BAB 14

226 6 0
                                    


Mya Zara sedang khusyuk menyiapkan soalan tutorial untuk hari esok. Sepatutnya, dia sudah pun balik ke rumah sewa lepas maghrib tadi tapi Ummi memujuk agar Mya Zara menemaninya menonton Filem Jauh malam itu. Bosan katanya, hanya menonton berdua dengan Mak Yah. Bila memikirkan kelasnya esok bermula 11 pagi, dia hanya bersetuju tanpa fikir panjang.

Tentang Luqman pula, dia langsung tidak ambil tahu. Sejak mereka pulang membeli belah petang tadi, dia belum nampak lagi batang hidung Luqman. Mungkin juga Luqman sudah pulang ke rumah sewa waktu dia sibuk menyiapkan hidangan makan malam. Perangai Luqman yang tidak boleh dijangka itu, tidak memustahilkan dia bertindak begitu.

Dalam ralit Mya Zara menyiapkan tugasan, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk perlahan. Ummi agaknya. Sekilas dia menjeling jam di tangan. Sudah pukul 12 malam! Ummi belum habis tengok televisyen lagi ke? Seingatnya pukul 10 malam tadi dah habis tayangan filem dan dia terus minta diri naik ke bilik.

"Kenapa Ummi tak tidur lagi ? Dah lewat dah ni." Pertanyaan Mya Zara dibalas dengan keluhan panjang Datin Zahrah. Seketika dia memandang ke arah Mak Yah di sebelah ummi yang sedang memegang dulang berisi hidangan malam tadi, nasi ayam. Tanpa sebarang kata dia dapat menangkap maksud ummi dan Mak Yah datang ke biliknya selewat itu.

"Luqman tak turun makan ye ummi? Zara ingatkan, dia dah balik ke rumah sewa dia."

"Belum sayang. Dah banyak kali ummi ketuk pintu bilik dia tapi tak ada jawapan. Zara tolong tengok kan ye. Risau pula ummi, dari petang tadi tak keluar-keluar bilik. Bilik pula di kunci. Entah sakit, entah lapar. Tadi masa Zara keluar berdua, dia ada cakap apa-apa tak?" Mya Zara hanya menggeleng perlahan. Tak ada apa yang pelik pun cuma mereka ada berjumpa dengan Sofea Az-Zahra saja. Itu ke puncanya Luqman jadi begitu?

"Zara tolong panggilkan Luqman ye." Mya Zara mengeluh perlahan. Kalau panggilan ummi pun tidak di sahut, inikan pula panggilan dari dia. Sudahlah tu, dia yang sebenarnya yang menimbulkan kemarahan Luqman petang tadi. Sudah tentu panggilannya nanti dibalas dengan teriakan .

"Tolong ye Zara. Luqman jarang-jarang buat perangai macam ini. Dulu-dulu adalah, masa dia mula-mula masuk Universiti. Itu pun sebab... Sss." Penjelasan Mak Yah berhenti begitu sahaja selepas Ummi berdeham kecil beberapa kali.

Tiba-tiba semangat ingin tahu tentang lelaki itu meluap-luap. Sebab apa ? Sebab apa ye Mak Yah ? Kadang-kadang dia sendiri bingung dengan sikap Luqman. Banyak kali dia menunjuk kebenciannya pada Mya Zara. Tapi ada juga masanya elok pula gaya cakapnya. Sekarang dia mula sedar yang Luqman bukanlah seteruk yang di sangka seperti sebelum ini.

"Zara cuba ye Ummi. Kejap, Zara ambil tudung."

Usai dulang beralih tangan, Mak Yah turun ke bawah manakala Ummi pula langsung masuk ke dalam biliknya meninggalkan Mya Zara terpinga-pinga di hadapan bilik Luqman seorang diri. Macam-macam perasaan dan fikiran yang timbul dalam diri Mya Zara. Kalau dibuatnya, Luqman baling dulang pada dia macamana ye? Ahhhhh.

"Assalamualaikum... Luqman. Ini saya ni. Boleh saya masuk?"

Diam. Tiada sahutan. Perlahan-lahan tangan halus Mya Zara memusing tombol bilik itu lantas pintu terbuka. Tanpa tunggu lama, Mya Zara melangkah masuk ke bilik itu. Seketika dia beristighfar dalam hati melihatkan keadaan bilik tersebut. Macam dilanda tsunami! Buku berselerakan di atas lantai manakala barang-barang di atas meja solek tunggang terbalik. Takkanlah sebab petang tadi nak mengamuk macam ni kot!

Perlahan-lahan dia meletakkan dulang di atas meja sisi katil. Punggungnya dihenyakkan di atas katil. Comforter yang menyelubungi tubuh Luqman di selak perlahan.

Dia sedikit terperanjat bila melihatkan Luqman tidak tidur bahkan hanya memandangnya tanpa kata. Matanya kelihatan sedikit bengkak dengan air mata bersisa. Mya Zara mengeluh perlahan. Menangis lagi! Cengeng juga anak bongsu ni ye.

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now