Bab 5

646 18 0
                                    

TELEFON masih berdering. Sengaja dia tidak mahu mengangkat panggilan daripada Daim. Selepas apa yang berlaku petang tadi, dia semakin rasa bersalah.

Nafas dihela sedikit kasar. Rambutnya yang semakin panjang diramas kuat. Makin kusut dia memikirkan hubungannya bersama Daim.

Sudah acap kali dia bertanyakan kepada diri sendiri. Adakah dia pernah mencintai Daim sepanjang mereka berkawan? Namun sehingga sekarang, dia masih gagal mencari jawapan. Apa yang dia tahu, dia cukup selesa berada di sisi lelaki itu. Malah dia hanya mempergunakan kebaikan Daim untuk terus bertahan seperti sekarang.

Sekali lagi telefonnya berbunyi. Bulat matanya saat terlihat nama mak su di skrin telefon. Tanpa teragak-agak, dia segera menjawab panggilan itu.

“Mak su…”

“Dasar anak tak kenang budi. Lepas ni kau jangan lagi jejak kaki ke rumah aku. Aku malu ada anak saudara macam kau. Kenapalah kau tak mampus aje masa kakak aku meninggal?!”

Tergamam Raiqa. Mulutnya ditekup laju. Tergamak ibu saudaranya bercakap begitu.

“Kau dah bawa jantan masuk dalam rumah aku. Bila pak su nak halau budak tu, kau pukul suami aku sampai pengsan. Nasib baik suami aku tak nak buat laporan polis.”

Menggigil tubuh Raiqa gara-gara terlalu marah. Hebat permainan orang tua itu. Sekarang dah berani menuduh dia membawa lelaki masuk ke dalam rumah.

“Mak su percaya cakap dia?”

“Memang aku percaya! Aku menyesal bawa kau tinggal dalam rumah aku. Esok kau datang sini, ambil semua kain baju kau. Aku tak nak tengok muka kau dalam rumah aku lagi.”

“Sampai hati mak su. Mak su langsung tak nak dengar penjelasan Rai. Rai tak salah. Suami mak su yang…”

“Cukup!”

Terperanjat Raiqa dengan jerkahan wanita itu. Bibirnya tertutup rapat.

“Kau dari dulu tak habis-habis nak buat fitnah. Kali ni aku dah tak boleh bersabar lagi. Kalau kau bencikan suami aku, itu bermakna kau dah bencikan aku juga.” Bergetar nada suara Puan Rosmah.

Tubir mata Raiqa terasa hangat. Bila-bila masa saja empangannya akan pecah.

“Kau hiduplah dekat luar. Jangan lagi ganggu hidup aku. Aku anggap kau dah mati dalam hidup aku.”

Klip!

Sebaik saja talian dimatikan, Raiqa terbaring lemah di atas katil. Makin nyaring esakannya di bilik itu. Perkara yang dia paling takut berlaku juga. Satu-satunya ahli keluarga yang dia ada sudah membencinya.

Dengan tangan yang masih menggeletar, dia mendail nombor seseorang. Tak sampai seminit, panggilannya sudah dijawab.

“Sayang. Kenapa abang call banyak kali Rai tak jawab?”

Raiqa menekup mulutnya dengan kuat. Makin sebak dadanya mendengar nada suara Daim yang cemas. Hanya lelaki ini saja yang percayakan dirinya.

“Sayang…”

“Mak su dah buang Rai.”

Terdiam Daim di hujung talian. Masing-masing tidak bersuara. Hanya esakan Raiqa saja yang kedengaran.

“Mak su sanggup buang Rai. Dia tak nak tengok muka Rai lagi. Kenapa hati Rai sakit sangat? Memang Rai nak sangat keluar dari rumah tu tapi bukan dengan cara macam ni.” Lirih dia bersuara.

“Rai tak ada sesiapa sekarang.”

“Abang masih ada untuk Rai. Sentiasa ada.”

Mati esakan Raiqa.

Pernah BenciWhere stories live. Discover now