BAB 11

214 3 0
                                    


Mya Zara memberhentikan keretanya di hadapan banglo dua tingkat yang tersergam indah di Bukit Tunku itu. Entah kenapa hatinya terasa berat dan sayu tiap kali melewati banglo itu. Terlalu banyak kenangan silamnya di situ. Pintu pagar terbuka perlahan lantas Mya Zara masuk ke dalam garaj lalu parkir keretanya di sebelah kereta Volkswagen Polo milik umminya.

"Assalamualaikum anak ummi. Rindunya ummi pada Zara." Kehadirannya di hadapan pintu banglo itu disambut dengan pelukan Datin Zahrah dan ciuman di pipi.

"Ummi sihat?" Mya Zara tersenyum kecil.

"Sihat sayang. Zara? Kenapa Zara makin kurus ni? Sibuk ye?" Mya Zara mengangguk manja. Datin Zahrah memang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Kadang kala dia rasa, hatinya lebih dekat dengan Datin Zahrah berbanding mamanya sendiri. Mungkin kerana sikap Datin Zahrah yang melayannya seperti kawan, buat dia bisa berkongsi apa sahaja dengannya.

"Eh, mana Luqman?" Terjenguk-jenguk kepala Datin Zahrah ke luar rumah mencari anak bongsunya.

"Errr... Zara balik seorang saja ummi. Luqman ada hal. Kejap lagi insya-Allah dia sampai," balas Mya Zara teragak-agak dengan harapan kata-katanya tadi bisa bertukar jadi doa. Moga lembutlah hati Luqman untuk balik sama hari ini.

"Mm... Tak mandi lagilah dia tu agaknya. Malam tadi entah pukul berapalah dia balik rumah. Hari ini dia off merambu di luar. Kejap lagi sampailah tu bila rasa mengantuk dia dah kurang. Zara, jom kita ke dapur. Ummi ada buatkan kek coklat yang Zara suka tu. Mak Yah, Mak Yah tolong ambilkan barang-barang Zara ye. Letak dalam bilik yang kita dah kemas tadi."

"Baik Datin." Mya Zara hanya tersenyum pada Mak Yah sebagai tanda hormat. Mak Yah yang dia kenal memang amat setia pada keluarga itu. Menurut Ummi, dek kerana sayangkan keluarga itu Mak Yah sanggup tidak kahwin sehingga sekarang. Sampai sahaja di ruang masuk dapur, telinga Mya menangkap bunyi enjin kereta.

"Ummi, kenapa ummi suruh perempuan tu datang rumah sewa Luqman? Hei... Pantang betullah kalau apa Luqman cakap, orang tak ikut." Terjegil mata Datin Zahrah mendengar soalan Luqman yang tiba-tiba muncul di ruangan dapur.

Mya Zara yang sedang khusyuk menghadap kek kegemarannya berhenti menyuap. Dia hanya tunduk kaku memandang meja. Faham benar dia 'perempuan' yang dimaksudkan oleh Luqman itu.

"Kamu ni Luqman, masuk rumah tak reti nak bagi salam. Tahu nak melenting saja. Ummi tak pernah ajar anak ummi perangai samseng macam tu" teguran Datin Zahrah meredakan kemarahan Luqman yang masih bersisa sejak dari dalam kereta tadi.

"Luqman dah bagi salam dalam hati dari depan pintu rumah tadi," balas Luqman tak mahu kalah tapi jawapannya buat Mya Zara mengulum senyum sendiri. Salah satu sikap Luqman yang tiada pada Nuqman, jenis kuat mengusik dan bersahaja. Ah Zara, waktu segini kau masih boleh membandingkan antara dua beradik ni ke?

"Perempuan tu? Siapa perempuan yang kamu maksudkan tadi? Alisya? Arissa? Dareena?" Terkesima Mya Zara seketika. Ramainya dalam list dia! Ummi pun tahu ke tentang 'hobi' Luqman tu ?

"Hisyhhh ummi ni, perli Luqmanlah tu. Maksud Luqman, itulah... Perempuan yang dok sibuk menghadap kek coklat tu. Eh... Bak sini bagi aku sikit kek tu. Ummi bakar kek untuk akulah, bukan untuk kau."

Kek di dalam pinggan Mya Zara di rampas kasar bila dengan bersahaja Luqman ambil tempat di sebelahnya. Mya Zara hanya terkebil-kebil melihatkan pinggan di hadapannya bertukar tangan. Datin Zahrah menggeleng perlahan lantas tersenyum. Luqman memang tak pernah berubah!

"Nanti ummi ambilkan Zara yang lain ye sayang." Datin Zahrah menepuk bahu Mya Zara perlahan, cuba meredakan keadaan yang sedikit tegang sebentar tadi. Hailah Luqman, balik-balik sahaja dah buat ribut rumah ni.

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now