Bibirnya menguntum senyum. Rungutan di tepi telinganya dibuat endah tak endah sahaja. Sengaja dia keraskan hati, pekakkan telinga mendengar pujukan dari si abang. Itu lagi, tadinya waktu dia minta baik-baik untuk tengok bukan main lagi berlagak tak mahu bagi. Jadinya terus dia rampas dan bawa lari ke bawah, biar puas hati.
"Ummi! Tolong Nuqman, ummi! Luqman ambil beg sekolah Nuqman!" rengeknya sambil menarik-narik hujung baju kurung umminya yang sedang sibuk menyiapkan bekalan untuk pasangan kembar kesayangannya itu.
"Luqman sayang, janganlah buat macam tu pada abang. Bagi balik beg abang ye. Bukan ke abah dah beli beg sekolah yang sama untuk kamu berdua? Kenapa kamu nak juga pakai beg Nuqman tu? Hisyhhh... Budak ini!"
Luqman buat muka selamba. Sedikit pun teguran ummi tidak masuk dalam telinganya. Beg milik abangnya masih kemas di kelek dibelakang badannya. Selesai memakai stoking di kaki, dia senyum lagi. Tanpa menoleh ke belakang, cepat-cepat kasut Pallas Jazz yang di susun di sudut kanan pintu dicapainya dan dipakai.
"Ummi! Tengok ni... Luqman pakai kasut Nuqman!"
"Luqman!"
"Alah, ummi juga cakap kasut kami berdua sama saja kan? Saiz sama, brand pun sama juga jadi tak kisahlah mana-mana pun Luqman pakai.
"Tapi kasut tu aku yang punya! Ummi letak kat situ untuk aku pakai!" Nuqman memberanikan dirinya untuk bersuara. Selalunya, dia hanya membiarkan semua harta bendanya jadi milik Luqman tapi kali ini dia berkeras. Suka atau tidak, kasut di kaki Luqman itu harus juga dia yang pakai ke sekolah sebab itu kasut dia! Bukannya Luqman!
"Oooo...Ye ke? Kasut ni kau punya ya? Tapi, kenapa tak ada nama kau pun? Lain kali, tulis nama dulu baru aku tak ambil. Faham?" balas Luqman lalu tersenyum mengejek. Sambil bersiul perlahan, dia mengikat tali kasutnya.
"Kalau aku tulis nama pun, kau ambil jugak! Buku latihan aku, semua kau ambik. Kau padam nama aku, lepas tu kau tulis nama kau kan?"
"Ada beza ke nama kau dengan nama aku? Aku padam huruf N, tukar pada L. Bukan susah pun. Jeng... Jeng... Jeng... Terus jadi hak aku!"
Luqman tertawa besar. Namun tawanya tidak lama bila kepalanya tiba-tiba saja disekeh perlahan. Luqman mengaduh kesakitan sambil menggosok kepalanya yang mula berdenyut sakit.
"Oooo... Adik buli Nuqman lagi ye! Hisyhh adik ni... Apalah nak jadi? Akak pun ada juga kawan kembar tapi taklah seteruk kamu berdua ni. Pantang berjumpa, mesti nak bergaduh. Agaknya kan ummi, waktu dalam perut ummi pun mereka berdua ni dah mula berebut. Haaa... Dik, sudahlah tu mengusik. Tanggal kasut tu sekarang dan bagi pada Nuqman. Adik ni kan, janganlah besar nanti isteri Nuqman pun adik ambil juga," arah Nuha.
"Kalau orang tak nak pulangkan, akak nak buat apa?"
"Pulangkan semula!"
"Tak nak! Dah ada dekat kaki adik, adik punyalah!"
"Adik nampak ni? Nak kena?" Luqman sedikit terkebelakang bila penumbuk Nuha benar-benar di tujukan ke arah mukanya.
"Ummi! Tengok kak Nuha ni!"
Haaaa... Tau pula takut ye. Dengan si Nuqman ni berani sangat! Sudah tu dik, kita dah lewat nak pergi sekolah ni. Cepat buka kasut tu dan bagi pada Nuqman."
Luqman tarik muka. Perlahan-lahan, dia tunduk untuk membuka kasut dan kemudian atur langkah malas-malas ke hadapan pintu rumah teres dua tingkat itu.
Nuqman tersenyum kemenangan di sisi kakak sulung mereka, Nuha Aleesya. Luqman pula rasa sakit hati melihat wajah itu tersenyum mengejek ke arahnya. Tidak lama kemudian, dia kembali senyum sendiri. Setibanya di hadapan pintu, perlahan-lahan dia tunduk di hadapan Nuqman sebelum mencapai kasut di hadapannya dan berlalu ke arah belakang rumah dengan dua pasang kasut di tangan kanan dan kirinya. Dari jauh, Nuqman kembali menjerit seperti tadi.
Nuqman tarik nafas panjang. Kenangan lama seperti itu acapkali menghantui harinya. Sampai bila dia harus membenarkan Luqman sesuka hati mengambil segala haknya? Sehingga ke hari ini pun, sekali sekala ada juga barangan miliknya yang dijumpai di bilik adik kembarnya itu. Ahhh... Luqman. Dari kecil hingga sekarang memang perampas! Tidak dapat cara baik, dia guna cara licik.
Dan hari ini, suka atau tidak hasrat hatinya mesti di luahkan juga pada kedua orang tuanya. Kalau dibuatnya, kata-kata Nuha jadi kenyataan bukankah akan jadi kes haru nanti? Manalah tahu, tanpa dia sedari perihal tentang Mya Zara juga sudah lama sampai ke telinga Luqman dan dalam diam kembarnya itu turut menaruh hati pada gadis itu? Siapa tahu kan?
Dengan status sebagai perampas yang tegar, mungkin saja dalam diam Luqman boleh menyamar sebagai dirinya dan bertemu Mya Zara lantas memikat hatinya. Lelaki kasanova, kaki perempuan macam Luqman bukan satu perkara mustahil untuk dia berbuat begitu. Bila memikirkan itu semua, hati Nuqman jadi makin tidak keruan.
Ah, jangan fikir banyak lagi dah. Cakap saja Nuqman! Abah dengan ummi tentu faham kenapa kau terpaksa buat keputusan begitu!
Nuqman angguk perlahan seakan mengiakan kata hatinya. Walau apa pun yang terjadi, dia akan pastikan yang Mya Zara hanya jadi hak miliknya yang mutlak sebelum di rampas oleh 'muka fotostat' nya!
YOU ARE READING
KAHWIN GANTI EXTENDED VERSION
RomanceVersi baru novel tahun 2012 dengan tajuk Kahwin Ganti. READY STOCK. Untuk dapatkannya boleh ke Facebook akaun Aifa Batrisya @ shore Aifa Batrisya.