Bab 3

2.1K 120 2
                                        

AKU segera berlari menuju ke pagar rumah bila melihat Lamborghini yang sedang terletak elok di depan pagar. Untung pula tadi aku buat keputusan untuk menyarungkan kasut saja. Tiada tumit lima ke tujuh inci seperti biasa. Hanya hari ini aku berbaju kurung dan berselendang kerana kursus sekejap lagi.

Berdiri di depan pagar yang masih bertutup, aku melihat Jebat sedang bersandar pada keretanya sambil memandang ke arahku. Berkaca mata hitam, berbaju T di dalam dan berjaket kulit hitam di luar.

Masyaallah anak orang yang seorang ini kan! Kau dah kenapa hensem sangat!

"Hi!" Aku menyapa ceria sambil pagar yang mempunyai bahagian kecil untuk orang keluar dan masuk itu dibuka.

"Masuk," arahnya sambil mengerling tempat duduk sebelah pemandu. Pintu ternaik seperti sayap dan aku terus berura untuk masuk.

"Encik! Encik tak boleh bawa Cik Adara ke mana-mana tanpa kami."

Srttt! Datang sudah peminat setia aku yang berenam itu. Enam-enam sekali gus berlari ke arah kami. Seorang lagi sudah siap dengan kunci Alphard ayah yang biasanya akan digunakan untuk menghantar aku ke mana-mana. Sebab itu saja yang muat untuk bala tentera ini.

Jebat senyap.

"Encik Jebat boleh ikut kami. Cukup untuk seorang lagi. Kami boleh berhimpit di belakang," kata Sumitha.

Aku memandang Jebat yang masih memandang keenam-enam pengawal peribadi aku itu. Seperti sedar yang dia sedang diperhatikan, mata kami bertentangan saat dia berkalih memandang aku. Aku menayangkan muka sedih.

Aku tak nak mereka ikut sama!

Jebat memandang mereka kembali. Dia menyeluk tangan ke dalam poket sebelum nafas dihembus tenang.

"Aku keluar berdua dengan dia. Tak ada siapa lagi selain kami," kata Jebat.

"Tapi Encik Jebat..."

"Aku dah minta izin pak cik," potong Jebat.

Pengawal peribadi aku terus berpandangan sesama snediri. Seperti hairan, mungkin kerana mereka tidak mendapat apa-apa maklumat tentang itu. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengeluarkan telefon.

"Kalau macam itu, saya call Datuk Zamrul dulu." Lelaki yang mengeluarkan telefon tadi terus berlalu sedikit jauh daripada kami.

Sedang dia menghubungi ayah, yang enam orang lagi masih memandang kami.

Sebelum secara tiba-tiba, tanganku dipegang sebelum tubuhku ditolak asal cukup masuk ke dalam kereta. Tak hilang rasa terkejut lagi, pintu sudah tertutup dan Jebat melompat masuk ke dalam tempat duduk pemandu.

Kesemua pengawal peribadi aku sudah mula kelam-kabut cuba menahan kereta ini. Sumitha cuba membuka pintu kereta, namun tak berjaya.

Kereta mula menderum ganas bila Jebat menekan minyak sedangkan gear masih di P. Amaran!

"Pakai seatbelt," arah Jebat.

Aku segera menurut. Tali pinggang dipakai sebelum aku memeluk beg tangan rapat ke dada. Takut!

Gear ditukar. Namun kaki Jebat masih memijak brek sebelum perlahan-lahan brek dilepaskan dan minyak ditekan sedikit demi sedikit supaya kereta berjalan. Mereka yang cuba menahan tersentak dan mula berundur. Sekali lagi deruman garang, dan kesemuanya terus melompat ke tepi. Kereta membelah jalan dengan laju sehingga masuk ke jalan raya.

Yakin yang tiada kereta mengekori kami, aku terus mengeluh lega. Nasib baik!

Tapi kan...

"Ayah memang bagi kita keluar tanpa pengawal?" soalku sambil memandang Jebat yang sedang fokus memandu.

NOTORIOUS : JEBAT ARRAYANTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang