"IKUT!" Tanganku ditarik menuju ke dalam sebuah bangunan yang di bawahnya ada deretan kedai. Aku ditarik melalui tangga di antara kedai ke tingkat atas.
Tangan Jebat yang menggenggam tanganku, ditepuk-tepuk supaya dia melepaskan aku segera.
"Saya tak nak ikutlah!" Aku cuba mengeraskan tubuh supaya Jebat tidak dapat menarik lebih jauh, namun sudah sahlah yang aku tak akan dapat nak melawan tenaganya.
Akhirnya kami tiba di hadapan sebuah pintu yang bertanda 'No entry unless permitted.'
"Kita nak buat apa dekat sini?" Aku menyoal sambil sebelah tangan menahan dinding. Jadi jika aku ditarik masuk, ada sesuatu yang boleh aku paut sebentar lagi.
Sebab aku dan Jebat tidak baik-baik saja. Aku dan dia seperti dalam perang dingin selama dua minggu semenjak hari itu. Walaupun dia sudah minta maaf, tapi maaf itu juga sudah diselit sama dengan hakikat yang Jebat tidak mengganggap aku sebagai apa-apa yang istimewa.
Dan aku faham. Aku tidak memaksa. Aku hanya menjauhkan diri kerana aku tak mahu berharap dan membuatkan dia merasa tak selesa.
Kerana itulah aku takut. Tempat ini tak ramai orang. Lagi-lagi tempatnya di bahagian atas yang siap berlabel. Aku takut jika Jebat cuba mengapa-apakan aku kerana marah atau memang hanya menunjukkan belangnya.
"Jangan tanya, masuk saja. Nanti tahulah." Aku ditarik sebaik saja pintu dibuka.
Aku dapat mendengar bunyi keluhan, dengusan, jeritan kesakitan dan macam-macam bunyi yang menakutkan. Terus aku berundur sebelum tangan berpaut pada besi tangga. Kepala menggeleng tanda aku tidak mahu masuk ke dalam.
"Adara..."
"Saya tak nak. Saya nak balik." Sudahlah pengawal ditinggalkan kerana Jebat tidak mahu ada yang mengekori kami.
Lagilah aku tak boleh bersangka baik!
"Masuk dulu, nanti kita balik. Bukannya nak tidur sini sampai esok pagi," balas Jebat. Dahinya sudah berkerut seperti mula tak puas hati dengan aku.
Belum sempat aku membalas paksaan Jebat, tiba-tiba muncul seorang perempuan di muka pintu. Dengan peluh yang membasahi muka dan bajunya, dia memandang Jebat bersama senyuman lebar di bibir.
"Lama tak datang?" kata perempuan itu.
Matanya turun memandang aku pula sebelum dahinya berkerut sedikit.
"Siapa itu?' Dia menyoal lagi.
Tengok! Perempuan ini pun tak tahu yang Jebat sudah berkahwin! Kalau dia tahu Jebat sudah berkahwin, mesti senang saja untuk meneka yang aku ini isteri Jebat.
Huh! Memang tidaklah aku nak mempercayai lelaki ini lagi.
"Taipan ada kat dalam?" Soalan tadi tidak dijawab, sebaliknya Jebat memulangkan semula soalan sambil aku ditarik masuk ke dalam.
Berjalan melalui ruang kosong ini, aku melihat ada sebuah bilik yang sepertinya ada orang mengerang kesakitan di dalam sana. Ada bunyi suara menengking marah juga.
Tempat apa ini?
"Tak ada," jawab perempuan itu.
"Good. Sambung training, aku guna bilik sebelah." Jebat terus menarik aku masuk ke sebuah bilik yang tak berpenghuni.
Terbuka saja pintu, mataku disapa dengan pemandangan seperti di gelanggang perlawanan WWE. Ada banyak alatan di dalam kotak besar yang terletak di atas lantai sudut dinding. Ada human dummy yang berdiri tegak di kiriku seakan sudah bersedia untuk disepak terajang. Ada juga punching bag yang tergantung elok.

ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN
RomanceMOST WANTED DEAD OR ALIVE JEBAT ARRAYAN @2021/2025