TAK akan kacau apa kebendanya. Elok saja aku mencelik mata kerana dikejutkan oleh Jebat, tahu-tahu saja tanganku sudah sedap memeluk perutnya. Kepala yang tadinya elok berbantalkan lengan sudah bertukar dengan dadanya. Lagi terkejut bila sewaktu aku mamai dan dalam mengeliat itu, boleh pula mendarat satu ciuman tak sengaja di lehernya.
Bukan ciuman tapi lebih kepada tergesel kerana posisi kepala aku yang betul-betul di dada berdekatan lehernya.
Kerana malu punya pasal, aku buat-buat tak faham saja dan terus bangun seperti tiada apa yang berlaku. Tarik tuala dan baju lalu masuk ke dalam bilik mandi. Waktu itu barulah aku menjerit dalam hati dan melompat-lompat menahan segan di dalam itu.
Nasib baiklah dia tak ada cakap apa-apa dan terus bersiap. Selepas solat, barulah kami keluar. Pertama sekali, singgah makan di restoran berdekatan sekejap. Makan malam. Sebab Jebat kata, fire show itu akan bermula pada jam 9 di Pantai Teluk Nipah.
Semasa fire show berlangsung, aku hanya tekun melihat segala jenis pertunjukan yang dipersembahkan mereka. Api keluar ikut mulutlah, apalah. Padahal mereka memyemburkan minyak entah apa pada api yang dibawa saja. Kadang-kadang aku akan bertepuk tangan penuh teruja bila ada sesuatu yang hebat dilakukan mereka.
"Kau ini teruja betul aku tengok. Tak akan tak pernah tengok fire show?" soal Jebat yang tenang duduk di sebelahku sambil sesekali meneguk air mineral botol besar yang dibeli semasa dalam perjalanan ke sini.
Aku memandang Jebat. "Memang tak pernah pun."
Agaknya terkejut dengan jawapan aku itu, terus dahi Jebat berkerut hairan.
"Sekali pun tak pernah?"
Aku menggeleng. "Tengok dekat media sosial, video apa semua itu pernahlah. Tapi tengok depan mata tak pernah. Ayah tak bagi."
Terus senyap lelaki itu selepas menerima jawapan aku. Aku rasa Jebat masih bertimbang-timbang sama ada nak mempercayai aku atau tidak. Tapi ikutlah nak percaya ke tidak sebab itulah hakikatnya. Aku tidak menipu. Ayah tak pernah izinkan aku ke tempat seperti ini yang penuh dengan orang, lagi-lagi pada waktu malam.
Sejak kejadian gangguan pertama itu berlaku, langsung aku tak dapat ke mana-mana. Kecuali jika ada hal penting atau atas arahan ayah, aku perlu keluar diiringi enam orang pengawal peribadi.
Aku memandang Jebat sekali lagi. Tersenyum bibir ini bila rupanya dia masih memandang aku.
"Saya tak peduli kalau awak tak ikhlas berkahwin dengan saya, awak tak sukakan saya atau apa saja, tapi saya gembira bila jadi isteri awak. Sekurang-kurangnya saya dapat rasa hidup macam ini. Macam orang lain. Ini pertama kali saya berjalan dan bersiar-siar di tempat awam pada waktu malam tanpa pengawal. Malahan sebelum ini walaupun ada pengawal pun saya tak pernah dapat ke tempat macam ini, lagilah pula pada waktu malam." Aku tersengih di hujung kata. Rasa malu pula nak bercerita.
"Hidup saya membosankan, betul tak? Anak orang berada, tapi tak ada kebebasan. Saya macam burung dalam sangkar. Diberi makan minum, tapi tak pernah dilepaskan untuk terbang bebas." Aku mengeluh pula sebelum tak lama kemudian, senyuman kembali terukir.
"Tapi saya tak salahkan ayah atau sesiapa. Saya percaya yang ayah hanya nak pastikan saya selamat dan tak ada siapa boleh ganggu saya lagi. Kalau arwah mama masih hidup, mesti mama pun sokong apa yang ayah buat. Lepas semua yang berlaku dan ayah minta awak untuk mengahwini saya, saya makin percaya yang semua orang sedang melindungi saya."
Senyuman paling lebar diberikan sebelum aku kembali memandang hadapan. Pertunjukkan masih berlangsung dan aku hanya menyaksikannya dengan bibir yang tak habis-habis tersenyum kagum.
Aku menunduk bila pandangan sisi mata menangkap kelibat tangan Jebat menghulurkan sesuatu kepada aku. Sebotol air mineral.
"Minum. Dekat sini panas, haus."

ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN
RomanceMOST WANTED DEAD OR ALIVE JEBAT ARRAYAN @2021/2025