SETAHUN enam bulan.
Selama itu telah berlalu sejak kejadian buruk yang membawa titik hitam dalam hidupku. Begitu lama, pejam dan celik, akhirnya aku sudah kembali seperti biasa.
Tiada lagi sakit pada abdomen yang mencengkam selama sebulan selepas kejadian itu. Kepalaku sudah sembuh sepenuhnya. Luka fizikal sudah tiada lagi. Tiada lagi sesi ulang-alik ke hospital. Alhamdulillah.
Ayah sudah kurang sihat. Semenjak dua menjak ini, ayah asyik terkulai atas katil dan terbatuk-batuk. Sudah dibawa ke hospital, namun hanya ubat yang mampu diberikan. Kata orang di sekeliling kami, sakit tua.
"Siapa yang jaga syarikat sekarang ini, cik?" Sumitha menyoal sambil memeluk tanganku.
Sejak kejadian itu, wanita inilah yang sentiasa menemani aku. Dari belum berkahwin sampailah sekarang sudah beranak seorang. Tak putus-putus dia melawat aku walaupun dia sudah berhenti bekerja sebagai pengawal peribadi demi keluarga yang baru setahun lebih dibina.
Aku bersyukur kerana aku memiliki kawan sepertinya.
"Ayah kata orang kepercayaan dia. Saya pun tak tahu."
"Cik tak ada pergi tengok ke?"
Aku menggeleng. Buat apa nak tengok? Aku bukannya tahu apa-apa tentang syarikat itu pun. Asal ada orang yang menjaganya sudah cukup. Kalau tak ada orang menjaganya pun, aku bukannya boleh jaga. Tak ada pengetahuan tentang perniagaan. Aku belajar dalam bidang perubatan.
"Tapi tak sangka yang semuanya akan berubah macam ini kan? Datuk jatuh sikit, cik baru pulih daripada sakit, saya dah ada anak seorang dan cik dah tak diganggu macam dulu lagi."
Aku tersenyum.
"Mungkin sebab saya dah tak cantik, jadi tak ada siapa nak mengganggu?"
Sumitha memandang aku dengan kerutan di dahi. Aku dipandang lama sebelum dia mencebik, menyampah.
"Cik ini nak berlawak pun agak-agaklah. Yang lukanya itu belakang kepala. Muka tak bersentuh pun. Dari dulu sampai sekarang cantik cik sikit pun tak hilang tahu?"
Tergelak aku mendengar leteran Sumitha. Ada-ada aje!
"Oh ya, anak awak dah masuk enam bulan kan?"
Sumitha mengangguk. "Kenapa cik?"
"Tak adalah, tanya aje."
Perbualan kami terhenti di situ bila pengawal peribadi aku yang seorang lagi mendekati bersama fail nipis. Fail itu dihulurkan kepada aku.
"Apa ini?" Fail dicapai. Aku memeriksa isi kandungannya.
Argh! Hal syarikat. Ada tandatangan ayah di bawah sekali.
"Ini ada dokumen yang Datuk kena sign, tapi dia tak larat nak ke pejabat. Jadi orang pejabat hantar ke rumah. Semalam kan Datuk pening kepala? Nak baca isi dokumen pun tak larat, jadi Datuk suruh staff itu balik dan akan hantar hari ini. Ini Datuk baru habis baca dan sign."
"Jadi kenapa beri kat saya?"
"Datuk minta cik hantarkan ke ofis. Ke bilik dia."
Pula?
"Kenapa tak suruh aje orang lain? Saya malaslah nak keluar."
Pengawal peribadi aku itu menjongket bahu. Dia pun tak tahu.
Hailah!
Nak tak nak, aku terpaksa bersetuju juga akhirnya. Terus tangan ditadah. Tapi pengawal peribadi aku menayangkan pula muka hairannya.
"Kunci keretalah." Ayoo, tak akan aku nak berjalan kaki kut?
"Tapi cik..."
"Saya masih ingatlah macam mana nak bawa kereta. Kan korang juga yang asyik kata saya hanya ingat memori sehingga 23 tahun? Saya ambil lesen masa umur 18 tahun!"
![](https://img.wattpad.com/cover/297591802-288-k566841.jpg)