒ mángzhe gōngzuò de shì. Qǐng wù dǎrǎo! (Helo, aku sedang sibuk dengan kerja. jangan ganggu!)" Serta-merta dia memutuskan Talian.
"Jiǎohuá de lǎo fù rén (Wanita tua yang licik.)" Sean berdongkol geram, ketuanya tidak habis-habis mengesa. Dia tahulah kerjanya, Sean tercari-cari keberadaan adik lelakinya Lee. Tidak boleh dibiarkan Lee tertangkap oleh mereka. Boleh hancur lebur strategi yang mereka rancang selama ini.
"Sabarlah Sean, tak lama saja lagi. Kau dan Lee akan bebas jua," gumam Sean seorang diri. Sean tidak akan berdiam diri. Cepat atau lambat dia harus juga menjayakan misi ini.
*****
Kenapa mereka mengejarnya dan mengapa dia sahaja yang dijadikan sebagai sasaran? Persoalan demi persoalan bersilih-ganti dan berlegar-legar di ruang benak Aisya. Perdu hatinya bagaikan bergayut dengan sebeban debaran.
Seketika cuping telinganya menangkap bunyi gawar bedilan yang dilepaskan ke udara. Sebagai amaran kepada gadis itu bahawa gadis kecil itu tidak akan dan tidak akan mungkin berjaya meloloskan diri daripada genggaman mereka.
Aisya buka langkah seribu apabila dikejar oleh sekumpulan penjahat yang mempunyai senjata api. Tidak lama kemudian, Aisya berjaya juga menjumpai satu lokasi untuk dijadikan sebagai tempat persembunyian.
"Nanek (Satu)," bisik suara itu dari jauh, susuk tubuh itu bersembunyi di sebalik pohon-pohon tinggi lampai.
Seorang pemuda yang bertubuh sasa itu seperti hilang arah. Dia tidak tahu di mana dia berada sekarang ini. Apa yang dia tahu, dia sendirian di dalam hutan. Warna senja mulai memamah suasana. Perlahan tangannya menampar dahi. Banyak serangga kecil. Berlumba-lumba menghisap darahnya yang manis.
Tujuannya di sini adalah satu. Dia harus segera menangkap Aisya, gadis yang mereka jadikan sebagai umpan.
"Aisya..." Lee menyeru nama gadis yang bernama Aisya. Tampaknya gadis kecil itu suka bermain sorok-sorok.
"Janganlah main sorok-sorok." Lee menyeringai senyuman jahat.
Aisya yang sedang bersembunyi disebalik semak-samun itu terkumat- kamit mulutnya berdoa kepada Allah, memohon perlindungan daripada-NYA. Sementara itu dengan gigih Aisya melepaskan ikatan tali rafia yang terikat pada kedua-dua belah tangannya dengan menggunakan gigi.
"Nar (Dua)." Nafasnya yang menderu kencang, ditenangkan. Dia berdiri tegak, menjarakkan kaki dengan jarak bahu. Kemudian membetulkan posisi tubuh supaya selesa menahan diri untuk jangka waktu yang lama.
'Kakak, tolong adik. Adik takut...' rintih Aisya di dalam hati. Dia mengigil ketakutan. Keringatnya semakin mengalir membasahi muka diseka. Seketika baru Aisya sedari dan merasakan tapak kakinya itu sudah melecet dan lepuh. Bibir diketap kuat.
"Nit (Tiga)!" Semasa menarik tali ke belakang. Dia mengangkat siku untuk menggunakan otot bahu. Hendak tak nak dia terpaksa juga menggunakan teknik penembakan naluri.
"Jaga-jaga!" Amaran keras daripada seseorang membuatkan Aisya terpinga-pinga.
Zap!
kedengaran bunyi jeritan yang nyaring. Jelas dalam kesakitan. akibat ketangkasan seseorang melepaskan anak panah tepat mengenai dada penjahat itu.
Lee hanya mampu meringkukkan tubuh, bertahan dalam kesakitan. Akhirnya, Lee rebah di tempat kejadian.
Muka Aisya pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah. Lee... saudara Carl? Mengapa lelaki itu berada di sini juga? Jangan-jangan, Lee terlibat sama dalam hal ini.
"Jangan risau, aku tak tembak sampai dia mati pun. Lelaki jahat ini hanya pengsan saja," Jelas suara garau dari arah belakang Aisya itu.
Aisya terkejut bukan main kepalang saat matanya menatap wajah lelaki yang dia kenali, iaitu Syed adik kepada Saifuddin. Syed datang menyelamatkan nyawanya!
"Syukur, untung sabut..." ujar Syed sambil tersenyum lega. Perlahan-lahan langkahnya menghampiri tubuh kecil molek di hadapannya.
"Ab...abang Syed?" soal Aisya kepada Syed. Suasana mula menjadi sunyi dan hening.
Syed hanya mengangguk perlahan. Namun, matanya masih fokus memandang sekeliling mereka. Tugasnya mudah, dia harus melindungi Aisya adik kepada Sofea, teman wanita abangnya, Saifuddin.
"Aisya, di sini tak selamat. Tidak jauh dari tempat ini, kawan aku bernama Mad akan bawa kau ke tempat yang lebih selamat," ujar Syed, Aisya mengerutkan dahi.
"Tapi, abang Syed pula macam mana?" Di wajahnya bergayut setompok kebimbangan. Syed hanya tenang mengukir senyum nipis.
"Aku tidak mengapa, sememangnya ini sudah pun menjadi tugas aku. Kau sepatutnya pergi selamatkan diri. Sofea mahu kau kembali dalam keadaan yang selamat. Jadi lebih baik kau pergi selamatkan diri sebelum mereka dapat menjumpai kau. Pergi Aisya, pergi!" kata Syed menggesa Aisya agar meninggalkan tempat itu.
Gadis kecil itu hanya akur tanpa membantah, dia bergegas mencari jalan keluar dari hutan itu. Langkahnya semakin lama, semakin perlahan dek kepenatan. Kepalanya membelingas melihat kanan dan kiri. Sesekali matanya tertancap pada sebuah kereta kancil berwarna putih. Dah jumpa!
Rasa gembira meruap di dadanya. Akan tetapi, Aisya alpa. Musuh tidak akan sewenang- wenangnya membebaskan setiap langkahnya.
Pintu kereta kancil ditutup perlahan. Kepalanya terasa pening dan berpusing. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi dan memejamkan mata.
"Abang Mad," sapa Aisya perlahan. Sekadar membuka bicara yang terkunci sejak tadi.
"Ya?" Pemandu yang dipanggil sebagai Abang Mad itu hanya menyahut dengan pendek. Tangannya lincah mengawal stereng kereta.
"Abang Mad, nak bawa saya ke mana?" soal Aisya. Soalan daripada gadis manis itu membuatkan Abang Mad menyunggingkan senyuman sinis.
"Neraka."
Penulis: xerlickmentos58 xerlickmentos58
YOU ARE READING
AMARAH SANG PEWARIS (COMPLETED)
ActionChe Puan Elizabeth John Abdullah dibunuh kerana harta peninggalan Tengku Rahmat. Demi menuntut bela kematian mamanya, Carl Dylan pulang ke Malaysia. "Carl akan cari pembunuh mama sampai dapat!" - Carl Dylan. Dalam misi pencarian petualang yang menye...