Raiha tiba di rumahnya di sebuah apartment di tingkat enam miliknya yang terletak tidak jauh dari Pusat Rawatan Pantai Kasih. Di sepanjang jalan Raiha teringat akan peristiwa hitam misteri kematian anaknya, dan kekalahan kes tersebut di tangan bekas suaminya. Setibanya dia di apartmentnya itu, dia berasa sangat sunyi dan teringat pula kisah neneknya yang membesarkannya selama ini. Arwah neneknya yang berketurunan Idaan menyatakan bahawa nenek moyangnya dahulu berasal dari Nunuk Ragang. Daerah itu terletak di Tampias suatu kawasan di Hulu Lubuk Dalam daerah Ranau.
Raiha juga teringat akan Doktor Sadiz yang melayani dengan baik sebelum peristiwa hitam muncul. Raiha ingat ketika dia mengandungkan bayi hasil persenyawaan sperma suaminya itu. Dia juga teringat akan permintaan Doktor Sadiz supaya menggugurkan bayi yang sedang dikandunginya itu kerana kehadirannya bayi tersebut tidak direstui apatah lagi sudah diketahui fizikal bayi tersebut yang kelebihan kromosom akan menyebabkan dia malu dengan masyarakat. Anak-anak dengan bekas isterinya tidak ada yang cacat. Raiha tidak tergamak hendak membunuh bayi tersebut apatah lagi bayi tersebut sah hukum dan mempunyai hak untuk hidup. Akhirnya bayi tersebut lahir dan diberi nama Rohayu atau panggilannya 'Ayu'.
Kegelisahan Dotu Untong terhadap panggilan palsu dan pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih miliknya sebelum diserahkan kepada anaknya Doktor Uwang amat jelas. Dia berharap selepas daripada insiden tersebut perkara sebegitu tidak berulang. Kegelisahan turut dirasai oleh isteri Doktor Uwang, namun tidak diendahkan oleh Doktor Uwang akan rungutan dan kegusaran isterinya itu. Doktor Uwang berpendapat isterinya yang sah dan yang tidak rasmi serta bapanya juga tidak harus ambil peduli tentang pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Baginya, mereka tidak tahu akan perniagaan kesihatan kini.
Doktor Uwang juga teringat akan persoalan yang diajukan oleh emak Unong Siron yang mempersoalkan kewibawaannya menangani kes pembedahan penggantian tulang pinggul hingga keenam kalinya itu. Namun, dia sudah menetapkan pendiriannya bahawa dia akan berbuat apa-apa sahaja untuk memberikan hasil baik berpihak kepadanya. Asalkan keuntungan berlipat kali ganda masuk ke poketnya sudah memadai, tidak perlu memikirkan bagaimana mereka mendapatkan wang membayar kos perubatan di situ. 'Doktor Uwang mengelamun sambil menonton rancangan 'Money Matters' di televisyen. Lamunannya hingga ke peristiwa anak pak ciknya rentung dan disaksikan di hadapan matanya sendiri.
Felicia memasuki bilik farmasi lagi. Tiba-tiba muncul seorang pesakit lelaki yang pernah mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Pantai Kasih itu. Dengan garangnya pesakit itu membincangkan tentang infeksi yang terjadi kepadanya. Felicia bingkas ingin memanggil Doktor Mohammad namun dihalang oleh pesakit tersebut. Lalu Felicia mencadangkan Doktor Uwang. Cadangannya itu tidak dipersetujui oleh pesakit tersebut sebaliknya dia mahukan Doktor Raiha. Feilcia memberitahu bahawa Doktor Raiha tiada dan tidak dipercayai oleh pesakit itu sebaliknya menganggap Felicia berbohong dan sengaja mahu menipu. Felicia juga dituduh sengaja menceritakan yang baik-baik tanpa memberitahu risiko yang terpaksa dihadapi oleh pesakit.
Felicia cuba menjelaskan hal yang sebenar kepada pesakit itu tetapi pesakit itu digambarkan melemparkan simen dan splinnya ke arahnya menyebabkan Felicia terjelopok, namun itu hanyalah khayalan Felicia semata-mata. Apabila Felicia mengangkat muka suasana menjadi berubah apabila didapati dia berada di stor Pusat Rawatan Pantai Kasih.