Episod 23

3.6K 65 5
                                    

Seusai solat subuh, Hazim sudah berada di luar chaletnya untuk sesi terapi pagi. Dia berjalan perlahan - lahan menelusuri denai kecil yang menghubungkan kawasan resort itu dan pantai melalui kawasan pohon ru dan kolam renang resort tersebut.

Sebaik sahaja dia tiba di kawasan berpasir halus, dia lantas mencabut kedua - dua selipar yang dipakainya lalu menjinjitnya. Apabila berjalan terasa telapak kakinya memijak kawasan berpasir pantai itu. Matanya disorotkan ke ufuk timur, melihat bebola matahari yang masih lagi menyorokkan dirinya disebalik lautan yang meluas.

Lalu dia meletakkan seliparnya ke bawah dan duduk di atas pasir di kawasan gigi pantai yang tidak jauh dari kawasan berpasir basah. Sesekali angin lembut bertiup yang membawa bau laut lantas disedutnya dalam - dalam.

Dilunjurkan kedua - dua kakinya ke hadapan dan menikmati permandangan matahari terbit itu. Dari jauh kelihatan bebola matahari bewarna jingga itu sudah mula memancarkan cahaya bewarna jingga dan kuning ke langit dan menghasilkan refleksi yang memukau pada awan yang bergantungan disekelilingnya.

Laut yang terbentang luas dihadapannya itu saujana mata memandang. Tidak puas dijamah mata. Dari kejauhan terlihat juga beberapa biji kapal dagang dan beberapa bot nelayan kecil berbalam - balam, menandakan warga pantai sudah mula turun mencari rezeki di lautan.

Semalam, dia terlena. Terlena ketika manik rintik air matanya masih lagi mengalir dipipi. Namun tidur malam yang dirasakan panjang itu telah memberikannya sedikit kerenggangan di jiwa. Sebaik sahaja dia bangun pagi tadi, terasa sedikit lapang difikirannya.

Benarlah tuhan itu maha adil. Setelah kesedihan menyelubungi jiwa dan apabila air mata menjadi peneman, kemudian kita akan terlena bagi meredakan kesedihan yang sementara.

Matahari jingga itu semakin naik meninggi, dari bentuk separuh bulatan kini sudah menjadi bulatan penuh. Matanya tidak lekang dari mengamati bebola sang suria pagi itu.

Sesekali dia menyorotkan pandangannya ke pesisir pantai di sebelah kanannya, terbayang - bayang saat dia berlari berkejaran bersama lelaki itu. Tersenyum dia sendirian apabila teringat momen indah itu bersama Anas, di tempat yang sama.

Rindu, itu yang dirasakan. Rindu pada senyuman lelaki itu, rindu pada layanan lelaki itu, rindu pada semuanya. Kata orang, jika rindu apabila kita pejamkan mata kita dan menyebutkan namanya, orang yang kita rindu itu pasti akan muncul di depan kita. Namun itu hanyalah bait - bait falsafah yang diungkapkan oleh pemuja cinta, manakan mungkin akan terjadi.

Tetapi, tidak salah jika ingin mencuba, bisik hatinya. Lalu Hazim merapatkan kedua - dua kelopak matanya. Hanya deria telinganya yang menangkap bunyi hempasan ombak ke pantai. Lama dia didalam keadaan sebegitu.

" Leftenan Anas Syakir "

Disebutkan nama itu didalam hati dan dia mengosongkan fikirannya sebentar berdoa agar lelaki itu muncul didepannya.Tidak lama kemudian dia membuka kelopak matanya perlahan - lahan.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat susuh tubuh yang amat dirinduinya itu sedang berdiri di sebelahnya. Membulat matanya lantas dia memisat - misatkan kedua bola matanya untuk memastikan semua itu hanya khayalan semata - mata.

Aneh, susuk tubuh lelaki itu masih disitu. Tidak jauh kira - kira 5 meter dari tempat dia duduk. Adakah ianya realiti atau hanya sekadar mainan khayalannya sahaja. Dia berteka - teki di dalam hati.

Wajah tampan lelaki itu masih memandang kepadanya sambil menguntumkan senyuman. Dia hanya mengerutkan dahinya dan memandang ke arah susuk tubuh itu namun tidak berani untuk bersuara.

" Sayang...."

Gegendang telinganya menangkap panggilan dari lelaki itu. Sah, ini bukan khayalan lagi. Dia termangu seketika.

Mat Terap, I love youWhere stories live. Discover now