AKU memandang ke arah balkoni bilik yang secara tiba-tiba berbunyi seakan ada sesuatu yang menyentuhnya. Di sebalik tirai dan pintu gelangsar yang berkunci, aku dapat melihat bayangan figura berbentuk manusia bertubuh rendah di luar sana. Pintu gelangsar sedikit bergegar seperti dia sedang cuba untuk menceroboh masuk ke dalam.
Kerana bilik ini gelap dan di luar sana bercahaya, aku dapat melihat bayangannya. Tangannya sedang menghala ke satu arah dan arah itu adalah letaknya tempat kunci pintu gelangsar.
Kerana ketakutan, kakiku terus berundur walau suara tenggelam. Aku berundur ke arah bilik mandi dengan sehabis boleh derap langkah cuba dimatikan sambil tubuh menghala ke arah pintu gelangsar itu demi melihat gerak-geri si penceroboh di luar sana.
Tiba di pintu bilik mandi, aku menekan-nekan pintu itu supaya orang di dalam menyedari pintu yang bergerak, namun tetap menghasilkan bunyi yang lebih sedikit berbanding ketukan.
Dan cubaan itu berjaya bila pintu bilik mandi dibuka dan cahaya lampu menyuluh ke kawasan berdekatan.
Jebat memandang aku dengan kening yang sedikit terangkat. Hairan.
Aku mengangkat jariku lalu menyentuh bibir sendiri. Isyarat untuk dia senyap. Bila dia memahami, terus aku menuding ke arah pintu gelangsar.
Aku yakin yang Jebat juga melihat apa yang aku lihat tadi kerana dia terus melangkah keluar dari bilik mandi. Baju T yang ada dalam bakul baju kotor disarung semula. Seluar pendek yang sudah dikeluarkan sebelum mandi tadi disarungkan juga.
Semuanya dilakukan dengan cukup tenang dan perlahan.
Sedang Jebat bersiap dan aku masih terpacak di depan pintu bilik mandi, tiba-tiba bayangan itu berubah sedikit. Tangannya tidak lagi hanya tangan, tapi seperti ada bayangan sesuatu yang tajam dipegang bersama.
Pisau!
Aku memandang Jebat.
Namun tidak sempat kepala mahu memberi jawapan atas apa yang perlu aku lakukan, secara tiba-tiba pintu gelangsar itu ditolak perlahan dari luar. Tinggal tirai yang tersisa.
Jebat sudah berdiri berdekatan pintu gelangsar. Aku masih di sini dan sebaik saja tirai diselak, muncul seorang lelaki kurus bertubuh rendah bersama pisau rambo di tangannya. Matanya terus menala ke arah aku kerana aku memang tepat di depannya. Hanya jarak yang memisahkan.
Senyuman tertarik. Nampak mengerikan. Senyuman seorang yang sudah ada bermacam agenda jahat termasuklah begitu bernafsu.
Lelaki itu melangkah ke arahku sambil pisau digenggam semakin erat.
"Kau menjerit, aku baling pisau ini atas dahi kau." Lelaki itu bersuara, ugutan.
Aku memang tak ada niat sama sekali untuk menjerit. Kalau biasanya, ya. Kejadian yang sama pernah berlaku dulu, tapi aku menjerit sebaik saja aku melihat bayangan penceroboh di luar sekali gus aku berlari keluar daripada bilik. Penceroboh itu tidak berjaya ditangkap, tapi sekurang-kurangnya dia berlari keluar dan bukan menyorok di mana-mana bahagian dalam rumah ini.
Kali ini, aku tak menjerit kerana aku tahu Jebat akan melindungi aku.
Aku percayakan dia. Dia suami aku. Kami baru bernikah pagi tadi dan aku mahu percayakan dia walaupun melibatkan senjata tajam seperti ini.