BAB 2

294 6 0
                                    


Nuha baru saja sudah menghantar anak-anaknya ke pusat asuhan waktu panggilan dari Mya Zara dia terima. Merasakan yang butir perbualan mereka bakal jadi panjang, langsung isyarat kiri diberikan lalu kereta diberhentikan di bahu jalan.

"Dia jarang buat perangai macam ni kak," luah Mya Zara dalam nada suara sedikit cemas.

"Hmmm... Memang pun. Yang suka buat gitu err... Emm. Okey macam ni, apa kata Zara tunggu lagi sejam. Mana tahu kalau-kalau jalan jem teruk, bateri telefon pulak kong ke. Mungkin sebab itu Nuqman belum sampai lagi. Zara ada cuba call rumah akak tak tadi?"

"Sudah. Tapi tak berangkat juga."

Nuha angguk mengiakan. Barangkali ummi keluar beli barang dapur dengan Abah. Mak Yah pula sibuk mengemas sampaikan tak sedar telefon berbunyi.

"Akak sebenarnya tengah drive ni Zara. Akak ada urusan nak kena jumpa client dekat JPO sekejap. Kalau lagi sejam Nuqman masih tak datang, Zara beritahu akak ye! Akak terus ke rumah Ummi lepas tu."

"Baik kak Nuha."

Dan usai panggilan dimatikan, kereta Nuha halakan semula ke arah yang dituju. Sejam perbincangan, dia dah ada semula di dalam kereta tapi masih di lot parkir menunggu kalau-kalau ada panggilan masuk dari Mya Zara. Baru sahaja tangan diletakkan pada gear, panggilan dari Mya Zara masuk.

"Tak ada?"

"Tak ada kak. Orangnya tak muncul, panggilan telefon pun tak ada juga. Macam mana ni kak? Zara rasa tak sedap hati ni."

"Ishhh... Tak ada apalah Zara. Jangan fikir yang bukan-bukan. Majlis dah nak dekat dah ni kan? Tak apa. Akak terus ke rumah ummi ye? Kalau ada apa-apa update nanti akak roger semula. Buat sementara, Zara balik dulu ye. Oh ya, jangan lupa jadualkan fitting baju lain hari."

"Baik kak. Akak jangan lupa call Zara ye bila ada apa-apa info! Assalamualaikum kak."

"Waalaikumussalam," balas Nuha perlahan sambil keluhan dilepas panjang. Ke mana sajalah budak Nuqman ni pergi? Jarang-jarang dia buat perangai hilang diri macam ni. Yang suka buat perangai, yang si bongsu tu. Dah berjangkit ke agaknya perangai Luqman ke Nuqman? Ah, mustahil!

Keretanya langsung dihalakan ke arah rumah abah dan ummi. Sesekali nombor telefon milik Nuqman cuba dihubungi tapi tak berjaya. Masih lagi panggilannya masuk ke peti suara. Adalah lebih kurang 5 km sebelum masuk ke persimpangan pintu masuk kawasan perumahan ummi, hujung matanya melirik ke arah kereta Suzuki Swiftmilik Nuqman yang berhenti di bahu jalan. Pantas sahaja kereta dipusing semula.

Kereta kosong. Pemegang pintu cuba ditarik dan ajaibnya ia terbuka mudah. Kunci kereta pula masih tergantung pada tempatnya. Telefon milik Nuqman pula terletak elok di tengah-tengah ruangan gear.

Ah sudah! Apa cerita ni? Hati Nuha sudah mula dipagut risau. Puas hatinya cuba dipujuk untuk berfikir yang baik-baik tapi tak berjaya.

Kertas yang terletak elok di atas dashboard pemandu menarik perhatian Nuha waktu itu. Pantas sahaja dia masuk dan menghidupkan enjin kereta sebelum isi surat dibaca.

"Allahu, Nuqman! Kenapa ni... Allah," lirih Nuha perlahan. Kepalanya waktu itu terasa berat, dada pula bagai sempit nak terus bernafas. Rasa tak percaya dengan apa yang dia baca tapi kalau begini keadaan kereta ditinggalkan ternyata Nuqman bukan main-main. Memang sudah dia rancang sedari awal.

"Kerol, awak ada dekat pejabat tak sekarang? Ada? Rizal? Okey macam ni, awak berdua datang area rumah Datin Zahrah. Saya tunggu sini dan jangan beritahu sesiapa ye? Baik."

Okey. Kereta setel. Mya Zara? Ummi dengan abah pula, macam mana? Tubuhnya disandarkan lemah pada kerusi sambil akal ligat memikir.

"Luqman! Luqman mesti boleh tolong!"

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now