"FAIL apa ini?"
Aku memandang fail yang baru saja diserahkan oleh ayah. Failnya tebal, tapi tidaklah tebal tahap buku. Seperti dokumen penting sebab sudah berfail kemas tanpa sebarang label.
"Adalah. Urusan kerja. Nanti kamu bagi saja kat si Jebat. Pekerja ayah hantar ke J.A.R tadi tapi Jebat tak ada, bapa mentua kamu pun tak ada. Arjuna suruh serahkan terus kepada Jebat. Jadi dah alang-alang itu, kamu ajelah yang bagi," balas ayah sambil tersenyum nipis.
"Okaylah kalau macam itu, Adara naik atas dulu." Baru nak bergerak.
"Kamu jangan buka ya? Itu dokumen sulit." Ayah berpesan.
Aku hanya tersenyum sebelum langkah dibawa menaiki tangga dan masuk ke dalam bilik tidur yang gelap-gelita kerana lampu tidak dibuka. Aku meraba mencari suis lampu.
Sejak balkoni sudah diruntuhkan, bilik ini memang berubah suram jika tiada pencahayaan dari dalam. Biasanya cahaya dari luar saja sudah cukup untuk menghiasi bilik ini, tapi kerana balkoni sudah bertukar menjadi dinding maka pencahayaan hanya bergantung dari dalam sepenuhnya.
Aku melihat Jebat sedang berdiri di depan almari. Sedang mengambil seluar pendeknya yang bersih. Nak mandilah itu selepas tak bekerja hari ini.
Jangan tanya kenapa dia tak bekerja, tapi memang dia tiada di ofis seperti yang ayah cakap. Dia ada di rumah sampai jam 2 petang, kemudian dia keluar sampai maghrib baru balik. Tadi dia berehat sekejap dan sekarang baru dia nak membersihkan badan. Aku tak tahu dia ke mana dan dari mana.
"Ayah suruh bagi ini." Aku menghulurkan fail itu sebaik saja Jebat memandang aku.
Fail dipandang sebelum matanya naik ke muka aku pula. Lama di situ sebelum fail dicapai dan dibuka. Diselak beberapa ketika sebelum fail dimasukkan ke dalam beg komputer ribanya.
Tanpa sebarang kata, Jebat terus mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi. Tertutup saja pintu, aku terus duduk di atas katil. Termenung seketika mengingatkan usia perkahwinan kami yang baru nak mencecah angka tiga bulan ini.
Sejak kejadian di J.A.R, aku dan dia memang tak sama seperti sebelumnya lagi. Sekurang-kurangnya sebelum kejadian itu, dia masih boleh melayan aku berbual walaupun sekadar beberapa patah. Sekarang, dia nak melayan pun tak boleh kerana aku memang tak bercakap sama sekali melainkan jika perlu. Bila dia balik, aku akan terus tarik bantal dan tidur di atas sofa. Kadang-kadang dia tak balik pun ke rumah dan membiarkan aku sendirian pada waktu malam.
Taktik meluangkan masa di Pahang juga tak menjadi bila balik saja ke sini, dia kembali sibuk dengan urusannya dan aku kekal makan hati.
Aku rasa dia ada perempuan lain.
Kalau tidak, kenapa dia selalu menghilang pada waktu malam dan hanya akan pulang bila langit sudah cerah?
Aku mengerling telefon yang menyala. Telefon Jebat.
Perempuan lain...
Seakan tepat pada waktunya. Entah-entah yang mesej itu perempuan lain tak? Pada waktu sebegini, memang antara waktu paling dinantikan oleh pasangan hangat bercinta.
Aku memandang ke arah bilik mandi. Bunyi pancuran air masih ada dan Jebat pun baru saja masuk ke dalam.
Ah, bantailah!
Aku lantas bergerak ke arah telefonnya. Terletak di atas bantal yang saban hari menyokong kepalanya pada setiap malam. Telefon yang sudah tidak bercahaya itu aku ambil sebelum dibawa ke separas dada. Dihidupkan semula lalu aku membuka aplikasi yang memberikan notifikasi tadi. Whatsapp.
Mesej paling atas dan baru...
Papa?
Kiranya yang menghantar mesej tadi papa dan bukan perempuan.
