BAB 21

551 5 0
                                    

"APA? Biar benar kau ni Zara. Itulah, aku dari hari tu lagi dah suruh kau buat penjelasan pasal status kau pada semua orang kan? Tapi kau tak nak. Dah tu sekarang, macam mana kau nak buat dengan pensyarah tu?" Beria-ia Farisya bertanyakannya. Lagak gaya macam wartawan sahaja.

Mya Zara menggeleng perlahan diiringi jungkitan bahu. Fish n chip yang terhidang di hadapannya di renung kosong. Dek kerana bingung dengan gelagat Iskandar dia mengajak Farisya keluar petang itu. Sejak akhir-akhir ini kelakuan Iskandar makin pelik di matanya. Ada sahaja ideanya supaya mereka dapat bertemu dalam sehari. Kadang-kadang rasa rimas pula dia dengan lelaki itu.

"Zara, be realistic! Sampai bila kau nak rahsiakan hubungan kau dengan Luqman daripada semua orang? Lambat laun, orang lain akan tahu juga." Makin keras suara Farisya bila melihatkan respon Mya Zara. Keadaan sudah sampai ke tahap ini, dia boleh buat muka ketat macam tu saja?

"Aku tak tahulah Sya. Semua bergantung pada Luqman. Aku tak boleh buat apa-apa. Tak kanlah aku beria-ia nak mengaku dia suami aku depan Iskandar? Kalau dia tak nak mengaku aku isteri dia, macamana? Malulah aku. Sudahlah dia tu student aku."

"Kau tunjuklah kad kahwin." Mya Zara mengeluh lagi.

"Kad aku, Luqman pegang. Dia kata, bila dah sesuai waktunya baru dia nak bagi aku simpan." Farisya mendengus, air sirap bandung dihirup kasar. Sesekali dia memicit kepalanya. Mya Zara yang dia kenal memang lurus orangnya tapi kes macam ni pun perlu ke dia ikut saja kerenah si Luqman tu?

"Masa sesuai tu bila? Bila Nuqman balik semula, nak tuntut hak dia pada kau? Macam tu? Waktu tu dah tak ada gunanya kad tu bila kau dengan Luqman bukan lagi suami isteri." Farisya terusan memprovokasi Mya Zara. Mya Zara memang perlu dibuka kan sikit pemikirannya tentang statusnya itu. Hubungan dia dengan Luqman dah sedia komplikated, lagi bertambah rumit bila Iskandar pula muncul dalam cerita.

"Nuqman dah tak ada hak pada aku Sya. Aku isteri Luqman, bukan Nuqman!" tegas Mya Zara.

"Apa yang kau nak banggakan sangat dengan status isteri atas kertas kau tu Zara? Nama saja dah kahwin, tapi duduk asing-asing. Status berkahwin pun hanya ahli keluarga terdekat saja yang tahu. Entah-entah, sentuh kau pun Luqman tak pernah!"

Terbeliak mata Mya Zara mendengar ulasan Farisya kali ini. Hatinya sedikit marah mendengarkan kata-kata Farisya itu walaupun semua yang dikatakannya itu benar belaka. Mya Zara mengeluh lagi lantas tunduk memandang ke arah hidangan dalam pinggannya yang masih belum terusik.

"Aku mintak maaf Zara. Aku tak berniat nak masuk campur hal rumah tangga kau. Aku ni kawan baik kau, aku tak nak tengok hidup kau terus macam ni. Kalau kau dengan Luqman rasa tak sesuai bersama, baik berpisah saja. Kalau tak ada cinta dalam hati, tak mungkin kau berdua boleh lama hidup bersama. Luqman pun muda lagi, baru 23 tahun. Belum habis belajar pun lagi. Bila dia mula kerja nanti, lingkungan pergaulan dia makin luas. Lelaki ada rupa macam dia, bukan susah nak buat perempuan terpikat."

Makin panjang keluhan Mya Zara kali ini. Dia sendiri tidak pasti akan perasaannya pada Luqman. Banyak kali dia keliru dengan perasaannya sendiri hanya kerana wajah Luqman seiras Nuqman. Itu belum lagi ambil kira harapan tinggi ummi untuk dia kekal dengan Luqman sampai bila-bila.

"Cuba kau jujur dengan aku, Zara. Apa sebenarnya perasaan kau pada Luqman? Kau sayangkan dia?"

Mya Zara menarik nafas panjang sebelum membuka mulut dan menjawab persoalan Farisya.

"Aku tak pasti Sya. Bila aku berdua dengan dia, aku selalu nampak diri Nuqman pada dia biarpun perangai mereka sememangnya berbeza. Nuqman macam yang kau kenal, sangat tenang orangnya. Susun kata teratur. Apa yang dia cakap, selalunya menenangkan hati aku. Tapi Luqman, berbeza. Boleh kata dia ni, sedikit misteri orangnya. Walaupun nadanya kasar bila bercakap tapi sikit pun tak terkesan pada hati aku. Mungkin juga aku dah lali dengan cara dia." Mya Zara tersenyum sendiri bila bibirnya menyebut nama Luqman. Air laici di sedut perlahan sambil senyuman kekal di wajahnya.

"Kau senyum! Itu pun kau kata tak pasti? Kau sayangkan Luqman sebab diri dia kan? Bukan sebab muka dia seiras Nuqman," teka Farisya. Hampir tersembur keluar air di mulut Mya Zara mendengar tekaan Farisya. Dia? Sayangkan Luqman?

"Tak mungkinlah Sya. Aku masih sayangkan Nuqman tapi aku selesa dengan Luqman. Macam mana aku nak terangkan pada kau ye? Apa pun, selesa dengan sayang tu tetap dua perkara yang berbeza kan? Aku percaya Nuqman mesti ada sebab dia sendiri kenapa dia tinggalkan aku hari tu jadi aku dah ambil keputusan untuk tunggu dia balik dan jelaskan semuanya. Luqman sendiri pun pernah cakap, dia akan pulangkan aku semula pada Nuqman."

"A'ah... Dia tinggalkan kau untuk kahwin dengan perempuan lain. Lelaki macam tu yang kau sayang? Yang kau tunggu? Luqman kata dia nak pulangkan kau semula pada Nuqman? Jadi betullah macam aku duga hari tu? Kau ni ibarat pembaris. Waktu nak guna, pinjam. Lepas siapkan garisan pulangkan semula. Macam tu? Aku rasa otak kau sekarang ni dah terlebih lurus dari pembaris Zara. Kau dah tak boleh nak fikir secara logik dah," bebel Farisya tepat. Tajam jelingan Mya Zara pada Farisya. Rasa marah kembali menguasai dirinya.

"Mana kau tahu Nuqman dah kahwin? Kau ada jumpa dia?" Farisya hanya tersenyum sinis sebelum menjawab persoalan Mya Zara yang seakan serius itu. Dia tahu tuduhannya itu menimbulkan kemarahan Mya Zara.

"Aku main agak saja tapi tak mustahilkan? Apa pun satu hari nanti, kita semua akan tahu juga hal sebenar bila Nuqman muncul semula. Yang penting sekarang, hal kau dengan pensyarah tu. Cuba kau slow talk degan si Luqman tu pasal Iskandar. Mana tahu dia ada solution untuk problem kau ni." Mya Zara geleng perlahan. Kurang bersetuju dia dengan cadangan Farisya. Luqman bukanlah seperti Nuqman yang senang dibawa berbincang.

"Kau cuba cakap dengan aku Sya, bila masa yang sesuai untuk aku nak bercakap dengan dia? Kami ni nama je suami isteri tapi tak pernah ada masa nak berborak pun. Call? Langsung dia tak pernah. Whatsapp? Pun tidak. Sudahlah kami tak duduk serumah."

"Haaa... Bukan ke kau nak balik kampung dengan dia hujung minggu ni? Masa itulah kau ajak dia borak." Cadangan Farisya di sambut keluhan panjang Mya Zara. Perlahan-lahan air laici dihirupnya.

"Itu lagi satu masalah. Aku tak tahu sama ada dia nak ikut aku balik ke tak lepas kes bunga semalam tu." Mya Zara memuncungkan mulutnya. Fish n Chip di pinggannya di cincang halus-halus. Selera untuk makan makin menghilang.

"Kau tak ada call dia terangkan hal sebenar tentang kes bunga tu?" Mya Zara geleng. Farisya ketap bibir, lalu turut menggeleng kepala.

"Kau ni, nampak saja lurus bendul tapi dalam hati tu keras gile! Kenapa kau tak call dia? Takkan itu pun aku nak ajar kot! Kau ni, macam orang tak pernah bercintalah." Farisya dah mula naik syeh. Ikut hatinya, mahu saja dia goncang-goncang badan Mya Zara supaya bangun dari mimpi Nuqman yang dah bertukar menjadi Luqman.

"Aku tak ada nombor telefon dia la Sya."

Pappp!! Kuat Farisya tepuk dahinya sambil menggeleng kepala. Sesekali dia mengeluh.

"Kau ni memang teruklah Zara. Nombor telefon suami sendiri pun kau tak tahu? Hisyhhh... Minggu ni, macam mana cara pun kau mesti balik kampung dengan dia. Jangan lupa, minta nombor telefon dia sekali. Kalau dua-dua ni kau tak buat juga, lepas ni kau jangan call aku dah. Faham?"

Mya Zara telan air liur melihatkan muka serius Farisya. Garangnya Farisya kali ini! Perlahan-lahan dia angguk sambil menyuap Fish N chip nya yang sudah hancur berderai ke dalam mulut.

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now